Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Murid pekak mendapat perhatian khusus daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi pelancaran buku Memahami Karangan Murid Pekak: Analisis Kesilapan Bahasa di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pagi tadi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023.
Program yang dianjurkan oleh DBP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Institut Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur ini dirasmikan oleh YBrs. Puan Hajah Salmah Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM.
Sebelum majlis pelancaran, penganjur mengadakan program Bicara Buku yang menampilkan YBhg. Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, Pengarah Akademik dan Antarabangsa, UPSI sebagai pengulas buku Memahami Karangan Murid Pekak: Analisis Kesilapan Bahasa .
Ketika membicarakan buku ini, YBhg. Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli meluahkan kekagumannya terhadap penulis yang mampu menghasilkan bab yang berkesinambungan dengan setiap dakwaan dikukuhkan dengan bukti kajian yang pernah dilakukannya.
Bagi menjadikan penulisan buku ini lebih sempurna pada masa akan datang, YBhg. Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli turut mencadangkan supaya penulisnya menyertakan elemen penterjemahan.
Seterusnya, dalam sesi ucapan perasmian pula, YBrs. Puan Hajah Salmah Jopri menyatakan bahawa penerbitan buku ini amat bermakna dan memberikan sumbangan yang penting terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid pekak.
Pengarah Bahagian Pendidikan Khas ini amat menyarankan agar guru dan bakal guru menjadikan buku ini sebagai persediaan sebelum mengajar murid pekak mempelajari bahasa Melayu, khususnya penulisan karangan.
YBrs. Puan Hajah Salmah Jopri turut menegaskan bahawa pihak KPM amat menyanjung tinggi usaha murni penulis yang tidak jemu-jemu menulis buku yang berkaitan dengan murid pekak agar golongan ini tidak terpinggir.
Penulis buku ini, iaitu Dr. Abdullah Yusof pula berharap agar penerbitan buku ini mampu memahamkan masyarakat tentang liku-liku yang dilalui oleh murid pekak untuk mempelajari bahasa Melayu.
Secara khususnya, buku ini memfokuskan cara pelajar pekak menulis, kesilapan yang dilakukan dan kualiti penulisan pelajar pekak berbanding dengan pelajar biasa yang sebaya dengan mereka. Akhir sekali, hasil penulisan mereka dianalisis bagi mendapatkan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan proses ketika mereka menulis.