Oleh Kho Thong Eng
27 Februari 2023, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata ganda (reduplicated words) ialah kata yang dihasilkan melalui proses pengulangan seluruh atau sebahagian kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. kata ganda semu: penggandaan akar kata, seperti tiap-tiap, kanak-kanak, rama-rama
  2.  kata ganda penuh: seluruh kata dasar diulang, seperti rumah-rumah, pendapat-pendapat, kajian-kajian, kesilapan-kesilapan
  3.  kata ganda separa:sebahagian kata dasar diulang, seperti jejari, sayur-sayuran, berlari-lari, bantu-membantu, hormat-menghormati

 

Kata jamak (plural words) ialah kata yang mendukung makna bilangan lebih daripada satu. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. kata ganda, seperti kerusi-kerusi, adik-beradik, anak-beranak, sayur-sayuran
  2. kata bilangan, seperti dua, kedua-dua, beratus-ratus, banyak, ramai, kebanyakan, sebilangan, ramai, sesetengah, semua, segala, beberapa
  3.  kata kolektif, seperti senarai, kalangan, kumpulan, persatuan, kesatuan
  4. kata yang dapat bermakna kolektif atau jamak, sepertirakyat, remaja, belia
  5. Sebilangan kata kerja dengan apitan beR-…-an, seperti berterbangan, bergayutan, bergantungan
  6.  kata adjektif ganda, seperti cantik-cantik, besar-besar
  7.  kata sendi nama tertentu, seperti antara
  8.  kata ganti nama tertentu, seperti kami, kita, mereka

 

Apakah hubungan antara kata ganda dengan kata jamak? Ada kata jamak yang tidak boleh diikuti oleh kata ganda penuh. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  *Dua/Kedua-dua orang petugas-petugas baharu itu rajin.

1b.  Dua/Kedua-dua orang petugas baharu itu rajin.

 

2a.  *Kebanyakan pelancong-pelancong sopan.

2b.  Kebanyakan pelancong sopan.

 

3a.  *Sesetengah/Sebilangan jiran-jiran sedia menolong kita.

3b.  Sesetengah/Sebilangan jiran sedia menolong kita.

 

4a.  *Beratus-ratus orang-orang menghadiri majlis itu.

4b.  Beratus-ratus orang menghadiri majlis itu.

 

5a.  *Banyak/Ramai tetamu-tetamu datang awal.

5b.  Banyak/Ramai tetamu datang awal.

 

6a.  *Hubungan dalam kalangan guru-guru baik.

6b.  Hubungan dalam kalangan guru baik.

 

7a.  *Kerjasama antara murid-murid membanggakan.

7b.  Kerjasama antara murid membanggakan.

 

8a.  *Persatuan pengakap-pengakap itu aktif.

8b.  Persatuan pengakap itu aktif.

 

9a.  *Kumpulan murid-murid itu bergotong-royong.

9b. Kumpulan murid itu bergotong-royong.

 

10a.  *Senarai buku-buku itu panjang.

10b.  Senarai buku itu panjang.

10c.  Senarai-senarai buku itu panjang.

 

Ada kata yang dapat mendukung maksud kolektif atau jamak dan tidak boleh digandakan. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia merupakan rakyat yang setia.

11b.  Dia merupakan remaja yang cergas.

11c.  Dia merupakan belia yang berwawasan.

 

12a.  *Rakyat-rakyat kita harus bersifat setia.

12b.  Rakyat kita harus bersifat setia.

 

13a.  *Remaja-remaja penting kepada negara.

13b.  Remaja penting kepada negara.

 

14a.  *Belia-belia harus bekerja keras.

14b.  Belia harus bekerja keras.

 

Ada kata jamak yang tidak boleh digandingkan dengan kata ganda penuh dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut.

15a.  *Burung-burung berterbangan.

15b.  Burung berterbangan.

15c.  Burung-burung terbang.

 

16a.  *Kelawar-kelawar bergantung di dalam gua.

16b.  Kelawar bergantungan di dalam gua.

 

17a.  *Rumah-rumah di sana cantik-cantik.

17b.  Rumah di sana cantik-cantik.

17c.  Rumah-rumah di sana cantik.

17d.  Rumah di sana cantik.

 

Ada kata ganda separa yang tidak boleh digandingkan dengan kata jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

18a.  *Dia membeli banyak sayur-sayuran.

18b.  Dia membeli banyak sayur.

18c.  Dia membeli sayur-sayuran.

18d.  Dia membeli sayuran.

 

Ada kata ganda semu yang tidak dapat diikuti kata ganda penuh. Sila lihat contoh yang berikut:

19a.  *Tiap-tiap guru-guru hadir.

19b.  Tiap-tiap guru hadir.

 

Ada kata ganda semu yang boleh didahului oleh kata jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

20a.  Sebilangan kanak-kanak miskin.

20b.  *Sebilangan kanak miskin.

 

21a.  Beberapa ekor rama-rama ditangkapnya.

21b.  *Beberapa ekor rama ditangkapnya.

 

Ada kata jamak yang tidak boleh diikuti kata ganda penuh tetapi boleh diikuti oleh kata ganda lain. Lihat contoh yang berikut:

22a.  *Hubungan antara guru-guru itu baik.

22b.  Hubungan antara adik-beradik itu baik.

22c.  *Hubungan antara adik itu baik.

 

23a.  Hubungan antara kedua-dua orang itu baik.

23b.  *Hubungan antara kedua orang itu baik.

 

24a.  Perpaduan antara beratus-ratus orang sukar dipelihara.

24b.  *Perpaduan antara beratus orang sukar dipelihara.

 

Ada kata jamak yang tidak boleh diikuti kata ganda penuh tetapi boleh diikuti oleh kata ganti nama diri yang jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

25a.  *Hubungan antara guru-guru itu baik.

25b.  Hubungan antara kami / kita / mereka baik.

25c.  *Hubungan antara dia baik.

 

Satu hal yang menarik ialah kata kekurangan yang ada kalanya bermaksud jamak, dan ada kalanya tidak. Sila lihat contoh yang berikut:

26a.  *Dia kekurangan buku-buku rujukan.

26b.  Dia kekurangan buku rujukan.

 

Dalam ayat 25a, kata kekurangan mendukung maksud jamak, dan maknanya ialah ‘tidak cukup mempunyai sesuatu’ (short of/lack of). Namun demikian, dalam situasi lain, kata kekurangan mendukung maksud “kelemahan” atau “ketidaksempurnaan” (weakness, defect) yang mungkin bersifat mufrad atau jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

27a.  Dia mempunyai satu kekurangan yang ketara.

27b.  Dia mempunyai banyak kekurangan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.