29 Mac 2023, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertama sekali, penulis bukanlah berlatar belakangkan bidang kesusasteraan mahupun pengajian Bahasa Melayu. Hendak dikatakan pakar dalam bidang pendidikan, bukan juga. Pakar bahasa, jauh sekali. Penulis hanyalah ahli akademik dan penyelidik dalam bidang pendidikan Matematik yang sangat menyanjung tinggi bahasa kebangsaan Malaysia, iaitu bahasa Melayu.

Walaupun berada dalam bidang pendidikan Matematik di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penulis banyak menulis artikel, kertas kerja, usulan penyelidikan, dan seterusnya melaksanakan penyelidikan dalam bahasa Melayu.

Dari aspek pengajaran, walaupun terdapat mahasiswa yang memberikan aduan mengenai penggunaan bahasa Inggeris, penulis yang terhad dalam kuliah peringkat prasiswazah, hal itu tidak sesekali mematahkan semangat penulis untuk terus memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan pada peringkat pendidikan tinggi.

Tambahan pula, sudah terang lagikan bersuluh bahawa bahasa pengantar rasmi untuk amalan pengajaran dan pembelajaran di UTM ialah bahasa Melayu. Jika pada peringkat pascasiswazah, lain pula ceritanya. Walaupun hanya terdapat seorang mahasiswa antarabangsa yang selain dari Indonesia ataupun Brunei, penggunaan bahasa Inggeris wajib digunakan di dalam dewan kuliah. Meskipun begitu, penulis tetap menggalakkan mahasiswa antarabangsa untuk mempelajari bahasa kebangsaan yang indah ini.

Dari aspek penyeliaan mahasiswa, pelajar tempatan digalakkan untuk menghasilkan tesis dalam bahasa Melayu, namun tiada paksaan. Beberapa buah buku penulis pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Penerbit Universiti yang berdaftar dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Buah fikiran penulis khususnya dalam bidang pendidikan turut diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan artikel dalam bahasa Melayu yang diterbitkan dalam akhbar arus perdana dan majalah akademik. Pada penghujung tahun 2022, penulis berbesar hati menerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) Tahun 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Suatu anugerah yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran penulis untuk menerimanya. Setinggi-tinggi kesyukuran penulis rakamkan dan pastinya hal ini memberikan semangat dan motivasi kepada penulis untuk terus menyumbang kepakaran dalam bidang menggunakan bahasa kebangsaan.

Penulis menulis artikel ini bukan untuk mengupas pembentangan Belanjawan 2023 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Mungkin kebanyakan orang tertunggu-tunggu berita gembira yang akan disampaikan oleh PM. Penulis juga tertunggu-tunggu “durian runtuh” yang bakal diterima. Walau bagaimanapun, yang lebih menarik perhatian penulis ialah keindahan dan keunikan istilah dan ungkapan yang digunakan oleh PM sepanjang pembentangan tersebut.

Jika ditelusuri perjalanan hidup insan yang bernama Anwar Ibrahim ini, tidak hairanlah jika beliau boleh menyusun ungkapan indah, menggunakan istilah bahasa Melayu dengan berseni dan tepat pada tempatnya. Bakat figura hebat ini terserlah seawal dari peringkat sekolah menengah lagi, iaitu di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Semasa di MCKK, beliau aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi pemidato yang mewakili sekolah. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu diteruskannya pada peringkat pendidikan tinggi di Universiti Malaya (UM), dengan menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera). Beliau juga Presiden Persatuan Bahasa Melayu, di UM.

Semasa menjadi Menteri Pendidikan, satu daripada polisi yang diperkenalkannya dalam kurikulum sekolah kebangsaan ialah menukar nama bahasa kebangsaan daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu walaupun langkah ini dikritik hebat oleh orang bukan Melayu.

Insan yang bernama Anwar Ibrahim ini juga mencetuskan penggunaan istilah yang jarang-jarang didengar seperti “Masyarakat Madani”, “Generasi rabbani”, “waima” dan “nawaitu”. Coretan kisah sosok hebat ini mungkin hanya cebisan daripada perjalanan hidupnya yang penuh dengan kisah suka dan suka yang ketika itu penulis hanyalah budak hingusan yang masih menuntut ilmu di peringkat sekolah menengah.

Beliau juga sangat petah apabila berkata-kata. Para sahabat penulis di negara seberang kerap memuji dan menyatakan bahawa betapa rakyat Indonesia kagum dengan insan ini.

Pada tahun 2018, Dato’ Seri Anwar dianugerahkan Doktor Kehormatan (Dr.Hc) dalam bidang Pendidikan Politik oleh Universitas Negeri Padang (UNP), Sumatera Barat, Indonesia. Beliau turut menyampaikan ucapan bersempena dengan penganugerahan ini dalam bahasa Melayu.

