24 Mei 2023, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lirik dan lagu tidak boleh dipisahkan begitu sahaja. Oleh itu, kedua-duanya sangat penting. Bagi menyampaikan sesuatu karya, pastinya memerlukan media. Media dapat membantu dalam penyampaian sesebuah karya kepada khalayak. Hal ini dikatakan demikian kerana sifat media yang kekal relevan sepanjang zaman.

Demikian antara inti pati menarik daripada program Sembang Tamu Dewan Bahasa: Lirik Malar Segar, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada pukul 3:45 petang tadi.

Program ini telah dikendalikan oleh Puan Rabi’ahtuladawyah Md Salleh, Perancang Bahasa, DBP, selaku moderator bersama-sama dua orang ahli panel jemputan, iaitu Encik Saari Amri (pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit) dan Dr. Azam Dungun (Pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, penerbit, penyusun muzik, pencipta lagu dan penulis lirik).

Menurut Dr. Azam Dungun, penghasilan lirik sesebuah lagu juga dikatakan bercantum dengan budaya sesebuah masyarakat dan lirik memainkan peranan dalam mencorakkan budaya masyarakat itu.

Semasa berkarya, beliau turut merujuk lirik yang ada di pasaran dan yang diterima ramai oleh khalayak.  Menurut beliau, idea menulis lirik datang daripada persekitaran dan pembacaan. Beliau juga berhati-hati dalam pemilihan kata supaya tidak mendatangkan masalah untuk penyiaran oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1990-an.

“Apabila khalayak dapat menerima karya penulis lirik, karya tersebut mampu merentas zaman.” – Dr. Azam Dungun

Ujarnya lagi, penulisan lirik juga berpandukan buku pedoman seperti Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh DBP.

Sementara itu, menurut Saari Amri, selain pengalaman sendiri, beliau turut mendapat idea untuk menghasilkan lirik daripada pembacaan cerpen dan novel. Minat beliau terhadap aktiviti membaca telah membantu dirinya mengumpulkan pelbagai jenis kosa kata dan mengadaptasikan jalan cerita daripada hasil pembacaan tersebut kepada sesuatu lirik.

Saari Amri berkata bahawa lagu Gerimis Mengundang merupakan sebuah lagu yang sangat memberikan kesan buat dirinya apabila lagu itu telah diterjemahkan dan diubah liriknya kepada lebih 30 bahasa.

Encik Saari Amri ketika sesi menjawab soalan yang dikemukakan oleh penonton.

Menurut beliau lagi, kerangka penghasilan sesebuah lirik mestilah didahului dengan melodi terlebih dahulu dan kemudiannya barulah beralih kepada lirik. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya melodi, maka penghasilan lirik akan menjadi lebih mudah untuk diserasikan.

Dalam penghasilan lirik lagu, gaya bahasa juga perlu dititikberatkan agar menarik, sekali gus malar segar walaupun sudah bertahun-tahun lagu itu diterbitkan, tetapi masih dinyanyikan atau dimainkan di media massa dan di corong radio.

Oleh itu, untuk menghasilkan sesuatu lirik, penulis perlu melakukan pembacaan yang banyak dan mengolah semula perkataan yang dijumpai untuk menjadikan sesuatu lirik itu berkualiti.

Puan Rabi’ahtuladawyah Md Salleh (moderator) memperkenalkan Encik Saari Amri sebagai panel kedua untuk program tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.