Oleh Avatar photo Yusaida Yusof
11 Mac 2023, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

NGO, iaitu Non-Governmental Organization (Pertubuhan Bukan Kerajaan) merupakan badan atau pertubuhan sukarela yang bergerak dalam bidang sosial, ekonomi, kebudayaan, alam sekitar, kesihatan, pembasmian kemiskinan, budaya dan sastera atau pendidikan dengan matlamat dan fungsi­nya yang tertentu. NGO ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya individu atau komersial. Di negara ini, NGO berdaftar bergerak menggunakan landasan seperti yayasan, persatuan, kelab atau kumpulan.

Dari aspek bahasa, usaha melibatkan NGO juga dilihat sangat penting dalam usaha membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Usaha ini sememangnya telah pun dilaksanakan, sedang dan akan terus diusahakan dengan sokongan dan dokongan pelbagai pihak dengan cara masing-masing demi kebaikan bersama.

Sehubungan dengan itu, satu program Wacana 152 telah dianjurkan pada hari ini oleh DBP Wilayah Timur dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Kelantan, yang turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). 

Yang berikut merupakan inti pati ucap utama Presiden PERADABAN, YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman, yang bertajuk “Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Pemartabatan Bahasa Kebangsaan”.

************************************************************************************

Apakah itu NGO atau pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan? Siapakah para pemimpin dan ahli-ahli mereka? Ada NGO Melayu dan ada NGO bukan Melayu. Ada yang campuran antara kaum dan etnik. Ada ribuan NGO yang berdaftar di Malaysia yang merangkumi gerakan sukarela dalam pelbagai bidang, yakni kegiatan sosial, kebudayaan, kesenian, persuratan, perikanan, pertanian, sukan, kebajikan, belia, wanita, agama, khairat dan banyak lagi.

Di Kelantan, antara NGO yang ada adalah seperti Majlis Kebudayaan Negeri (MKN), Majlis Belia Negeri (MBN), Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Angkatan Belia Islam (ABIM). Peranan mereka dalam aneka macam gerakan bukan sedikit.

NGO sudah sekian lama wujud di Malaysia. Kesemuanya didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) (Jabatan Pendaftaran Negeri atau Malaysia), manakala syarikat, badan perniagaan atau perdagangan terletak di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berfungsi sebagai Pendaftar Syarikat (ROC).

Apakah pula erti pemartabatan? Kenapakah kita masih mahu bercakap tentang martabat bahasa kebangsaan? Martabat itu maknanya kedudukan sesuatu pada mata masyarakat, darjatnya, tingkatnya, bermartabat atau tidak. Sudahkah kita jadikan sesuatu itu bermartabat?

Maksud pemartabatan itu ialah perihal usaha atau upaya yang bertujuan mengangkat sesuatu perkara ke tahap yang lebih tinggi. Siapakah pemartabatnya jika tidak orang atau golongan atau pihak yang menggerakkan pemartabatan itu? Kita boleh sahaja mengatakan kepada seseorang atau golongan sebagai pejuang dan pemartabat bahasa. Mereka itu harus bersedia berdepan dengan berbagai-bagai masalah, ujian dan cabaran.

Jikalau dikatakan ada sesuatu pihak yang tidak sealiran dengan aspirasi perjuangan dan pemartabatan bahasa, mungkin mereka itu lebih bersenang-senang bahkan selesa dengan penggunaan bahasa asing. Mereka tidak memandang penting kepada usaha pemartabatan bahasa negara sendiri.

Kata martabat itu menunjukkan kedudukan sesuatu darjat atau tingkat sehingga mencapai tahap bermartabat, yakni memiliki suatu macam maruah dan jati diri. Apabila dikatakan bermartabat, bermakna kedudukan bahasa itu juga mempunyai martabat.

