9 Januari 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pakar bahasa Melayu mempunyai peranan yang penting khasnya di negara asing. Melihat perkembangan semasa bahasa Melayu di China sudah pasti bahasa ini menjadi nadi utama bagi memastikan penyampaian ilmu dan kemahiran yang sebenar dalam mempelajari bahasa dan budaya Melayu di China. Mengimbas kembali perkembangan bahasa Melayu di China yang bermula pada tahun 1962 di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang menjadi titik tolak dan berkembang penawaran dan perkembangan kursus bahasa Melayu di China dan hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah yang membabitkan 11 buah universiti dan dua buah kolej. Menurut statistik, setakat Mei tahun ini, sejumlah 41 orang pensyarah China dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 buah institusi pengajian tinggi China (Su Yingying, Han Xiao: 2022).

Pemerhatian lanjut perlu difokuskan pada proses pelantikan dan penempatan tujuh orang pakar asing dari Malaysia di China. Mereka merupakan golongan profesional yang terlatih dalam bidang pengajian Bahasa Melayu dan juga boleh diangkat sebagai diplomat bahasa dan budaya yang mengangkat martabat bahasa dan budaya Melayu di China. Antara mereka yang perlu disebut namanya termasuklah Cikgu Zaiton Zakarya, yang bertugas di Universiti Pengajian Asing Guangdong (GDUFS), Cikgu Ranofla Dianti Irwan yang bertugas di Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan (HCFS), Cikgu Nurul Afifah Adila Mohd Salleh yang bertugas di  Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Cikgu Mohamad NorTaufiq Nor Hashim yang bertugas di Universiti Yunnan (YNU),  Cikgu Nurul Farhana Suhaime yang bertugas di Universiti Pengajian Asing Hebei (HFSU), Cikgu Khairul Izzat Amiruddin yang bertugas di Universiti Pengajian Asing Guangdong (GDUFS) dan Cikgu Zahwah Jamaludin yang bertugas di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Sichuan.

Selain mereka, terdapat juga pakar bahasa Melayu yang pernah berkhidmat di China, antaranya termasuklah Cikgu Rozie Adama, Cikgu Basri Abdillah dan Cikgu Darwaliz Sazan. Mereka yang terlibat sudah pasti mendapat sokongan, panduan dan kerjasama yang penuh daripada tokoh bahasa, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang memainkan peranan yang penting dalam menghubungkan kepesatan bahasa dan budaya Melayu Malaysia dan China.

Mengikut rekod pelantikan, ada di antara mereka yang dilantik telah melebihi lima tahun. Hal ini membuktikan kepercayaan dan keyakinan pihak institusi pendidikan tinggi di China yang mengiktiraf peranan dan sumbangan mereka kepada perkembangan bahasa dan budaya Melayu di China. Mereka yang merupakan penutur jati bahasa Melayu ini dapat mempertingkatkan usaha-usaha keberkesanan penggunaan bahasa dan pemahaman budaya yang sebenarnya.  Hal ini secara tidak langsung juga akan mewujudkan suasana dan budaya penggunaan bahasa dan budaya Melayu dalam komuniti pengajian di China.

Kita juga dapat melihat tenaga pakar ini bertindak sebagai pembimbing dan pemudah cara bagi pelaksanaan aktiviti perkembangan bahasa dan budaya Melayu di China. Antaranya termasuklah program dan aktiviti seperti deklamasi sajak, pertandingan pidato, pertunjukan makanan tradisional, permainan tempatan dan pertandingan nyanyian lagu Melayu. Hal ini secara langsung menggalakkan penguasaan bahasa dan budaya Melayu dengan cara yang lebih mesra dan santai. Selain itu, tenaga pakar ini juga bertindak sebagai pakar rujuk institusi pendidikan tinggi di China dalam usaha menjalinkan kerjasama pendidikan yang strategik seperti program pertukaran pelajar hasil daripada Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian antara institusi Malaysia dengan China.

Melihat peranan dan tanggungjawab besar yang dimainkan oleh mereka ini tidak akan lari daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka. Antaranya yang dinyatakan dalam kajian (Zaiton Zakarya, Salinah Ja’afar,  Mardian Shah Omar, Nurul Afifah Adila Mohd Salleh dan Juwairiah Osman, 2022) termasuklah menjelaskan hal  yang berkaitan dengan cabaran seperti kurikulum yang tidak seragam, kekurangan bahan pengajaran yang sesuai, tiada aplikasi mudah alih, perbezaan tahap penguasaan pelajar dan kurangnya motivasi dalam kalangan pelajar.

Kesemua cabaran ini sedang dihadapi oleh tenaga pakar ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Satu semangat yang harus dipuji ialah kumpulan tenaga pakar ini tidak mudah mengalah dan mereka terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Perbincangan berkala melalui aplikasi WhatsApp dan secara dalam talian Google Meet diadakan secara berkala untuk bertukar pandangan dan maklumat selain menambahkan keakraban antara tenaga pakar sebagai satu pasukan bagi memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu di bumi tembok besar China ini.

Satu perkara yang menggembirakan juga ialah adanya perbincangan dan pertimbangan awal yang telah bermula bagi melihat kumpulan pakar ini bertindak sebagai satu daripada cabang sekretariat dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu atau singkatannya, MABM. Umum sedia maklum bahawa majlis ini merupakan majlis khas yang ditubuhkan untuk menyelaraskan aktiviti kebahasaan yang menjurus pada matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa.

Hal ini menyokong kesedaran dan keperihatian Kerajaan Malaysia terhadap perkembangan bahasa Melayu dan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh beberapa pihak di dalam dan di luar negara berhubung dengan pengembangan bahasa ini pada peringkat antarabangsa. Dengan harapan juga majlis ini dapat  menyelaraskan aktiviti kebahasaan yang menjurus pada matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa khasnya memperkukuhkan persahabatan Malaysia dan China.

Dengan platform yang sedia ada ini sudah pastinya dapat membuka ruang dan peluang kepada perancangan dan pelan tindakan yang berkaitan dalam pengembangan bahasa dan budaya Melayu di China. Model-model perkembangan bahasa dan budaya daripada agensi seperti British Council, Institut Konfusius dan The Japan Foundation KL boleh dijadikan sebagai penanda aras bagaimana pihak luar memperkembang bahasa dan budaya mereka di Malaysia.

Harapan cukup besar di bawah naungan MABM ini dan pasukan sekretariat yang dianggotai juga oleh mereka dalam kalangan tenaga pakar bahasa dan budaya Melayu di China ini dapat dibantu bukan sahaja dalam urusan hal ehwal dan kebajikan tenaga pakar di China, malahan melihat bagaimana peranan mereka sebagai diplomat bahasa dan budaya untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan negara Malaysia ini dengan lebih tinggi.

Usaha-usaha seperti ungkapan lembut bahasa Melayu, iaitu ibarat “Mencurah air ke daun keladi“ perlu ditransformasikan kepada ungkapan “Genggam bara api, biar sampai jadi arang” yang perlu didukung oleh semua pihak. Tahun baharu 2023 bakal dihiasi dengan kerancakan dan kemeriahan kita menanam tekad “Bahasa Jiwa Bangsa”.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.