6 Jun 2023, 13:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zaʻba atau Zainal Abidin bin Ahmad diibaratkan sebuah kota yang penuh dengan khazanah keilmuan. Dari kota ini, terpancar kilauan terang yang menjadi panduan bagi semua orang yang melihatnya. Kilauan ini pula masih dapat dilihat hingga hari ini sebagai panduan generasi kini dan generasi akan datang.

Tokoh ini ialah tokoh bahasa yang berpengaruh pada era tahun 1930-an. Beliau ialah sarjana dan ahli fikir Melayu yang banyak berkecimpung dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, serta agama Islam.

Antara semua bidang yang diceburinya, Zaʻba telah meninggalkan pengaruh yang lebih menyeluruh dan bermakna dalam bidang bahasa sehingga namanya sering dikaitkan dengan tatabahasa atau nahu Zaʻba. Dalam erti kata lain, Zaʻba lebih dikenali sebagai ahli bahasa kerana pendekatan nahu yang dipeloporinya digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah.

Sumbangan beliau amat besar apabila tatabahasa yang dikemukakan dalam karyanya, Pelita Bahasa Melayu yang terdiri daripada tiga jilid pernah menjadi pedoman dan panduan guru bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu.

Sebenarnya, Zaʻba memberikan sumbangan yang banyak dalam bidang bahasa apabila berperanan sebagai perancang kurikulum sekolah, penterjemah dan pensyarah. Pendekatan nahu Zaʻba masih mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu hingga kini walaupun beliau sudah meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 sewaktu berusia 78 tahun.

Secara umumnya, pendekatan nahu Zaʻba dari aspek morfologi dan sintaksis dapat dibahagikan kepada empat judul besar, iaitu kata, penambah, rangkai kata dan ayat. Pendekatan nahu Zaʻba menunjukkan pengaruh yang ketara daripada tatabahasa Inggeris tradisional. Hal ini tidak dinafikan oleh beliau.

Dari aspek kata, Zaʻba membahagikan kata kepada lima golongan, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi dan seruan. Pembahagian seumpama ini dapat ditemukan dalam buku tatabahasa Inggeris tradisional.

Kriteria yang digunakan oleh Zaʻba untuk mentakrifkan golongan kata ialah kriteria makna. Walau bagaimanapun, kriteria makna tidak digunakan untuk mentakrifkan golongan sendi.

Dalam Pelita Bahasa Melayu (Jilid 1), Zaʻba menggunakan kriteria fungsi untuk mentakrifkan golongan sendi. Dalam definisi beliau, kata sendi ialah kata yang menyambungkan antara kata dengan kata atau antara bahagian cakap, seperti “dengan”, “oleh”, “akan”, “atau”, “tetapi”, dan “jika”.

Zaʻba menggunakan kriteria fungsi kerana kata sendi sukar dijelaskan berdasarkan makna. Berbeza daripada golongan sendi, golongan kata yang lain, iaitu nama, perbuatan, sifat dan seruan dapat diterangkan dengan mudahnya berdasarkan makna.

Berdasarkan definisi kata nama yang diberi oleh Zaʻba, didapati bahawa beliau juga memasukkan kata ganti nama. Hal ini amat wajar. Namun begitu, Zaʻba tidak menggolongkan kata, seperti “keadaan”, “kecantikan”, “kepanasan”, “peradaban” dan “pemeriksaan” sebagai kata nama kerana kata tersebut bukannya benda atau orang.

Bukan itu sahaja, kata-kata tersebut juga tidak dapat dimasukkan dalam mana-mana golongan yang lain yang didefinisikan oleh Zaʻba kerana kata tersebut bukannya perbuatan, sifat, sendi atau seruan.

Dengan ini, jelaslah bahawa pendekatan nahu Zaʻba dipengaruhi oleh pengajaran bahasa Inggeris secara tradisional yang mendefinisikan kata nama sebagai kata yang mewakili atau melambangkan nama sesuatu objek, sama ada objek bernyawa atau objek tidak bernyawa.

Berdasarkan definisi oleh Zaʻba terhadap golongan kata perbuatan, didapati bahawa perbuatan tidak terhad pada tindakan yang memperlihatkan gerak fizikal sahaja, tetapi turut merangkumi apa-apa yang dikenali sebagai “keadaan”.

Dengan ini, kata yang memperlihatkan gerak fizikal, seperti “ambil”, “beri”, dan “pergi” dapat digolongkan dalam kategori yang sama dengan kata yang langsung tidak memperlihatkan gerak fizikal, seperti “mahu”, “ada”, “jadi”, dan “dapat”.

Menerusi penjelasan ini, dapat ditunjukkan bahawa definisi yang diberikan oleh Zaʻba terhadap golongan kata perbuatan tidak terikat pada definisi tradisional dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Berdasarkan definisi tersebut, kata kerja atau kata perbuatan merupakan kata yang mewakili atau melambangkan tindakan. Sekiranya definisi ini digunakan dalam pendekatan nahu Zaʻba, pastilah kata, seperti “mahu”, “ada”, “jadi”, dan “dapat” tidak dapat dimasukkan dalam golongan kata perbuatan atau mana-mana golongan kata yang lain.

Menurut pendekatan nahu Zaʻba, kata sifat bukan sahaja merangkumi kata yang menerangkan kata nama, tetapi juga merangkumi kata yang menerangkan perbuatan. Contoh yang diberi oleh Za’ba adalah seperti “besar”, “bodoh”, “pandai”, “segera”, dan “selalu” pula dibahagikan kepada kata adjektif dan kata adverba dalam tatabahasa Inggeris tradisional.

Hal ini membuktikan bahawa definisi yang diberikan oleh Zaʻba terhadap golongan kata sifat tidak mengikut definisi yang terdapat dalam tatabahasa Inggeris tradisional. Za’ba menggunakan kriteria makna untuk mendefinisikan golongan kata sifat, manakala tatabahasa Inggeris tradisional menggunakan kriteria fungsi untuk mendefinsikan kata sifat dan kata adverba.

Sementara itu, definisi yang diberi oleh Zaʻba untuk menjelaskan kata seruan benar-benar menepati makna kata seruan itu dan situasi penggunaannya. Walau bagaimanapun, ilmu linguistik pada masa ini menjelaskan bahawa satu daripada ciri khusus kata seruan ialah kewujudan intonasinya. Aspek intonasi tidak disebut oleh Zaʻba dalam karyanya.

Daripada kelima-lima golongan kata tersebut, Zaʻba berpendapat bahawa golongan kata nama dan kata perbuatan adalah yang paling penting kerana tanpa kedua-dua golongan kata tersebut, seseorang penutur bahasa tidak dapat menyebut apa-apa yang hendak diujarkan.

Kesedaran Zaʻba mengenai hal ini selari dengan pengakuan ahli linguistik tentang keuniversalan kata nama dan kata perbuatan. Hal ini dikatakan demikian kerana semua bahasa di dunia mempunyai golongan kata nama dan kata perbuatan, tetapi golongan kata lain, seperti kata sendi, kata sifat dan kata seruan, tidak semestinya wujud dalam semua bahasa di dunia ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.