Oleh Kho Thong Eng
8 Mei 2023, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesihatan merupakan perkara perdana yang harus kita jaga dan pelihara. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa kesihatan, segala yang kita miliki dan capai tidak lagi bermakna. Kita dapat menjaga kesihatan dengan pelbagai cara, termasuk melakukan senaman, mengamalkan pemakanan yang seimbang, berehat dan bertenang, dan sebagainya. Dalam hal ini, aktiviti sukan ternyata menguatkan tulang, mengentalkan otot, melancarkan pernafasan dan peredaran darah, dan membawa pelbagai kemaslahatan yang lain.

Sejak dahulu lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya amat menekankan kepentingan sukan dalam kalangan murid. Di sekolah, ada Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang serba lengkap yang diajarkan oleh guru yang terlatih. Selain itu, sekolah amat menekankan penglibatan murid dalam bidang sukan.  Untuk tujuan itu, setiap sekolah biasanya menganjurkan Temasya Sukan Tahunan untuk membolehkan murid-murid menampilkan bakat mereka dalam bidang sukan.

Bagi murid yang kurang berkecenderungan dalam bidang sukan pula, Program Sukan Tara dengan acara yang dikenal pasti oleh sekolah wajib disertai oleh semua murid. Selain itu, Program 1 Murid 1 Sukan (1M1S) dilaksanakan supaya semua murid terlibat secara aktif dalam satu aktiviti sukan pilihan mereka sepanjang tahun. Ada kalanya larian merentas desa (cross-country race) turut diadakan untuk para murid yang berminat. Dalam hal ini, pelbagai kemudahan dan peralatan sukan dan permainan disediakan untuk para murid.

Bagi sukan balapan, terdapat acara lumba lari, seperti larian pecut 100 meter, larian jarak pertengahan/sederhana dan larian jarak jauh. Acara lain termasuk larian melompat pagar (hurdles), lari berhalangan (steeplechase), lari berganti-ganti (relay) dan sebagainya. Bagi acara padang, terdapat acara lontar peluru (shot-put), rejam lembing (javelin), lempar cakera (discus), lontar tukul besi (hammer throw) dan sebagainya. Selain itu, terdapat acara lompatan seperti lompat jauh (long jump), lompat tinggi (high jump), lompat kijang (triple jump) dan lompat bergalah (pole vault).

Dari segi permainan yang melibatkan pertandingan pula, terdapat pelbagai jenis permainan seperti sepak takraw, bola tampar (volleyball), bola lisut (softball), bola sepak (football), bola baling (handball), hoki (hockey), boling (bowling), boling padang, petanque, bola keranjang (basketball), badminton, skuasy (squash), pingpong, tenis, gimnastik dan sebagainya.

Bagi sukan renang, terdapat pelbagai acara yang dipertandingkan, termasuk gaya bebas (free style), kuak dada (breast stroke), kuak lentang (back stroke), kuak kupu-kupu (butterfly stroke) dan gaya rampai (medley). Selain itu, terdapat sukan air seperti terjun air (diving), polo air (water polo), selam skuba (scuba diving), selam bersnorkel (snorkeling), berkayak (kayaking), luncur air (surfing), luncur angin (wind surfing), luncur/ski jet (jet ski), kembara berakit (whitewater rafting) dan sebagainya.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti yang lebih santai dan perlahan, mereka boleh melakukan joging (jogging), taici atau senamrobik. Bagi mereka yang menginginkan aktiviti yang mencabar, mereka boleh mencuba aktiviti seperti mendaki gunung, bermain papan selaju (skateboarding), luncur keluang (flying fox, zipline), terjun lelabah (bungee jumping), turun cenuram (abseiling), terjun cenuram (cliff jumping/diving), panjat batu (rock climbing), paralayar (parasailing), geluncur angin (hang-gliding), luncur layang-layang (kite surfing), terjun udara (skydiving), terjun tebing (base jumping), terjun sut bersayap (winged suit diving), bermain papan luncur udara (flyboarding) dan sebagainya. Aktiviti yang mencabar itu menuntut kekuatan stamina, dan mungkin mengundang bahaya kepada mereka yang terlibat.

Bagi mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan seni pertahanan diri, mereka boleh mencuba silat, silambam, wusyu, kung fu, karate, judo, ninjutsu, tae kwan do, hapkido, akido, Muay Thai, sukan tinju dan sebagainya.  Hal ini menjadikan diri mereka lebih bersedia untuk menghadapi ancaman dan menangkis serangan.

Dalam masyarakat kampung, terdapat pelbagai aktiviti sukan dan permainan untuk memeriahkan suasana dan mengeratkan hubungan. Hal ini termasuk permainan tradisional, permainan rakyat, sukaneka dan permainan moden. Antara permainan tradisional yang melibatkan pergerakan fizikal ialah permainan wau atau layang-layang, permainan tarik upih, permainan galah panjang, permainan gasing, permainan lompat getah, permainan lompat tikus, permainan guli, permainan ketingting, permainan baling/tuju selipar dan sebagainya.

Permainan rakyat pula termasuk lumba perahu, lumba kerbau, lumba kerbau besi, permainan tibau (kaum Melanau), permainan sepak raga, permainan rampanau (kaum Dusun), terompah tempurung, dan sebagainya. Bagi sukaneka (telematch) pula, terdapat acara seperti lari dalam guni, imbangkan botol, bergerak dengan batu bata, golekkan bola dengan gelang hula, dan sebagainya.

Kepelbagaian kosa kata dalam bidang sukan membuka mata kita tentang kerencaman kata dan istilah dalam bahasa Melayu yang terkini. Hal ini menggambarkan keluwesan dan keterbukaan bahasa Melayu untuk menyerap unsur asing yang dapat memantapkan dan meningkatkan kewibawaannya. Hampir semua konsep, asing dapat dipinjam atau diterjemahkan untuk digunakan dalam bahasa Melayu supaya bahasa Melayu dapat mengungkapkan pelbagai perkara di dunia yang dilanda arus globalisasi dan modenisasi kini. Selain itu, kesesuaian terjemahan mengikut acuan bahasa Melayu menunjukkan kreativiti dan kewibawaan pihak penterjemah yang berkenaan.

Satu hal yang menarik ialah bentuk kata asing tertentu. Sebagai contoh, kata kung fu dieja terpisah sebagai dua perkataan dan kata tae kwan do dieja terpisah sebagai tiga perkataan, sedangkan kebanyakan kata asing tidak dieja sebegitu.

Selain itu, terdapat akronim pada kata skuba, yang terbit daripada kata scuba dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, scuba bererti self-contained underwater breathing apparatus. Oleh sebab akronim bahasa Inggeris ini ialah akronim lama, ejaannya adalah dalam bentuk huruf kecil, sama seperti kata radar (radio detection and ranging) dan laser (light amplifiction by the stimulated emission of radiation). Hal ini tidak seperti akronim baharu bahasa Inggeris yang dieja dengan huruf besar, seperti COVID-19 (coronavirus disease – 19), RAM (Random Access Memory), dan DVD (Digital Versatile Disc). Di samping itu, terdapat akronbim baharu yang dicipta seperti sukaneka (sukan + aneka) dan senamrobik (senaman + aerobik).

Bagi kata bowling dalam bahasa Inggeris, pinjamannya dalam bahasa Melayu ialah boling, iaitu huruf w telah ditiadakan. Bagi kata squash dalam bahasa Inggeris pula, peminjaman kata tersebut menyebabkan digraf sy wujud pada hujung kata, iaitu skuasy, sama seperti kata hasyisy (hashish).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.