20 Januari 2023, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Penulisan rencana dan berita yang baik bukan sahaja akan meningkatkan imej wartawan itu sendiri, malah melibatkan imej seluruh organisasi. Oleh itu, kaedah atau teknik penulisan yang betul dapat digunakan oleh sesebuah stesen televisyen sebagai satu daripada cara mendorong para wartawannya berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam dunia kewartawanan, terutamanya dalam bidang penulisan.

Sehubungan dengan itu, bagi tujuan tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama TVS telah mengadakan Bengkel Penulisan Rencana dan Berita, khusus untuk wartawan di TVS. Tujuan bengkel ini diadakan sebagai satu daripada usaha untuk membantu memantapkan lagi teknik penulisan dalam kalangan wartawan di sini, melalui penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul (ejaan dan tatabahasa) dan berkualiti, terutamanya dalam penyediaan teks untuk rencana dan berita.

Melalui bengkel ini, para peserta dapat memahami teknik penulisan rencana dan berita dengan baik, seperti yang diamalkan oleh para pengamal media yang lain. Para peserta juga dapat menguasai cara menulis gaya rencana dan berita yang berkualiti sebagai bahan siaran, selain dapat merancang titik temu rencana atau berita yang akan muncul, serta bagaimana hasil penulisan itu dapat menarik perhatian masyarakat.

Bengkel selama sehari ini dibimbing oleh Encik Mohamad Faizal Jamil, Munsyi Dewan (Sastera), yang dibantu oleh Puan Intan Nur Izzati Shabri dari Unit Pembinaan Bakat, DBPCS.

TVS (dahulunya dikenali sebagai TV Sarawak) merupakan saluran televisyen linear yang menyediakan berita dan pengaturcaraan, khususnya dari wilayah Sarawak ke negeri lain di Malaysia. TVS dimiliki sepenuhnya oleh Sarawak Media Group (SMG) Sdn. Bhd., yang ditubuhkan secara rasmi pada 10 April 2018.

Kini saluran TVS boleh ditonton oleh masyarakat di seluruh negara menerusi saluran 122 di myFreeview. Kesemua kandungan rancangan, format penyiaran dan pengaturcaraan saluran dikendalikan oleh pihak SMG sendiri. Atas keperluan inilah pihak TVS memerlukan sebuah program bimbingan penulisan, terutamanya yang melibatkan pelaporan rencana dan berita bagi tujuan siarannya, sama ada melalui televisyen atau media sosial.

Program ini juga merupakan susulan daripada kesinambungan kunjungan hormat Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS kepada Encik Sarbini Haji Hamdan dan Encik Rizal Zulkapli, Ketua Pegawai Eksekutif SMG, pada 2 Disember 2022 yang lalu.

Pada masa akan datang, kedua-dua pihak akan terus merancang beberapa program kerjasama, terutamanya dari aspek penulisan, bahasa dan sastera. Dalam bengkel yang sama juga, beberapa buah novel karya penulis tempatan Sarawak turut diserahkan kepada pihak TVS untuk dipilih dan diangkat menjadi skrip drama atau filem sebagai bahan siaran untuk masyarakat.

Sesi bimbingan penulisan rencana dan berita untuk wartawan TVS.

 

Encik Mohamad Faizal Jamil berkongsi ilmu dalam penulisan rencana dan berita kepada para peserta.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.