3 Februari 2023, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Filem Pendekar Bujang Lapok, arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1959 mengingatkan kita pada satu babak, iaitu ketika watak tiga orang sahabat baik yang dilakonkan oleh P. Ramlee, S. Samsudin dan Aziz Sattar pergi ke Sekolah Umum Buta Huruf untuk belajar mengeja dan membaca tulisan Jawi dengan Cikgu Ros. “Matanya satu ya, cikgu. Ada ekor, atas tanah, arr.. huruf mambang tanah” disertai dengan gelak tawa rakan sekelas. Watak ini dipersembahkan dalam bentuk humor tetapi punya makna tersirat.

Apabila menonton filem tersebut, Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee telah terkehadapan dalam membawa mesej tentang isu buta huruf kepada masyarakat, yang bukan sahaja berlaku dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga dalam kalangan orang dewasa. Jika dibiarkan berlanjutan, maka lahirlah generasi yang tidak celik huruf.

Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay (2022) di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Dewasa Ketujuh di Marrakesh, Maghribi, telah mengesahkan isu buta huruf merupakan isu global. Menurut beliau, dianggarkan sebanyak 770 juta orang daripada golongan muda dan dewasa termasuk dalam kelompok ini. Buta huruf merupakan kelompok yang tidak mahir menguasai aspek membaca, menulis dan mengira (3M) pada umur yang sepatutnya.                                                   

Istilah buta huruf kedengaran seakan-akan ungkapan bahasa kasar tetapi itulah kenyataannya. Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia tetapi semakin merunsingkan lebih-lebih lagi apabila bermulanya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian yang tidak begitu memberangsangkan kanak-kanak untuk menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira). Murid-murid di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai gajet untuk mengikuti pembelajaran seperti yang dijadualkan turut menyumbang kepada pertambahan bilangan ini. Kanak-kanak Tahap Satu di bandar juga tidak terlepas daripada terkena tempiasnya walaupun dilengkapi dengan kemudahan yang serba canggih.

Ramai yang menarik nafas lega apabila pengumuman sekolah dibuka semula. Ibu bapa dapat pergi bekerja seperti biasa. Guru-guru tidak sabar memulakan pembelajaran secara bersemuka dan murid-murid berasa rindu untuk bertemu semula dengan rakan-rakan. Namun begitu, isu buta huruf tetap terjadi seakan-akan suatu “wabak.” Sukatan pelajaran yang semakin menguji dengan tuntutan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menyebabkan murid-murid terlibat semakin tertekan. Perkara yang lagi membimbangkan adalah yang melibatkan gangguan psikologi sehingga menyebabkan kemurungan kerana membandingkan prestasi dengan kelompok murid yang celik huruf. Ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan akan lebih mendesak anak mereka untuk berusaha lebih keras sehingga menyebabkan golongan ini tidak yakin dan malu berdepan dengan orang lain.

Masyarakat perlu menyedari bahawa kemahiran menguasai 3M sangat penting untuk menentukan tahap pemahaman murid-murid terhadap isi kandungan terhadap sesuatu subjek. Oleh itu, usaha yang relevan perlu dilakukan secara berterusan. Dalam hal ini, kita tidak boleh terus-menerus menuding jari kepada pihak sekolah untuk bertanggungjawab dan menanggung permasalahan ini kerana guru-guru juga telah bertungkus lumus merangsang kemahiran murid-murid. Guru-guru juga terkesan sama disebabkan banyak murid yang buta huruf semasa pandemik COVID-19.

