Oleh Kho Thong Eng
5 Mei 2023, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polisemi ialah kata daripada sumber yang sama tetapi mempunyai pelbagai makna. Dalam hal ini, kebanyakan kata dalam bahasa Melayu merupakan polisemi kerana maknanya berubah mengikut konteks penggunaannya dalam ayat. Untuk menguasai sesuatu bahasa, pengetahuan tentang polisemi amat penting kerana hal tersebut membolehkan kita mengenali dan menggunakan kata secara bervariasi dan kreatif.

Pada umumnya, terdapat perkaitan antara pelbagai makna yang didukung oleh sesuatu polisemi. Dari satu sudut, kaitannya mungkin dari segi makna denotatif atau konotatif. Sebagai contoh, makna denotatif bagi kata nama mulut ialah “bukaan untuk mengunyah makanan”, tetapi makna konotatif atau makna luasnya ialah “sebarang bukaan yang bentuknya seperti mulut”. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Mulutnya berisi makanan.

1b.  Mulut belanga itu terbuka.

1c.  Mulut kubur itu ditutup dengan tanah.

1d.  Dia menunggu rakannya di hadapan mulut gua itu.

 

Bagi kata nama hulu, makna umumnya ialah “kedudukan di atas”. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Air mengalir deras di hulu sungai.

2b.  Hulu baginda gering.

2c.  Kampung di hulu itu masih mundur.

2d. Hulu keris itu berukiran cantik.

 

Dalam ayat 2a, kata nama hulu bererti “bahagian atas sungai”. Dalam ayat 2b, kata hulu bermaksud “kepala”, iaitu anggota badan yang berada pada kedudukan di atas. Dalam ayat 2c, kata hulu bererti “pedalaman”, dan dalam ayat 2d, kata hulu bermaksud “tangkai”. Oleh itu, ada kalanya polisemi mempunyai makna khusus atau makna yang berbeza sedikit banyak daripada makna umumnya.

Selain kata nama, ada juga kata adjektif yang merupakan polisemi. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Fikirannya mentah.

3b.  Buah itu mentah.

3c.  Makanan itu mentah.

3d.  Bahan mentah harus kita proses.

 

4a.  Dia bersifat baik.

4b.  Makanan itu baik untuk kesihatan.

4c.  Hubungan antara mereka baik.

4d.  Barangan itu baik mutunya.

4e.  Keadaan pesakit itu semakin baik.

 

Dalam kelompok ayat 3, makna umum kata adjektif mentah ialah “belum mempunyai sifat tertentu atau belum mengalami proses tertentu”. Dalam ayat 3a, kata mentah bererti “belum matang”. Dalam ayat 3b, kata mentah bermaksud “belum masak”. Dalam ayat 3c, kata mentah bererti “belum dimasak”. Dalam ayat 3d, kata mentah bererti “belum diproses”. Dalam kelompok ayat 4, makna umum kata adjektif baik ialah “elok”.

Dalam ayat 4a, kata baik bererti “elok dari segi perangai”. Dalam ayat 4b, kata baik bermaksud “elok dari segi khasiat”. Dalam ayat 4c, kata baik bererti “elok dari segi hubungan”. Dalam ayat 4d, kata baik bererti “elok dari segi mutu”. Dalam ayat 4e, kata baik bererti “elok sesudah sakit”.

 

Ada juga kata kerja yang merupakan polisemi. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia jatuh ke dalam longkang.

5b.  Buah yang masak jatuh dari pokok.

5c.  Matahari sudah jatuh di ufuk barat.

5d.  Kerajaan itu telah jatuh.

5e.  Harga barangan jatuh.

5f.   Bandar itu jatuh ke tangan musuh.

5g.  Perusahaan itu jatuh kerana tidak cukup modal.

5h.  Dia jatuh miskin.

5i.   Anaknya jatuh dalam peperiksaan kali ini.

5j.   Perayaan itu jatuh pada bulan ini.

