13 Januari 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemajuan sains dan teknologi pada masa ini telah banyak membawa perubahan yang pesat dalam perkembangan komunikasi. Arus teknologi ini telah membuka suatu dimensi baharu kepada masyarakat, terutamanya golongan remaja untuk berkomunikasi secara nyata atau di alam maya. Penggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) di media sosial seperti Facebook dan Twitter sangat popular dalam masyarakat, terutamanya remaja. Golongan remaja dikatakan sedang mengalami “kegilaan” berbahasa ringkas, pendek dan bersahaja. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 474) kata kegilaan bermaksud terlampau sangat suka (asyik).

Komunikasi SMS pertama berlaku pada 3 Disember 1992. Pada waktu itu, Neil Papworth, juruteknik dari Norway, menghantar mesej Selamat Hari Natal kepada rakannya, Richard Jarvis, yang bekerja di syarikat perkhidmatan GSM Vodafone di Inggeris. Kini, penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit telah berkembang kepada semua komunikasi lain. Contohnya, e-mel, blog dan forum komuniti, selain laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Kemunculan bahasa SMS telah mendorong generasi baharu atau generasi muda mencipta komunikasi yang pantas. Banyak singkatan dan reka bentuk kata baharu telah dicipta. Ada antaranya yang tidak mudah difahami dan ada juga yang langsung tidak difahami oleh pengguna atau pembaca lain. Fenomena ini berlaku kerana faktor masa dan had teks. Penggunaan bahasa SMS ini akan memberikan natijah yang besar yang akan mempengaruhi pengguna. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaannya banyak menimbulkan kesan negatif berbanding dengan kesan positif walaupun kemajuan teknologi dapat memantapkan penggunaan bahasa Melayu pada masa hadapan.

Kini, penggunaan bahasa yang ringkas, singkat dan padat dalam media sosial semakin popular dalam kalangan remaja. Senario ini berlaku kerana penggunaan bahasa seperti ini dalam SMS oleh remaja sangat berhubung kait dengan perkembangan teknologi teks pesanan ringkas tersebut.

Teknologi SMS itu sendiri sebenarnya menular serta mendorong proses untuk memendekkan dan meringkaskan kata dengan cara menggugurkan huruf vokal dan mencipta kata baharu, mencampuradukkan ragam bahasa dan menggunakan simbol yang mempunyai makna tertentu bagi menggantikan kata asal yang sedia ada. Bahasa teks SMS boleh dianggap sebagai bahasa tersendiri bagi tujuan tertentu dalam konteks tertentu.

Bahasa yang singkat, pendek dan bersahaja yang digunakan oleh golongan remaja dalam media sosial sekarang ini memberikan kesan yang ketara terhadap penggunaan bahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa singkatan dan bahasa rojak menghilangkan ketulenan bahasa tersebut. Keadaan ini amat menyedihkan. Pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah selama lebih daripada 10 tahun seolah-olah tidak bermakna apabila golongan remaja mengabaikan penggunaan bahasa tersebut di media sosial. Contoh bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja yang digunakan oleh golongan remaja dalam media sosial ialah “sdg wat per tu?” yang dipendekkan daripada ayat “sedang buat apa itu?”. Isu ini ialah isu lama yang masih belum dapat diatasi.

Bahasa singkatan menjadi amalan harian kerana sentiasa dapat didengar dan dilihat, terutamanya dalam media sosial. Oleh itu, tidak hairanlah apabila amalan seharian ini menjadi ikutan remaja dalam perbualan di media sosial. Secara tidak langsung, keadaan ini mempengaruhi komunikasi secara dalam talian apabila pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu dengan lain.

Penggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja ini kebiasaannya akan bercampur dengan pelbagai bahasa lain untuk menghasilkan bahasa rojak. Natijahnya, penggunaan bahasa seperti ini secara berleluasa tanpa sekatan mengakibatkan remaja malas untuk mempelajari bahasa sebenar secara menyeluruh. Maka itu, penggunaan bahasa ringkas dan rojak digunakan dengan lebih meluas berbanding dengan bahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan demikian kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran terkini. Keadaan ini menyebabkan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa yang lebih tersusun.

Jika keadaan ini berterusan, kesan yang lain pula boleh berlaku. Dalam hal ini, masyarakat akan membenarkan penggunaan bahasa Melayu yang rosak. Secara tidak langsung, keindahan ayat bakal terhakis. Apabila fenomena ini menular tanpa kawalan dalam kalangan remaja, mereka akan beranggapan bahawa tutur bahasa yang baik bukanlah suatu perkara yang penting. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa ringkas lebih diutamakan dalam perbualan talian.

Kini, amat sukar untuk mendidik remaja menggunakan bahasa dengan tepatnya dalam perbualan harian, apatah lagi untuk menggalakkan remaja mempelajari kesantunan bahasa. Hal ini berlaku apabila remaja beranggapan bahawa penggunaannya bukanlah suatu perkara yang perlu ditumpukan. Oleh itu, terdapat keperluan supaya remaja mempelajari bahasa Melayu secara tersusun bagi mengimbangi penggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja dalam media sosial.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.