Dalam usaha pemartabatan itu, memang diperlukan sesuatu pihak, orang atau golongan yang sedar mahu bertindak bersama-sama memartabatkan bidang tertentu kehidupan, seperti kemajuan ekonomi, bahasa, sastera dan budaya, bahkan memelihara kehidupan fauna dan flora. Pihak, orang atau golongan ini akan dipanggil pemartabat. Untuk memartabatkan bahasa, maka sebagai pejuang dan pemartabat, seseorang itu atau golongan para pemimpin NGO perlu bersedia berdepan dengan berbagai-bagai masalah dan cabaran.

Dasar Bahasa Negara

Apakah kita benar-benar faham bahawa kemerdekaan 1957 (dan pembentukan Malaysia 1963), arah tuju pembangunan negara dan pembinaan bangsanya adalah ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia? Bahasa adalah asas pembinaan tamadun dan paksi kepada konsep kenegaraan tersebut. Pengembangan dan penggunaan bahasa kebangsaan adalah untuk semua bidang dan peringkat kehidupan.

Apakah kita benar-benar menghayati aspirasi Perlembagaan Persekutuan: tentang struktur pemerintahan dan pentadbiran sebuah persekutuan, makna kontrak sosial, konsep, prinsip dan pancang-pancang kenegaraan? Prinsip utamanya “Raja Berperlembagaan Demokrasi Berparlimen”: ada unsur sejarah dan budaya yang menjadi teras negara kebangsaan, maka bahasa kebangsaan itu adalah jati diri atau keperibadian bangsa Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan merupakan perundangan induk yang tertinggi kepada negara dan kenegaraan. Cuba tanya, kenapakah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua ranah kehidupan di Malaysia sering menjadi persoalan? Sektor awam adalah fasilitator kemajuan negara. Ada peranan besar semua agensi sektor awam, swasta, institusi dan organisasi awam atau pertubuhan dalam mendukung Dasar Bahasa Kebangsaan. Di manakah letaknya teladan kebahasaan, perluasan pengembangan dan pembinaannya?

Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah menjadi “Tanggung Perlembagaan”. Semua pihak wajib melaksanakannya secara integral dan bersama-sama merealisasikan perkara peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan. Peranan ini bukan terletak ke atas bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata. DBP ialah agensi pembangunan dan pembinaannya termasuk dalam aspek pembakuan bahasa dari segi ejaan, sebutan, istilah dan peranannya mengisi kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu.

Bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu. Istilah bahasa Melayu ialah istilah ilmu dan nama bahasa Malaysia digunakan dalam konteks politik. Fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Ada Akta khusus DBP sebagai agensi pelaksana.

Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan “Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen” dan Perkara 152 (6) menegaskan “Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Secara ringkasnya, perlembagaan dan undang-undang Malaysia telah menetapkan Dasar Bahasa Negara seperti yang berikut:

* Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia.

* Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

* Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa lain.

Apakah seluruh rakyat, pertubuhan politik, semua peringkat agensi dan institusi serta pertubuhan sukarela bersifat NGO faham bahawa bahasa bukan sekadar dimaksudkan untuk “menulis’” dan “bercakap” atau tulisan dan lisan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi itu berfungsi sebagai:

* Wahana jati diri kebangsaan.

* Wahana komunikasi dan perpaduan bangsa.

* Bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara:

  1. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
  2. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan.
  3. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar pendidikan.
  4. Bahasa Melayu menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri.
  5. Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi.
  6. Bahasa Melayu menjadi bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.

* Fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasmi bahasa kebangsaan, “Satu bahasa kebangsaan bagi sebuah negara bangsa Malaysia”.

Dengan demikian, Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri. Soalnya, apakah dasar ini sentiasa dijunjung, dipatuhi dan dilaksanakan semua pihak dan golongan Kesemua mereka itu wajib bertindak bersama dalam memartabatkannya ke tahap yang tertinggi dalam kehidupan masyarakat kita yang bernegara dan berbangsa.

Di negara-negara maju di Eropah dan Asia, usaha memartabat, memantap dan memperkasakan bahasa di negara mereka dilakukan tanpa dolak dalik lagi. Kenapakah pula di Malaysia sejak kemerdekaan bahkan pada awal tahun 1990-an, negara ini terus berhadapan dengan dilema bahasa?