Penggunaan skrin peranti yang lama turut menyebabkan penurunan kecerdasan daya psikomotor murid-murid Prasekolah dan Tahap Satu. Hal ini membuatkan guru-guru menggandakan usaha, melatih semula aktiviti menulis dan membaca. Terdapat juga segelintir guru yang mengadakan kelas tambahan seusai waktu persekolahan tanpa bayaran demi melihat anak murid berjaya dan tidak ketinggalan mengikuti perancangan pembelajaran pada setiap minggu. Guru bukanlah lilin yang membakar diri tetapi obor yang menerangi kegelapan.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah berusaha melakukan transformasi dengan menyediakan kemudahan dan galakan pendidikan kepada pihak sekolah. Pihak kementerian telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) dan Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP), untuk menangani buta huruf dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, sebahagian ibu bapa yang tidak terlatih dalam pedagogi juga berjuang bersama-sama dalam memantau anak-anak dan sedaya upaya menyediakan kelengkapan pembelajaran agar tidak tercicir di samping  menyediakan sudut bacaan bagi menarik minat penguasaan 3M. Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Bahagian Ensiklopedia juga tidak ketinggalan memberikan penghargaan dengan menganjurkan Pertandingan Dekorasi Ruang Bacaan Keluarga.

Tidak dinafikan, sememangnya hal ini menuntut usaha yang keras daripada semua pihak bagi menyuntik semangat murid-murid harapan bangsa dan negara ini daripada terus tercicir. Kelas pemulihan khas berjadual pada waktu pagi dalam kumpulan kecil dengan menggunakan pendekatan pengajaran yang pelbagai akan membantu murid-murid terlibat mendapat bimbingan terus daripada guru. Oleh itu, modul pengajaran yang diaplikasikan turut dicadangkan mengikut tahap kemampuan bagi mengelakkan rasa terbeban kepada kedua-dua pihak.

Kepadatan dalam sesebuah kelas pemulihan juga perlu dielakkan agar murid buta huruf ini dapat menumpukan perhatian pada perkara yang disampaikan oleh guru. Pengkategorian kumpulan perlu dielakkan sama sekali kerana hal tersebut tidak akan menyelesaikan masalah, malah membuka jurang antara murid yang tidak celik huruf. Golongan ini sangat memerlukan dorongan motivasi daripada masyarakat sekeliling. Perlakuan memandang dengan sebelah mata sahaja tidak adil kerana setiap individu sudah pasti mempunyai kelebihan untuk menyumbang kepada pembangunan insaniah pada masa akan datang.

Usaha ini juga boleh diperluas dengan membuka ruang dan membenarkan bakal guru yang berada dalam pengajian pendidikan di universiti, di Institusi Pengajian Guru dan maktab perguruan untuk turun padang bersama-sama melakukan khidmat komuniti semasa cuti semester berlangsung dengan mengajar golongan murid terlibat dan sekali gus membantu guru-guru sedia ada.

Bakal guru bukan sahaja dapat menimba ilmu pengalaman bahkan dapat mengalami sendiri persekitaran kerja sebenar sebelum berkhidmat sebagai guru seusai pengajian kelak. Sememangnya Praktikum atau Latihan Mengajar diwajibkan kepada semua bakal guru namun kursus ini tertakluk pada semester tertentu sahaja. Justeru itu, dengan khidmat komuniti bakal guru ini bukan sahaja dapat membantu menangani masalah buta huruf bahkan dapat meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.

Selain itu, program seperti klinik insentif bergerak menguasai 3M secara percuma yang mendapat tajaan daripada pihak berkemampuan juga merupakan suatu ikhtiar untuk menyokong pihak sekolah dalam hala tuju mencapai kemenjadian murid. Sebagai tanda sokongan, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mengikuti program sedemikian. Pelaksanaan program seperti ini dicadangkan dapat diadakan pada setiap bulan ataupun jika ada permintaan ramai boleh dilakukan sebanyak dua kali sebulan di tempat tertentu.

Dengan adanya organisasi yang tersusun mengepalai program ini dan adanya pengajar sukarelawan yang mencukupi, sudah pasti usaha untuk  mengurangkan bilangan murid daripada terus berada dalam kelompok ini akan tercapai. “Wabak” buta huruf ini sememangnya sukar dimansuhkan tetapi sekurang-kurangnya terdapat inisiatif yang dilakukan daripada hanya membiarkannya dan tidak melakukan sebarang usaha untuk memperbaiki keadaan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.