Oleh Kho Thong Eng
27 Mac 2023, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayat dasar merupakan asas atau sumber pembentukan semua ayat dalam sesuatu bahasa. Oleh itu, semua ayat dapat dianalisis rangka asasnya berlandaskan pola ayat dasar. Bagi bahasa Melayu, ayat dasarnya mempunyai empat pola, iaitu Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Adjektif dan Frasa Nama + Frasa Sendi Nama.

Ayat dasar harus merupakan satu klausa bebas yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Selain itu, ayat dasar ialah ayat penyata, ayat aktif, dan ayat susunan biasa. Akhir sekali, ayat dasar tidak mengalami proses penerbitan ayat seperti peluasan, pengguguran dan penyusunan semula

Ayat majmuk dalam bahasa Melayu meliputi ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Selanjutnya, ayat majmuk pancangan meliputi ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen dan ayat majmuk pancangan keterangan. Walaupun ayat majmuk meliputi pelbagai jenis, ragam dan susunan ayat, untuk memudahkan perbincangan, kita hanya meneliti contoh ayat penyata majmuk.

Bagaimanakah kita mengaitkan binaan ayat majmuk gabungan dengan pola ayat dasar? Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Ali dan Ahmad berkawan rapat.

1b.  Dia balik, lalu berehat.

 

Ayat majmuk gabungan terbina apabila dua klausa bebas atau lebih digabungkan. Oleh sebab itu, ayat tersebut bukan terbina daripada satu ayat dasar, tetapi sejumlah ayat dasar yang bergabung. Sila lihat analisis yang berikut:

1a.  Ali dan Ahmad berkawan rapat.

Ayat dasar 1: subjek (Ali) + predikat (berkawan rapat dengan Ahmad)

Ayat dasar 2: subjek (Ahmad) + predikat (berkawan rapat dengan Ali)

Ayat yang lengkap: Ali berkawan rapat dengan Ahmad dan Ahmad berkawan rapat dengan Ali.

Unsur transformasi: Pengguguran satu atau lebih unsur yang sama dalam predikat kedua-dua ayat, dan menggabungkan subjek kedua-dua ayat dengan kata hubung gabungan dan.

 

1b.  Dia balik, lalu berehat.

Ayat dasar 1: subjek (dia) + predikat (balik)

Ayat dasar 2: subjek (dia) + predikat (berehat)

Ayat yang lengkap: Dia balik lalu dia berehat.

Unsur transformasi: Pengguguran subjek yang sama dalam ayat kedua, dan menggabungkan predikat kedua-dua ayat dengan kata hubung gabungan lalu.

 

Ayat majmuk pancangan terbina daripada satu klausa bebas dan satu klausa tak bebas yang dipancangkan pada klausa bebas. Bagi ayat majmuk pancangan relatif, terdapat kata hubung relatif yang. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Guru yang muda itu rajin.

2b.  Dia membeli kereta yang baharu.

 

Bagi ayat majmuk pancangan relatif, hanya klausa bebas menjadi unsur pembina ayat dasar, sedangkan klausa tak bebas (klausa relatif) merupakan unsur opsyenal yang boleh ditiadakan. Sila lihat analisis yang berikut:

2a.  Guru yang muda itu rajin.

Ayat dasar/klausa bebas: Guru itu rajin

Klausa tak bebas/unsur opsyenal: yang muda (guru muda)

Unsur transformasi: Penambahan klausa relatif tak bebas yang muda itu pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan kepada subjek ayat dasar.

 

2b.  Dia membeli kereta yang baharu.

Ayat dasar/klausa bebas: Dia membeli kereta.

Klausa tak bebas/unsur opsyenal: yang baharu (kereta baharu)

Unsur transformasi: Penambahan klausa relatif tak bebas yang baharu pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan kepada predikat ayat dasar.

 

Bagi ayat majmuk pancangan keterangan, hanya klausa bebas menjadi unsur pembina ayat dasar, sedangkan klausa tak bebas (klausa keterangan) merupakan unsur opsyenal yang boleh ditiadakan. Klausa yang berkenaan menjadi tidak bebas kerana berpangkalkan kata hubung keterangan seperti kerana, jika, apabila, walaupun dan sebagainya. Sila lihat analisis yang berikut:

3a.  Dia tidak hadir kerana sakit.

3b.  Jika tidak sibuk, dia akan bercuti.

 

3a.  Dia tidak hadir kerana sakit.

Ayat dasar/klausa bebas: Dia tidak hadir.

