Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Oleh itu, setiap rakyat seharusnya fasih dan mampu bertutur menggunakan bahasa Melayu sebagai lambang jati diri seorang warganegara Malaysia. Walau bagaimanapun, kini masih terdapat sesetengah masyarakat yang tidak mahir dan tidak mampu bertutur menggunakan bahasa ini.
Antara puncanya termasuklah kecenderungan ibu bapa yang lebih suka melihat anak masing-masing bertutur dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris. Kesannya, sesetengah kanak-kanak pada masa ini langsung tidak mahir atau tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.
Jika keadaan ini berterusan, bahasa Melayu dibimbangi terus ketinggalan dari semasa ke semasa, terutamanya pada era yang semakin canggih dengan sains dan teknologi moden ini. Oleh itu, pelbagai langkah atau cara perlu dilakukan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu tidak terus ketinggalan.
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan bahasa Melayu terus ketinggalan termasuklah menggalakkan penerbitan buku, bahan bacaan, seni lagu dan kandungan digital yang menggunakan bahasa Melayu oleh pihak kerajaan. Kini perkembangan bidang penerbitan dilihat semakin perlahan kesan daripada revolusi teknologi pada hari ini. Masalah ini perlu diatasi dengan segeranya.
Pada asalnya, masyarakat terdahulu disajikan dengan bait sajak dan syair daripada karyawan yang mampu menyuntik semangat diri dan cinta akan negara. Kini perkara tersebut sudah hampir-hampir tidak berlaku disebabkan oleh kemajuan pesat pada era ini.
Masyarakat pada hari ini tidak lagi mempunyai karya yang sarat dengan ilmu yang mampu melahirkan semangat cinta akan negara dan memupuk nilai murni yang lain. Masyarakat juga disajikan dengan drama dan hiburan yang matlamatnya untuk membuat penonton tertawa, bukannya membentuk minda masyarakat ke arah yang lebih baik.
Persepsi dan budaya ini seharusnya disedari oleh semua pihak. Tindakan yang bijak pula perlu diambil untuk mengubahnya kepada perkara yang lebih bermanfaat. Contohnya, masyarakat terdahulu di kawasan pantai timur Semenanjung mempunyai seni wayang kulit yang mengetengahkan isu semasa dan memberikan pengajaran kepada penonton yang menikmati seni warisan tersebut.
Karya dan terbitan kreatif yang menggunakan bahasa ibunda akan lebih bermakna jika masyarakat mula menghargainya dan secara tidak langsung memartabatkan lagi bahasa kebangsaan.
Selain itu, langkah lain yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak peranan DBP yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Antaranya termasuklah membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuklah sains dan teknologi. Bukan itu sahaja, DBP juga berperanan dalam membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
Beberapa Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebarluaskan istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan.
Situasi yang dinyatakan ini menyaksikan perancangan korpus bahasa Melayu berkembang dengan begitu pesat. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya memainkan peranan yang penting untuk membantu DBP memartabatkan bahasa Melayu, seperti memberikan bantuan dari segi kewangan atau infrastruktur yang terkini.
Bantuan dalam bentuk kewangan seharusnya diberikan secara konsisten agar pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu dapat dijalankan seperti aktiviti Sayembara Pidato Antarabangsa yang biasanya dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan, dengan usaha sama Radio Televisyen Malaysia (RTM). Kesannya, bahasa Melayu dapat terus dimartabatkan melalui aktiviti yang dianjurkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu memastikan bahawa setiap urusan rasmi negara menggunakan bahasa kebangsaan. Setiap Ketua Jabatan pula perlu memastikan setiap urusan rasmi anjuran jabatan masing-masing menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Situasi ini bertujuan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Contohnya, penyediaan surat-menyurat setiap agensi kerajaan perlulah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Bukan itu sahaja, semua penjawat awam juga seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan baiknya dalam setiap urusan rasmi, sama ada dalam wacana lisan atau tulisan. Penjawat awam yang kurang mahir berbahasa Melayu digalakkan untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa Melayu.
Antaranya termasuklah dengan cara menghadiri latihan dan pembangunan kompetensi yang dianjurkan oleh agensi bahasa yang bersesuaian bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan bahasa Melayunya dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Menerusi langkah ini, barulah bahasa Melayu dapat terus digunakan secara meluas dalam setiap urusan pentadbiran negara.
Di samping itu, langkah berkesan yang boleh diambil adalah dengan memansuhkan sekolah vernakular. Langkah ini bukan bertujuan untuk mendiskriminasikan kaum lain, tetapi terbukti bahawa kebanyakan murid yang belajar di sekolah vernakular sukar bertutur dalam bahasa Melayu.
Situasi ini akan melahirkan warganegara Malaysia yang tidak fasih atau tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana memberikan banyak kesan buruk kepada negara. Oleh itu, pemansuhan sekolah vernakular seharusnya dilakukan untuk membolehkan setiap rakyat dapat berkomunikasi dengan baiknya antara satu dengan lain tanpa mengira bangsa dan agama.
Dalam hal ini, masyarakat perlu menyedari bahawa bahasa merupakan agen perpaduan yang paling asas. Maka itu, bahasa Melayu perlu dipupuk bermula pada peringkat sekolah agar perpaduan dapat dibentuk di negara ini.
Pihak yang bertanggungjawab, iaitu pihak kerajaan seharusnya bersikap tegas terhadap cadangan penghapusan sekolah ini bagi melahirkan warganegara yang fasih berbahasa Melayu. Secara tidak langsung, tindakan ini dapat memastikan bahasa Melayu terus relevan untuk mendepani dunia yang semakin moden dari semasa ke semasa.
Kesimpulannya, bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia sewajarnya terus dimartabatkan walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan bahasa ini terus relevan pada peringkat antarabangsa.
Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab seharusnya menggembleng tenaga dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan langkah yang proaktif bagi memastikan bahasa Melayu tidak ketinggalan zaman.
Isu ini tidak boleh dianggap remeh kerana boleh menjadi duri dalam daging kepada negara Malaysia. Jika bahasa Melayu dapat terus digunakan dan dimartabatkan, Malaysia mampu melahirkan lebih banyak modal insan yang sentiasa mengamalkan hidup bersatu padu dan harmoni.