Oleh Firdaus Mul
15 Mei 2023, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Diplomasi bahasa merupakan satu panduan dan strategi perundingan antara dua atau lebih individu dengan menggunakan kebijaksanaan, yakni bertujuan untuk mengembangkan bahasa dengan bijaksana secara lisan ataupun tulisan.

Diplomasi bahasa juga merangkumi pelbagai aspek yang melibatkan pertuturan dan bahasa badan. Diplomasi bahasa juga dikatakan tidak menganjurkan kekerasan yang melibatkan pertelingkahan, namun lebih mengutamakan keharmonian. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Mohammad, yang juga pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dalam program temu bual, Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio baru-baru ini.

Kekuatan bahasa Melayu itu sebenarnya sudah terbukti sebagai bahasa antarabangsa apabila diangkat sebagai lingua franca pada abad ke-17. Bahasa Melayu digunakan dalam bahasa diplomatik, bahasa perdagangan, bahasa ilmu dan penyebaran agama.

Menurut beliau, diplomasi bahasa merupakan satu panduan perundingan bagi melahirkan satu situasi keharmonian bagi masyarakat Malaysia MADANI. Berdasarkan kajian yang beliau pernah jalankan, diplomasi bahasa boleh dikategori kepada dua medium utama. Pertama, secara lisan dan yang kedua secara tulisan.

Diplomasi bahasa secara lisan diterjemahkan melalui utusan ataupun pada hari ini dikenali sebagai duta, manakala diplomasi bahasa dalam tulisan pula boleh dilihat melalui aspek warkah Melayu. Beliau turut menegaskan bahawa dalam struktur warkah Melayu terdapat diplomasi bahasa yang digunakan sebagai kekuatan untuk berhubungan dengan kerajaan luar.

“Terjemahan daripada warkah ini adalah untuk menjaga aib ataupun air muka, memberikan pengiktirafan dan membina persefahaman. Bahasa Melayu itu terjelma dengan adanya sifat rendah hati, ungkapan yang indah dan puitis yang ditulis oleh jurutulis istana”, tambah beliau lagi.

Selain itu, beliau turut mengupas perihal peranan juruhebah dalam mempraktikkan panduan diplomasi bahasa. Beliau berkata, “Juruhebah ini diberikan satu anugerah daya penarik seperti boleh menjadi pempengaruh kepada masyarakat. Boleh dikatakan, juruhebah ialah duta diplomasi bahasa dan juga menjadi “jendela” untuk masyarakat mengenal tamadun bangsanya”.

Kata kunci kepada diplomasi bahasa ialah keharmonian. Jika suatu perkara yang tegang itu kita dapat kawal dan mencari solusinya dengan diplomasi bahasa, maka kita dapat mengendurkan ketegangan tersebut. Jadi, dengan adanya diplomasi bahasa, masyarakat juga terbimbing untuk berkomunikasi dengan baik.”

Pada akhir temu bual, beliau sempat menyatakan bahawa diplomasi bahasa sangat membantu dalam kehidupan seharian selain berupaya membantu seseorang itu berbahasa dan berkomunikasi dengan baik. Di smaping itu juga dapat menampilkan kredibiliti dan mempamerkan takat keintelektualan seseorang.

Beliau turut berpesan supaya jangan bersikap pesimis sekiranya menghadapi individu yang tidak berbahasa dengan baik terhadap kita. Ujar beliau, “Kita perlu kekal mempraktikkan diplomasi bahasa kerana bukan sahaja dapat menonjolkan kewibawaan seseorang, malah dapat mencerminkan kewibawaan bangsa dan sesebuah negara”.

Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Mohammad menerangkan perihal diplomasi bahasa semasa ditemu bual oleh pengacara Radio BERNAMA baru-baru ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.