Klausa tak bebas/unsur opsyenal: kerana dia sakit

Unsur transformasi: Penambahan klausa keterangan tak bebas kerana dia sakit pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan pada predikat ayat dasar. Selain itu, subjek yang sama digugurkan satu daripadanya.

 

3b.  Jika tidak sibuk, dia akan bercuti.

Ayat dasar/klausa bebas: Dia akan bercuti.

Klausa tak bebas/unsur opsyenal: jika dia tidak sibuk

Unsur transformasi: Penambahan klausa keterangan tak bebas jika dia tidak sibuk pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan pada predikat ayat dasar. Selain itu, subjek yang sama digugurkan satu daripadanya, dan susunan ayat tersebut disongsangkan.

 

Bagi ayat majmuk pancangan komplemen, hanya klausa bebas menjadi unsur pembina ayat dasar, sedangkan klausa tak bebas (klausa komplemen) dipancangkan sebagai subjek, predikat atau bahagian predikat ayat. Klausa yang berkenaan menjadi tidak bebas kerana berpangkalkan kata hubung komplemen bahawa atau untuk. Dalam hal ini, klausa komplemen tak bebas tidak boleh ditiadakan tetapi boleh diganti secara paradigmatik dengan frasa nama seperti hal itu atau frasa sendi nama seperti seperti itu. Sila lihat analisis yang berikut:

4a.  Bahawa dia jujur adalah benar.

4b.  Untuk dia lulus adalah sukar.

 

5a.  Dia mengetahui bahawa hal itu benar.

5b.  Dia berpendapat bahawa keadilan penting.

 

Analisis bagi ayat kelompok 4 adalah seperti yang berikut:

4a.  Bahawa dia jujur adalah benar.

Ayat dasar: Hal itu adalah benar.

Klausa tak bebas/komplemen: bahawa dia jujur

Unsur transformasi: Klausa komplemen tak bebas bahawa dia jujur dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat subjek ayat seperti frasa nama hal itu.

 

4b.  Untuk dia lulus adalah sukar.

Ayat dasar: Hal itu adalah sukar.

Klausa tak bebas/komplemen: untuk dia lulus

Unsur transformasi: Klausa komplemen tak bebas untuk dia lulus dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat subjek ayat seperti frasa nama hal itu.

 

Analisis bagi ayat kelompok 5 adalah seperti yang berikut:

5a.  Dia mengetahui bahawa hal itu benar.

Ayat dasar: Dia mengetahui hal itu.

Klausa tak bebas/komplemen: bahawa hal itu benar

Unsur transformasi: Klausa komplemen tak bebas bahawa hal itu benar dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat objek ayat seperti frasa nama hal itu.

 

5b.  Dia berpendapat bahawa keadilan penting.

Ayat dasar: Dia berpendapat seperti itu.

Klausa tak bebas/komplemen: bahawa keadilan penting

Unsur transformasi: Klausa komplemen tak bebas bahawa keadilan penting dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat pelengkap ayat seperti frasa sendi nama seperti itu.

 

Bagi ayat majmuk campuran, mungkin terdapat satu atau lebih ayat dasar, bergantung jumlah klausa bebas yang hadir. Dalam hal ini, klausa tak bebas tetap tidak diambil kira sebagai ayat dasar. Sila lihat analisis yang berikut:

6a.  Dia membeli kasut yang mahal tetapi berkualiti.

6b.  Aminah dan Hasnah mengatakan bahawa guru mereka rajin.

 

6a. Dia membeli kasut yang mahal tetapi berkualiti.

Ayat dasar 1: Dia membeli kasut.

Ayat dasar 2: Kasut itu berkualiti

Klausa tak bebas: yang mahal (kasut mahal)

Unsur transformasi: Subjek kasut yang sama digugurkan satu daripadanya, penambahan kata hubung gabungan tetapi dan kata hubung relatif yang.

 

6b.  Aminah, Aluyah dan Hasnah mengatakan bahawa guru mereka rajin.

Ayat dasar 1: Aminah mengatakan hal itu.

Ayat dasar 2: Aluyah mengatakan hal itu.

Ayat dasar 3: Hasnah mengatakan hal itu.

Klausa tak bebas: bahawa guru mereka rajin

Unsur transformasi: Subjek 3 ayat dasar tersebut digabungkan dengan kata hubung gabungan dan, predikat mengatakan bahawa guru mereka rajin digugurkan satu daripadanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.