Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata pun dan juga tergolong sebagai kata penegas, iaitu satu daripada subgolongan kata tugas. Sekali imbas, kedua-dua kata penegas ini seolah-olahnya sama, namun terdapat juga perbezaannya.
Kata pun dapat mendukung makna persamaan. Dalam hal ini, penggunaannya sama dengan kata juga. Sila lihat contoh yang berikut.
1a. Ini keretanya. Itu pun keretanya.
1b. Ini keretanya. Itu juga keretanya.
Kata pun dapat berkaitan dengan perbuatan yang bersambut atau berbalas. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Guru bertanya soalan. Dia pun menjawabnya.
2b. Guru memberikan taklimat. Murid-murid pun membuat catatan.
Kata pun dapat mendukung maksud tolak ansur, iaitu dapat diganti oleh kata seperti walaupun. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Dipukul pun dia tidak berubah.
3b. Walaupun dipukul, dia tidak berubah.
3c. Walau dipukul pun, dia tidak berubah.
3d. Walau dipukul sekalipun, dia tidak berubah.
Kata pun dapat menegaskan maksud ayat. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Satu kali pun dia tidak balik ke kampung.
4b. Haiwan pun sayang akan anaknya.
4c. Tidak ada sesiapa pun hendak menolongnya.
4d. Tidak ada sedikit pun makanan yang tinggal.
4e. Barang yang mahal pun dibelinya.
4f. Dia sudah pun pergi.
Kata pun dapat mendukung maksud sedangkan. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Duduk pun penat baginya, apa lagi berjalan.
5b. Sedangkan duduk pun penat baginya, apa lagi berjalan.
6b. Belajar pun dia malas, apa lagi bekerja.
6b. Sedangkan belajar pun dia malas, apa lagi bekerja.
Kata pun dapat menandakan bermulanya sesuatu perbuatan. Dalam prosa tradisional, kata pun biasanya diiringi oleh partikel penegas -lah. Sila lihat contoh yang berikut:
7a. Sesudah semua tetamu datang, majlis pun bermula.
7b. Maka raja itu pun berangkatlah.
Kata pun juga menandakan urutan peristiwa. Sila lihat contoh yang berikut:
8a. Selepas bersarapan, dia pun keluar.
8b. Dia bersarapan, kemudian keluar.
Kata juga dapat mendukung maksud persamaan. Dalam hal ini, kata juga dapat diganti dengan kata pun. Sila lihat contoh yang berikut:
9a. Dia marah. Adiknya juga marah.
9b. Dia marah. Adiknya pun marah.
Kata juga dapat membawa maksud agak. Sila lihat contoh yang berikut:
10a. Dia cantik juga jika dibandingkan dengan adiknya.
10b. Dia agak cantik jika dibandingkan dengan adiknya.
11a. Dia pandai juga menggoreng ikan, tetapi belum mahir betul.
11b. Dia agak pandai menggoreng ikan, tetapi belum mahir betul.
Kata juga dapat mendukung maksud lagi. Sila lihat contoh yang berikut:
12a. Semalam dia lewat. Hari ini dia lewat juga.
12b. Semalam dia lewat. Hari ini dia lewat lagi.
Kata juga dapat membawa maksud terus. Sila lihat contoh yang berikut:
13a. Walaupun ditegur, dia membising juga.
13b. Walaupun ditegur, dia terus membising.
14a. Walaupun pernah gagal, dia berusaha juga.
14b. Walaupun pernah gagal, dia terus berusaha.
Kata juga dapat diganti oleh kata sahaja atau pun. Sila lihat contoh yang berikut:
15a. Sesiapa juga disambutnya dengan mesranya.
15b. Sesiapa sahaja disambutnya dengan mesranya.
15c. Sesiapa pun disambutnya dengan mesranya.
Kata juga dapat digunakan sebagai sebahagian daripada kata hubung gabungan berpasangan bukan sahaja …tetapi juga. Sila lihat contoh yang berikut:
16a. Dia bukan sahaja rajin, tetapi sopan juga.
16b. Dia bukan sahaja ke Perak, tetapi ke Pulau Pinang juga.
Kata juga dapat mendukung maksud merangkap. Sila lihat contoh yang berikut:
17a. Gurunya yang juga jurulatihnya banyak membimbingnya.
17b. Gurunya merangkap jurulatihnya banyak membimbingnya.
Kata juga dapat menegaskan maksud ayat. Malahan, ada kalanya kata juga dapat digandingkan dengan kata pun. Sila lihat contoh yang berikut:
18a. Jangan ke rumah saya. Juga jangan hubungi saya.
18b. Dia suka melancong. Saya pun suka melancong juga.