Oleh Kho Thong Eng
25 Januari 2023, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jalan bahasa yang baik ialah bentuk bahasa yang betul dan bermakna, iaitu ujaran atau penulisan yang dihasilkan harus menepati rumus tatabahasa, dan memenuhi keperluan semantik dan pragmatik. Namun demikian, ada kalanya terdapat bentuk bahasa yang telah dilazimkan oleh masyarakat tetapi bercanggah dengan rumus tatabahasa.

Dari segi ejaan, ada sejumlah kata pinjaman yang masuk pada zaman awal pertembungan kita dengan dunia Barat yang lari daripada bentuk ejaan kini. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  gelas, geran, pelan, setem, kelas, kelab
  2.  bampar, baucar

 

Jika kita meneliti senarai kata 1, kita tentu menyedari bahawa huruf vokal e pepet telah ditambah pada kata ekasuku untuk menjadikannya kata dwisuku kata. Dengan itu, bentuk konsonan rangkap (consonant cluster) telah dihilangkan, dan hal tersebut mungkin memudahkan penyebutan kata yang berkenaan. Namun demikian, kini kita sudah ada sejumlah kata ekasuku pinjaman yang dikekalkan gugus konsonannya. Contohnya ialah glic, glos, glu, gred, graf, plag, plak, stok, stor, klac, klik, klip, klu, blok, brek, trak, skru, dan kru.

Bagi kata pinjaman bampar dan baucar pula, bentuknya juga berbeza daripada yang lazim kita temukan. Sepatutnya ejaannya ialah bumper dan vaucer, iaitu dieja secara grafemik dan fonemik, dan mengikut rumus pengejaan kata pinjaman. Hal ini dikatakan demikian kerana bunyi [u], e pepet dan [v] tidak asing lagi dalam bahasa Melayu sekarang.

Dari segi pengimbuhan, terdapat sejumlah kata yang tidak ditambah imbuhan pada kata dasar dengan mengikut rumus biasa. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. mempengaruhi, mempesonakan, memperkasakan, memperkakaskan, mempunyai, mempelawa, mempercayai, mempedulikan, mempelopori
  2.  menternak

 

Jika kita teliti senarai kata 3, kita mendapati kebanyakan kata dasar berpangkalkan huruf p dan ditambah imbuhan mem-…-kan atau mem-…i. Dalam hal ini, huruf p pada awal kata dasar dikekalkan selepas ditambah imbuhan yang berkenaan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak mengikut rumus pengimbuhan biasa. Selain itu, suku kata pertama kata dasar yang berkenaan bukan imbuhan. Sebenarnya, kita sudah ada sejumlah kata yang hampir serupa yang mengikut rumus pengimbuhan yang betul. Contohnya ialah kata memeriksa, memerintah, memerangkap, memenjarakan, memerihalkan, memeringkatkan, memerenggankan dan sebagainya.

Bagi kata menternak pula, bentuk yang mengikut rumus pengimbuhan ialah menernak. Hal ini dikatakan demikian kerana suku kata pertama kata dasar ternak bukannya awalan teR-. Sila bandingkan bentuk menternak dengan bentuk menerkam, menerka, menerjah, menerjang, menerkap, menerpa dan sebagainya yang mengikut rumus pengimbuhan yang betul.

Dari segi aspek sintaksis, ada juga bentuk yang mengikut kelaziman daripada kegramatisan. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia yakin bahawa dia tidak bersalah.

5b.  Dia percaya bahawa dia telah menang.

5c.  Dia sedar bahawa dia harus berusaha.

 

Ayat kelompok 5 di atas merupakan ayat majmuk pancangan komplemen dengan kata adjektif. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap contoh ayat di atas mempunyai klausa bebas dan klausa komplemen. Selain itu, terdapat kata adjektif yakin, percaya dan sedar pada klausa bebasnya. Dari segi transformasinya, klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama seperti hal itu. Oleh itu, ayat kelompok  5 sepatutnya dapat ditulis semula seperti yang berikut:

6a.  *Dia yakin hal itu.

6b.  *Dia percaya hal itu.

6c.  *Dia sedar hal itu.