 

Dalam kelompok ayat 5, makna umum bagi kata kerja jatuh ialah “turun dari kedudukan yang lebih tinggi atau lebih baik”. Dalam ayat 5a, kata kerja jatuh bererti “turun dari kedudukan berdiri atau menegak”. Dalam ayat 5b, kata jatuh bererti “turun dari kedudukan yang tinggi pada pokok”. Dalam ayat 5c, kata jatuh bermaksud “turun dari kedudukan yang tinggi pada langit”. Dalam ayat 5d, kata jatuh bererti “turun daripada kedudukan yang kukuh”. Dalam ayat 5e, kata jatuh bererti “turun dari paras harga yang lebih tinggi”. Dalam ayat 5f, kata jatuh bererti “turun dari segi kedudukan yang terkawal’. Dalam ayat 5g, kata jatuh bererti “turun dari segi kemajuannya”. Dalam ayat 5h, kata jatuh bererti “turun daripada kedudukan yang teguh kewangannya”. Dalam ayat 5i, kata jatuh bererti “turun daripada kedudukan lulus”.  Walau bagaimanapun, dalam ayat 5j, kata jatuh bererti “berlaku”.

 

6a.  Dia orang yang berada.

6b.  Dia masih berada di kampung.

Dalam kelompok ayat 6, kata kerja berada bererti “ada sesuatu” atau “ada di sesuatu tempat”. Dalam ayat 6a, kata berada bermaksud “ada banyak harta atau wang”. Dalam ayat 6b, kata berada bererti “ada di sesuatu tempat”. Walau bagaimanapun, kata berada dalam ayat 6a ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, manakala dalam ayat 6b, kata berada ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti oleh pelengkap frasa sendi nama.

Ada kalanya polisemi wujud disebabkan berlakunya perubahan pada makna kata dengan adanya peralihan masa. Hal ini meliputi peluasan makna, penyempitan atau pembatasan makna dan pejorasi Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia merupakan saudara saya.

7b.  Dia saudara sebelah ibu saya.

7c.  Mereka saudara sepermainan.

 

8a.  Semangat datang dalam mimpinya.

8b.  Semangat perkauman harus kita elakkan.

8c.  Semangat juangnya tinggi.

 

Dalam kelompok ayat 7, maksud kata saudara diluaskan daripada “adik-beradik” (lihat ayat 7a) kepada “saudara-mara” (lihat ayat 7b) dan kemudiannya diperluas kepada “teman atau kawan” (lihat ayat 7c). Dalam kelompok ayat 8, semangat yang bermaksud “roh yang terdapat pada segala makhluk” diluaskan kepada maksud “perasaan” (lihat ayat 8b) dan “kemahuan yang keras” (lihat ayat 8c).

9a.  Beliau merupakan sarjana dalam bidang sastera.

9b.  Dia mendapat ijazah Sarjana Muda.

 

10a.  Sendi jarinya sakit.

10b.  Kata “oleh” ialah sendi nama.

Dalam kelompok ayat 9, kata sarjana yang bermakna “orang yang pandai” (lihat ayat 9a) disempitkan maksudnya kepada “gelaran kelulusan di universiti” dalam ayat 9b.

Dalam kelompok ayat 10, kata sendi yang bererti “tempat yang menghubungkan tulang” (lihat ayat 10a) disempitkan maksudnya kepada “kata yang menghubungkan kata nama dengan bahagian ayat” dalam ayat 10b.

 

11a.  Dia berkhalwat untuk menyucikan diri.

11b.  Pasangan kekasih itu didapati berkhalwat.

Dalam kelompok ayat 11, terdapat proses pejorasi bahasa, iaitu perubahan maksud kata daripada yang elok kepada yang kurang elok. Dalam hal ini, maksud berkhalwat dalam ayat 11a yang bererti “mengasingkan diri” telah berubah untuk menjadi “berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dalam keadaan yang sumbang di tempat yang tersembunyi” dalam ayat 11b.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.