Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAyat dapat kita analisis dari segi pola, jenis, ragam, dan susunannya. Bagi ayat tunggal atau ayat yang berstruktur ringkas, hal ini cukup mudah dilakukan. Namun demikian, bagi ayat majmuk, ayat yang panjang atau ayat yang berstruktur kompleks, analisis terhadapnya perlu dilakukan dengan lebih teliti.
Ada ayat yang mengandungi struktur ragam aktif dan pasif sekali gus. Oleh itu, penentuan ragam aktif-pasifnya berkait dengan struktur klausa utama sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia mengetahui bahawa adiknya dikenakan tindakan disiplin.
Analisis:
Klausa bebas/utama: Dia mengetahui hal itu. (ragam aktif)
Klausa tak bebas: bahawa adiknya dikenakan tindakan disiplin (ragam pasif)
Ragam ayat: Ayat aktif
1b. Projek itu dijalankan untuk kerajaan menolong orang miskin.
Analisis:
Klausa bebas/utama: Projek itu dijalankan (ragam pasif)
Klausa tak bebas: untuk kerajaan menolong orang miskin (ragam aktif)
Ragam ayat: Ayat pasif
Ada ayat yang pola klausa bebasnya berbeza daripada pola klausa tak bebas. Oleh itu, pola ayatnya ditentukan oleh pola klausa utama sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Dia membeli rumah yang besar itu.
Analisis:
Klausa bebas/utama: Dia membeli rumah itu. (FN + FK)
Klausa tak bebas: yang besar/rumah besar (FN + FA)
Pola ayat: FN + FK
2b. Dia sangat yakin bahawa dia akan berjaya.
Analisis:
Klausa bebas/utama: Dia sangat yakin. (FN + FA)
Klausa tak bebas: bahawa dia akan berjaya. (FN + FK)
Pola ayat: FN + FA
2c. Dia ke kampung untuk menjenguk ibu bapanya.
Analisis:
Klausa bebas/utama: Dia ke kampung (FN + FS)
Klausa tak bebas: untuk menjenguk ibu bapanya (FN + FK)
Pola ayat: FN + FS
2d. Ali ialah guru yang rajin.
Analisis:
Klausa bebas/utama: Ali ialah guru. (FN + FN)
Klausa tak bebas: yang rajin/guru rajin (FN + FA)
Pola ayat: FN + FN
Ada ayat yang predikatnya mempunyai kata kerja dan kata adjektif. Oleh itu, pola ayatnya ditentukan oleh kata yang berperanan utama dalam ayat tersebut. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Kasutnya hitam berkilat.
Analisis:
Predikat ayat: hitam (KA), berkilat (KK sebagai adverba kepada KA)
Struktur ayat: FN + FA
3b. Dia berjalan laju.
Analisis:
Predikat ayat: berjalan (KK), laju (KA sebagai adverba kepada KK)
Pola ayat: FN + FK
3c. Dia ke sana bersendirian.
Analisis:
Predikat ayat: ke sana (FS), bersendirian (KK sebagai adverba kepada FS)
Pola ayat: FN + FS
Ada ayat yang perlu dianalisis struktur dalamannya (deep structure). Hal ini dikatakan demikian kerana mungkin berlaku pengguguran unsur tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Orang itu baik sifatnya.
Analisis:
Predikat struktur permukaan: baik (KA), sifatnya (KN)
Predikat struktur dalaman: baik dari segi sifatnya: baik (KA), dari segi sifatnya (frasa keterangan kepada KA)
Pola ayat: FN + FA
4b. Berenang ialah hobinya.
Analisis:
Subjek struktur permukaan (sekali imbas): berenang (KK)
Subjek struktur dalaman: aktiviti berenang (FN)
Pola ayat: FN + FN
4c. Putih melambangkan kesucian.
Analisis:
Subjek struktur permukaan (sekali imbas): putih (KA)
Subjek struktur dalaman: warna putih (FN)
Pola ayat: FN + FK
Ada ayat yang susunan klausa bebasnya berbeza daripada susunan klausa tak bebas. Oleh itu, susunan ayatnya ditentukan oleh susunan klausa utama sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Elok keretanya jika enjinnya dibaiki.
Analisis:
Susunan klausa bebas/utama: Elok keretanya. (songsang)
Susunan klausa tak bebas; jika enjinnya dibaiki (biasa)
Susunan ayat: songsang
5b. Rumah itu lebih mahal selepas ditambah perabot baharu.
Analisis:
Susunan klausa bebas/utama: Rumah itu lebih mahal. (biasa)
Susunan klausa tak bebas: selepas ditambah perabot baharu (pasif songsang)
Susunan ayat: biasa
Walau bagaimanapun, ada kalanya susunan klausa utama dan klausa tak bebas sama. Sila lihat contoh yang berikut:
6a. Rumah itu lebih mahal selepas dilengkapi perabot baharu.
Analisis:
Susunan klausa bebas/utama: Rumah itu lebih mahal. (biasa)
Susunan klausa tak bebas: selepas (rumah itu) dilengkapi perabot baharu
(pasif, biasa)
Susunan ayat: biasa
6b. Rumah itu lebih mahal selepas ditambah dengan perabot baharu.
Analisis:
Susunan klausa bebas/utama: Rumah itu lebih mahal. (biasa)
Susunan klausa tak bebas: selepas (rumah itu) ditambah dengan perabot baharu (pasif, biasa)
Susunan ayat: biasa