22 Mac 2023, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Sebanyak 25 orang peserta daripada pelbagai etnik seperti daripada suku Melanau (Jerijih, Mukah, Ajang, Igan, Seduan, Mato), Kiput, Kayan, Remun, Bisaya, Punan, Melayu, Bidayuh, Kejaman dan Berawan, telah menghadiri Bengkel Kerja Pangkalan Data Bahasa Sukuan Sarawak (PDUBSS), yang diadakan selama empat hari yang bermula pada 16 Mac 2023 hingga 19 Mac 2023 di Penview Hotel, Kuching, Sarawak. Bengkel ini telah disempurnakan oleh Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta.

Bengkel kerja yang memfokuskan perkongsian istilah bahasa sukuan yang merangkumi kerja-kerja pengenalpastian bahasa dan dialek daerah di seluruh Sarawak ini merupakan inisiatif awal DBP Cawangan Sarawak mendokumentasikan istilah bahasa sukuan berdasarkan beberapa tatacara.

Antara perkataan sukuan Sarawak yang telah diterima pakai oleh pengguna bahasa masyarakat majmuk di Malaysia termasuklah perkataan seperti awah, reruai dan merarau.

Bengkel kerja tersebut turut dibahagikan kepada beberapa sesi. Antaranya termasuklah sesi perkongsian para peserta tentang istilah bahasa sukuan dan adat budaya warisan etnik masing-masing berdasarkan tema yang ditetapkan pada tahun ini, iaitu adat perkahwinan, adat pertunangan dan permainan tradisional etnik.

Bengkel Kerja PDUBSS ini merupakan program tahunan Unit Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa, serta antara usaha yang dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sarawak dalam mendokumentasikan pelbagai bahasa sukuan di Sarawak.

Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Sarawak sedang menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Menurut Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dalam ucapannya semasa sesi penangguhan Bengkel Kerja PDUBSS, terdapat empat bahasa sukuan Sarawak yang telah disahkan pupus seperti bahasa Seru, Pegu, Bliun dan Lelak.

Oleh hal yang demikian, DBP Cawangan Sarawak sentiasa berbesar hati dalam menjalinkan sinergi dengan para pemegang taruh yang terdiri daripada individu dan pelbagai persatuan etnik dalam mendokumentasikan bahasa sukuan.

Seorang daripada peserta Bengkel Kerja PDUBSS sedang berkongsi istilah bahasa sukuan dan adat budaya warisan etnik masing-masing.

Tambah beliau lagi, hasil daripada garapan sinergi tersebut juga secara tidak langsung membantu pihak DBP Cawangan Sarawak mendokumentasikan bahasa sukuan dan menerbitkan pelbagai kamus serta daftar kata bahasa sukuan Sarawak yang diusahakan selama ini.

Contohnya seperti Kamus Bahasa Iban – Melayu Dewan, Kamus Bahasa Vaie – Bahasa Melayu, Kamus Melayu Dewan – Melanau Mukah, Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Bakong dan Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Kenyah Cebup.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.