UNP ini sangat dekat di hati penulis. Sudah beberapa kali penulis dijemput sebagai penyampai kuliah tamu di sana dan pastinya penulis turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahkan dosen (pensyarah) di sana berkolaborasi dengan penulis dalam penyelidikan dan penulisan.

Pada tahun 2018, Dato’ Seri Anwar telah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dan telah dibebaskan daripada penjara. Beliau kembali ke Parlimen dalam pilihan raya kecil Port Dickson 2018.

Sebelum menjadi PM Malaysia ke-10, usaha beliau dalam memperjuangkan bahasa Melayu tidak pernah terhenti. Beliau sentiasa tegas dengan pendiriannya dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam ucaptama yang disampaikannya semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara bersempena dengan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2019, beliau menegaskan bahawa majlis rasmi kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.

Menurut beliau, bahasa Melayu dihormati di negara ini sebagai bahasa sastera dan budaya dan turut mempertikaikan sesetengah sidang media oleh pemimpin dan yang dianjurkan kerajaan yang menggunakan bahasa yang bercampur aduk.

Semasa penganjuran Seminar Negara Bangsa: Bahasa Melayu Identiti Negara di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun 2019, Dato’ Seri Anwar turut memuji usaha kerajaan negeri Johor dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi mendaulatkan bahasa Melayu supaya dapat diguna pakai di semua tempat dan menerusi pelbagai peringkat lapisan masyarakat.

Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 pula, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu mempunyai dasar yang jelas bagi memartabatkan bahasa Melayu dalam usaha mencapai objektif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Tanggal 24 November 2022, Dato’ Seri Anwar memberikan jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah.

Kemudian, istilah “cerakin” yang diungkapkan oleh PM dalam satu sidang media menjadi fenomena. Lantas rakyat tercari-cari maksud istilah berkenaan daripada pelbagai sumber.

Semasa mengikuti pembentangan Ucapan Belanjawan 2023 yang bertemakan “Membangun Malaysia Madani”, kepelbagaian istilah dan lenggok ayat yang indah yang diselitkan dalam perbahasan PM.

Antara bait indah yang “menangkap” perhatian penulis ialah bagaimana PM memulakan mukadimahnya dengan mengaitkan kisah Nabi Yusuf ketika Raja Al-Aziz, yang merupakan Raja Mesir ketika itu resah akan jangkaan tujuh tahun kegersangan ekonomi.

Kemudian, PM terus-menerus menggunakan ungkapan indah yang antaranya membuatkan penulis tercari-cari maknanya. Berseni sungguh bait-bait yang diluahkannya. Antaranya termasuklah “Dalam kegalauan kini, Persoalan yang harus dibangkitkan ialah jumlah yang hidup merempat dan melarat”, “Jangan kotori minda rakyat dengan angka-angka yang memukau”, “Membobrok tadbir urus kerajaan” dan “Pelbagai ketelanjuran yang memberikan dampak buruk”.

PM turut membuka minda rakyat dengan mengutarakan persoalan, “Apakah  masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara?” dan terus meyakinkan rakyat dengan ungkapan seperti “Berteraskan semangat islah dengan maksud mempaculkan pengarahan baharu lagi segar, lantas membenam purbasangka”, “Menyederhanakan kesenjangan” dan “Menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan”.

Barangkali ada segelintir warga Malaysia yang mempertikaikan untuk apalah istilah bombastik yang kurang atau tidak difahami digunakan sekiranya rakyat tidak memahaminya. Bukan untuk mempertahankan tindakan PM, namun setelah penulis membaca, mengamati dan meneliti teks pembentangan Belanjawan 2023, ayat-ayat tersebut hanyalah digunakan sebagai mukadimah.

Namun begitu, hampir keseluruhan teks yang diucapkan PM menggunakan ayat dalam bahasa Melayu yang mudah difahami oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Penggunaan istilah dan susunan ayat yang indah ini membangkitkan rasa bangga penulis akan keindahan bahasa Melayu, apatah lagi  disampaikan oleh pemimpin nombor satu negara.

Ketokohan PM membuktikan bahawa apa-apa yang diperjuangkan bukanlah omong-omong kosong belaka, sebaliknya dijelmakan dalam tindakan dan perbuatan  sebagai pejuang bahasa Melayu. Semoga hal ini dapat dijadikan teladan dan contoh ikutan oleh rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda yang perlu sentiasa diingatkan bahawa “Hilang bahasa lenyaplah bangsa”.

 

 

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah – Pensyarah di Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.