13 Mei 2023, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pattani – Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dalam ucaptama Seminar Kaedah Tulian Jawi Fatoni, “Tulisan Jawi dalam Peradaban Melayu Nusantara” menyokong agar satu pasukan pakar Jawi ditubuhkan dalam kalangan ilmuwan di Selatan Thailand, dengan mendapatkan kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia.

Seminar Kaedah Tulisan Jawi Fatoni ini telah diadakan pada awal bulan Mei lalu di ASEAN Mall, Patani, Thailand, dan dianjurkan oleh Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Universiti Fatoni (PUSTANI) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), dengan kerjasama ASEAN Mall, Pattani, Thailand.

Seminar Kaedah Tulian Jawi Fatoni, “Tulisan Jawi dalam Peradaban Melayu Nusantara” berlangsung di ASEAN Mall, Pattani, Thailand.

Kumpulan pakar ini ditubuhkan bertujuan untuk menyelaraskan sistem ejaan Jawi untuk diterima pakai di lima wilayah utama masyarakat Islam di Thailand. Usaha penyelarasan ini penting agar satu keseragaman dapat dibuat sebelum sistem ejaan Jawi ini dimantapkan, diperkasakan dan disebarkan di wilayah berkenaan.

Ahmad Fathi al-Fatoni yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam pembentangannya yang bertajuk “Kepentingan Kaedah Tulisan Jawi” mengatakan bahawa tindakan pantas perlu segera diambil agar tulisan Jawi dilihat bernilai oleh generasi muda terutamanya.

Senario di Thailand dan Malaysia seakan-akan sama apabila Jawi seakan-akan tidak mahu “hidup” apabila dipandang tidak mempunyai nilai ekonomi apatah lagi nilai komersial. Hal ini berlaku apabila banyak dalam kalangan ahli masyarakat pada hari ini sudah tidak megah akan tulisan Jawi dan segan untuk membaca apatah lagi menulis menggunakan huruf Jawi.

 

Gabenor Wilayah Pattani, Puan Fatimah Sadiyamu, selaku perasmi Seminar Kaedah Tulian Jawi Fatoni, “Tulisan Jawi dalam Peradaban Melayu Nusantara”.

Pensyarah Universiti Fatoni, Dr. Suraiya Ibrahim Chapakiya pula membentangkan dan mengulas perihal buku kajian dan tulisannya yang diterbitkan oleh DBP, Malaysia yang bertajuk Kaedah Ejaan Jawi Patani: Sebuah Buku Panduan Menulis Jawi. Beliau memperakukan bahawa buku yang ditulis sejak tahun 2016 ini telah dirujuk kepada pakar Jawi di Thailand dan Malaysia.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Fatimah Sadiyamu, Gabenor Wilayah Pattani dan dihadiri oleh 130 orang peserta yang terdiri dalam kalangan pensyarah universiti, guru dan pelajar pondok, guru sekolah, pihak majlis agama dan penulis persendirian yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha membudayakan Jawi kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.