Oleh Kho Thong Eng
27 April 2023, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata tugas merupakan kata heterogen yang mempunyai pelbagai fungsi tatabahasa dalam struktur ayat. Secara umumnya, kata tugas dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu kata penyambung ayat, kata praklausa, kata prafrasa dan pascafrasa, dan kata pascakata.

Dari segi bentuknya, kata tugas mempunyai empat bentuk, iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Dalam hal ini, kata tunggal merupakan kata yang belum mengalami sebarang proses morfologi, seperti pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata hubung tunggal:  dan, atau, sambil, bahawa, untuk, yang, kerana

Kata seru tunggal:  aduh, syabas, cis, wah

Kata tanya tunggal:  bila, berapa

Kata perintah tunggal:  jangan, usah, sila, minta, harap, tolong, jemput

Kata pembenar tunggal:  ya, benar, betul

Kata pangkal ayat tunggal:  hatta, maka, sebermula, kalakian

Kata bantu tunggal:  telah, baru, sedang, akan, mahu, boleh, mungkin, patut

Kata penguat tunggal: paling, cukup, benar, nian, amat, sungguh

Kata penegas tunggal:  memang, juga, pun, sahaja, lagi

Kata nafi tunggal:  tidak, bukan

Kata pemeri tunggal: ialah, adalah

Kata sendi nama tunggal:  di, hingga, bagai, demi, dalam, dengan

Kata arah tunggal: tengah, utara, tepi, hadapan, sudut

Kata bilangan tunggal:  dua, lima, semua, segala, seluruh

Kata adverba tunggal:  sering, selalu, kerap, nyaris, saling

 

Kata tugas terbitan ialah kata tugas yang berimbuhan, sama ada imbuhannya ialah awalan, akhiran atau apitan. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata hubung terbitan: malahan, sekiranya, sehingga, semoga, setelah

Kata tanya terbitan:  mengapa

Kata penguat terbitan: sekali, terlalu, semakin

Kata penegas terbitan:  sememangnya

Kata sendi nama terbitan:  sehingga, terhadap

Kata arah terbitan:  hadapan

Kata bilangan terbitan:  seratus, sekalian, setengah, sepertiga

 

Kata tugas majmuk ialah kata tugas yang terdiri daripada dua atau lebih kata yang mempunyai makna khusus dan menjadi unit tatabahasa yang tersendiri. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata hubung majmuk:  andai kata, sungguhpun, apabila, manakala, padahal,

oleh sebab

Kata tanya majmuk:  bagaimana

Kata bantu majmuk:  barangkali

Kata sendi nama majmuk:  daripada, kepada

Kata adverba majmuk: sering kali, kerap kali, kadangkala, sekali gus, acap kali

 

Kata tugas ganda ialah kata tugas yang mengalami penggandaan semu, separa, penuh atau berentak. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata penegas ganda:  benar-benar, betul-betul, lagi-lagi

Kata bilangan ganda:  beratus-ratus, ketiga-tiga, tiap-tiap, setengah-setengah,

masing-masing, sesetengah, beberapa

Kata adverba ganda:  kadang-kadang, sekali-sekali, julung-julung kali, jarang-

jarang, tinggi-tinggi, sama-sama, sekali-kali, teresak-esak, bersungguh-

sungguh, selama-lamanya, gila-gilaan, serta-merta, lintang-pukang

 

Bagi kata tugas ganda, terdapat morfem terikat yang mengalami penggandaan semu, seperti kata tiap-tiap, masing-masing dan kadang-kadang. Terdapat penggandaan separa seperti kata beberapa, sesetengah, bermalam-malam, setinggi-tingginya dan besar-besaran. Terdapat kata ganda penuh seperti kata benar-benar, betul-betul, lagi-lagi dan setengah-setengah. Selain itu, terdapat penggandaan berentak seperti susup-sasap, huyung-hayang dan sedu-sedan.

Selain kata penuh, terdapat juga sejumlah morfem terikat dalam bentuk partikel yang menjadi kata tugas. Contohnya ialah partikel penegas -lah, -tah dan -kah, dan partikel penekan atau pembenda -nya. Selain itu, ada morfem terikat dalam bentuk akar kata mudi yang menjadi kata dasar bagi kata hubung gabungan kemudian.

Satu hal yang menarik ialah sendi nama oleh (sebab), dan kata hubung pancangan keterangan musabab oleh sebab dan sebab. Sila lihat contoh yang berikut;

1a.  Dia dipuji oleh (sebab) ketekunannya berusaha.

1b.  Dia dipuji oleh sebab dia tekun berusaha.

1c.  Dia dipuji sebab dia tekun berusaha.

 

Dalam ayat 1a, sendi nama oleh (sebab) mendahului frasa nama ketekunannya berusaha. Dalam ayat 1b dan 1c, kata hubung pancangan keterangan musabab oleh sebab atau sebab berada pada pangkal klausa keterangan oleh sebab dia tekun berusaha atau sebab dia tekun berusaha.

Apabila kata tugas diubah bentuknya, maksud dan golongan katanya mungkin berubah. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia ada banyak harta.

2b.  Dia membanyakkan hartanya.

2c.  Dia mengumpulkan harta banyak-banyak.

 

3a.  Dia tidak jujur.

3b.  Dia menidakkan usaha rakannya.

3c.  Dia bercakap tentang hal yang tidak-tidak.

 

4a.  Dia sungguh pandai.

4b.  Kesungguhannya memang membanggakan.

4c.  Sungguhpun pandai, dia kurang berjaya.

4d.  Dia berusaha sungguh-sungguh.

 

Dalam ayat 2a, kata tunggal banyak ialah kata tugas (kata bilangan tak tentu).  Dalam ayat 2b, kata terbitan membanyakkan ialah kata kerja transitif. Dalam ayat 2c, kata ganda banyak-banyak ialah kata adverba. Dalam ayat 3a, kata tunggal tidak ialah kata tugas (kata nafi). Dalam ayat 3b, kata terbitan menidakkan ialah kata kerja. Dalam ayat 3c, kata ganda tidak-tidak ialah kata adjektif. Dalam ayat 4a, kata tunggal sungguh ialah kata tugas (kata penguat). Dalam ayat 4b, kata terbitan kesungguhan ialah kata nama. Dalam ayat 4c, kata majmuk sungguhpun ialah kata hubung pancangan keterangan pertentangan. Dalam ayat 4d, kata sungguh-sungguh ialah kata adverba.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.