10 Mac 2023, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Malaysia terkenal dengan kepelbagaian dialek yang unik. Satu daripadanya ialah dialek Kelantan. Sehubungan dengan itu, perbualan dan interaksi secara langsung tentang keunikan dialek Kelantan ini telah disiarkan secara langsung semalam dalam rancangan Rampai Budaya, “Kayanya Bahasa Kita”, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Radio Malaysia KELANTANfm. Rancangan ini bersiaran pada pukul 5.00 petang hingga 6.00 petang menerusi Radio KELANTANfm, bersama dengan juruhebah Abe Dik dan Tuan Haji Mohammed Haron (Munsyi Dewan).

Program yang bersiaran selama satu jam ini dapat memberikan ruang dan peluang kepada orang ramai, khususnya para pendengar Radio KELANTANfm untuk mempelajari dan berkongsi tentang loghat Kelantan secara santai dan terperinci. Rancangan ini bersifat interaktif  dan para pendengar dapat menyuarakan pertanyaan yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan secara langsung kepada Munsyi Dewan.

Dalam perkongsian tersebut, Tuan Haji Mohammed Haron melontarkan beberapa perkataan dalam loghat Kelantan. Antara perkataan dalam ayat yang dibincangkan dalam loghat Kelantan tersebut termasuklah “Ralit wei dengar kecek Kelate”, yang bermaksud tidak jemu mendengar perbualan dan “Tawar hebeh kuoh lakso” yang bermaksud rasa kuah laksa yang tawar.

Pesanan turut dititipkan kepada para pendengar oleh Radio Kelantan fm yang berbunyi “Sepatah kata berjuta makna, meniti bibir warisan bangsa, menjadi kalam berbicara mesra, betapa kayanya bahasa kita sebagai penyambung lidah pendekar, segalanya terhimpun dalam rampai budaya”.

Juruhebah Abe Dik dan Tuan Hj Mohammed bin Haron (Munsyi Dewan) ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan Rampai Budaya “Kayanya Bahasa Kita”.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.