Apakah sukar dimengerti bahawa bahasa Melayu itu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, wahana perpaduan dan keilmuan? Statusnya tidak sama dengan mana-mana bahasa kaum atau etnik. Sedarkah kita bahawa status bahasa kebangsaan itu adalah salah satu tonggak kenegaraan?

Negara dan Bangsa Malaysia

Sejauh manakah rakyat memahami peruntukan undang-undang Malaysia yang telah menetapkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)? Apakah rakyat Malaysia memahami bahawa mereka tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa ibunda sendiri dan bahasa-bahasa lain?

Persoalannya, apakah bahasa Melayu sudah benar-benar diamalkan dengan betul dan benar sebagai bahasa kebangsaan di semua peringkat dan lapisan?

Apabila disebut “Bahasa Menunjukkan Bangsa” atau “Bahasa Jiwa Bangsa”, natijah sebaliknya ialah bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya dalam berbahasa, mantap penggunaan bahasa kebangsaannya. Sejauh manakah aspek kesopanan dan kesantunan berbahasa dipelihara?

Apakah yang dimaksudkan dengan negara bangsa? Bukankah satu bangsa bagi satu negara (Istilah: A Single Nation in A Single State). Bangsa itu “nation’”= nasionalisme. “Race” = racialisme atau racisme. Malaysia sebuah negara kebangsaan (nation state): ada dasar kebangsaan dan ada gagasan, institusi dan lambang kenegaraan.

Antara tiga prinsip yang perlu diperhatikan ialah:

* Prinsip penerimaan

* Prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara

* Prinsip keadilan sosial

Prinsip penerimaan, misalnya “Kesatuan dalam Kepelbagaian” diterima hakikatnya kerana sifat demografinya yang pelbagai etnik, budaya, bahasa, dialek, adat resam dan warisan seni. Ada pelbagai masyarakat dan kaum tetapi masyarakatnya adalah satu bangsa Malaysia. Mereka bersatu padu melalui persamaan dan perkongsian nilai bersama.

Prinsip Perlembagaan adalah pedoman yang mengikat arah tuju negara dan kenegaraan. Semua struktur dan sistem termaktub di situ termasuklah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri. Manakala Rukun Negara pula adalah ideologi negara dan falsafah kenegaraan.

Prinsip keadilan sosial menandakan antara hak dengan bukan hak. Hak negara seperti status bahasa kebangsaan adalah berbeza daripada hak kaum tentang bahasa etnik, bahasa kaum dan dialek, kebebasan beragama, pakaian suku kaum berbeza dengan pakaian kebangsaan, warisan seni sukuan, pilihan makan minum dan sebagainya

Negara Bangsa: bangsanya perkongsian lambang; kesetiaan politik (political loyalty); perkongsian nilai budaya bersama; pembinaan negara (nation building); pembangunan modal insan (banyak pendekatan, antaranya termasuklah melalui pendidikan bahasa, sastera dan budaya).

Oleh itu, apakah sikap dan tabiat yang harus ada di di semua peringkat dan lapisan rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi, pertubuhan dan sebagainya dalam menunjukkan komitmen dan kebersamaan peranan? Yang paling pasti ialah apa yang tersemat di hati dan ditanya pada diri. Apakah tahap pemahaman semua lapisan rakyat Malaysia benar-benar mencintai bahasa dan kukuh pendirian terhadap fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara?

Isu Bahasa, Pendekatan dan Strategi Pemartabatan

Kenapakah bahasa kebangsaan Malaysia tidak kelihatan mantap dalam semua ranah kehidupan? Peranan semua sektor khususnya sektor awam dan swasta serta pertubuhan NGO itu sangat besar. Dasar bahasa menjadi tanggungjawab bersama atau tanggungjawab perlembagaan.