 

Walau bagaimanapun, kata adjektif seperti yakin, percaya dan sedar tidak boleh diikuti terus oleh frasa nama. Kita perlu ada sendi nama seperti akan, dengan atau pada sebagai kata perangkai atau pengantar objek. Oleh itu, bentuk yang betul ialah yang berikut:

7a.  *Dia yakin akan/dengan hal itu.

7b.  *Dia percaya akan/pada hal itu.

7c.  *Dia sedar akan hal itu.

8a.  *Dia yakin akan/dengan bahawa dia tidak bersalah.

8b.  *Dia percaya akan/pada bahawa dia telah menang.

8c.  *Dia sedar akan bahawa dia harus berusaha.

 

Oleh itu, bentuk kelompok ayat 5 sebenarnya tidak mengikut rumus tatabahasa. Kalau kita menambah kata sendi nama seperti akan, dengan atau pada pada kelompok ayat 5 (lihat kelompok ayat 8), ayat yang terhasil terlalu janggal dan pelik bunyinya. Jalan keluarnya ialah kita menjadikan ayat kelompok 8 sebagai ayat majmuk dengan kata kerja transitif, seperti yang berikut:

9a.  Dia meyakini bahawa dia tidak bersalah.

9b.  Dia mempercayai bahawa dia telah menang.

9c.  Dia menyedari bahawa dia harus berusaha.

 

Kita tahu bahawa pelengkap mesti mengikut kata kerja tak transitif, baik dalam ayat susunan biasa, susunan songsang, ayat penyata atau ayat tanya. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia tinggal di Taiping.

10b.  Tinggal di Taiping dia.

10b.  Tinggal di Taipingkah dia?

10c.  *Tinggalkah di Taiping dia?

10e.  *Tinggalkah dia di Taiping?

 

Dalam kelompok ayat 10 di atas, pelengkap frasa sendi nama di Taiping tidak boleh dipisahkan dari kata kerja tak transitif tinggal, tidak kira dalam ayat susunan biasa, susunan songsang, ayat penyata atau ayat tanya.

Walaupun demikian, kita sudah terbiasa dengan bentuk yang berikut:

11a.  Dia tahu tentang hal itu.

11b.  Tahukah dia tentang hal itu?

 

12a.  Dia faham tentang hal itu.

12b.  Fahamkah dia tentang hal itu?

 

Sebenarnya ayat 11b dan 12b kurang sempurna dari segi struktur binaannya jika kita lihat dari dua sudut yang berikut:

  1.  Jika kata tahudan fahamdigolongkan sebagai kata adjektif, kata adjektif tersebut harus diikuti terus oleh frasa nama hal itu yang menyusulinya dengan sendi nama penghubung tentang tanpa diselangi oleh subjek dia.

 

  1.  Jika kata tahudan fahamdigolongkan sebagai kata kerja tak transitif yang ada pelengkap, kata kerja tak transitif tersebut harus diikuti terus oleh frasa sendi nama pelengkap tentang hal itu yang menyusulinya tanpa diselangi oleh subjek dia.

 

Jadi,  bentuk yang betul ialah struktur ayat 13a dan 14a. Pilihan lain ialah kita menggunakan kata tanya adakah untuk memelihara struktur binaan kata adjektif + sendi nama perangkai + frasa nama atau struktur kata kerja tak transitif + pelengkap frasa sendi nama (lihat ayat 13b, 13c, 14b dan 14c).

13a.  Tahu tentang hal itukah dia?

13b.  Adakah tahu tentang hal itu dia?

13c.  Adakah dia tahu tentang hal itu?

 

14a.  Faham tentang hal itukah dia?

14b.  Adakah faham tentang hal itu dia?

14c.  Adakah dia faham tentang hal itu?

 

Sebagi kesimpulannya, terpulanglah pada kita untuk mengekalkan bentuk yang lazim tetapi kurang tepat sebagai kecualian, atau kita membetulkan bentuk kata dan struktur ayat yang salah dengan menampilkan bentuk baharu yang betul. Sesungguhnya, yang penting bagi kita bukan setakat ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’, tetapi ‘betulkan yang salah, biasakan yang betul’.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.