Kenapakah pencapaian bahasa kebangsaan belum tercapai sepenuhnya? Ada penegasan semula pernah dibuat tetapi secara menyeluruh hambar sambutannya. Bukankah kita juga memerlukan transformasi, reformasi, inovasi dan kreativiti baharu terhadap pelaksanaan dasar bahasa negara?

Kenapakah masih wujud sikap negatif terhadap bahasa kebangsaan: tiada megah atau bangga akan bahasa negara sendiri tidak seperti Jepun, Perancis, Korea, Jerman, China dan lain-lain?

Kenapakah berleluasanya sikap pasif, tabiat negatif, rendah diri dan menganggap bahasa Inggeris lebih “superior” atau agung, bukan soal menang-kalah. Pengimportan sumber budaya asing; ada pengaruh imperialisme budaya. Seharusnya patut dicari situasi sama menang (win-win situation).

Betapakah tiada kepedulian bahasa atau cakna bahasa? Tidak peduli tentang campur aduk bahasa; bahasa rojak; “sekerat belut sekerat ular”.

Betapa terbiarnya pengaruh seni budaya Barat menyerang peradaban bangsa: hedonisme, pengaruh lagu-lagu Barat di tadika, tiada keseimbangan antara lagu bahasa Inggeris dengan bahasa negara.

Betapakah negara bangsa ini melupakan jati diri sendiri? Kepentingan sejarah dan kesusasteraan terpinggir! Nilai sastera: patriotisme, kesetiaan dan kasih sayang. Karya-karya agung Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu tidak dibaca. Nilai budaya dalam pantun, peribahasa dan sebagainya. Konsep penamaan patut mengambil contoh terbaik daripada sejarah dan sastera.

Mengapakah terjadi kemerosotan kesedaran sastera? Berada pada tahap yang lemah – seolah-olah memandang bahasa dan sastera tidak saling melengkapi dan berpadu. Masyarakat membelakangkan pemancaran nilai budaya yang tercerna melalui kreativiti sastera dan kekuatan bahasa, sekali gus tidak membawa kepada pengukuhan jati diri dan sahsiah bangsa.

Kenapakah kita tidak bersedia memperbanyak program ketahanan jati diri bangsa? Pendekatan melalui kebudayaan diabaikan, misalnya tentang falsafah dan pemikiran, aspek kebendaan dan lambang; kesenian dan pemupukan nilai dan norma bersama.

Seharusnya pada masa ini terus-menerus dicari jalan bagaimana boleh diatasi masalah kurang respons pelbagai kaum dan etnik, suku bangsa terhadap bahasa; betapa merosotnya penghayatan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan.

Bagaimanakah pula situasi semasa tentang keazaman politik atau political will dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Negara oleh Kerajaan Persekutuan; kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Bahasa itu merupakan asas pembinaan tamadun atau peradaban sesuatu bangsa dan sesebuah negara. Peranan dan fungsi bahasa hendaklah berada pada semua peringkat dan lapangan kehidupan, bukan semata-mata sekadar untuk komunikasi bahkan mendukung ilmu dan keilmuan, pengantar pendidikan, urusan perdagangan, perniagaan, persuratan, kebudayaan, kesenian, dan seumpamanya.

Bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Soalnya, apakah dengan adanya sebuah Perlembagaan Persekutuan, maka semua aspek kaedah Malaysia berbangsa dan bernegara itu telah wujudnya sebuah negara bangsa Malaysia dengan kekuatan bahasa sendiri?

Tanya diri: Apakah jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa Malaysia sudah gemilang? Apakah status bahasa Melayu sebagai bahasa negara itu benar-benar berada di martabatnya, mantap dan perkasa sesudah lebih beberapa dekad merdeka? Jika tidak, mahu ke manakah kita dalam membina peradaban bangsa bagi ratusan tahun akan datang, meskipun antara peranannya patut dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan?

(Disesuaikan daripada ucap utama oleh YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman (Presiden PERADABAN) pada 11 Mac 2023, dalam program Wacana 152, yang bertajuk “Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Pemartabatan Bahasa Kebangsaan”)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.