Oleh Kho Thong Eng
6 Jun 2023, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata adverba ialah kata tugas yang menghuraikan sesuatu perbuatan atau keadaan. Perkara yang dihuraikan melibatkan sebilangan kata kerja, kata adjektif, frasa sendi nama dan kata adverba. Kata adverba dapat hadir di hadapan atau di belakang kata dan frasa. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia rajin berusaha.

1b.  Dia sakit tenat.

1c.  Dia segera ke kampung.

1d.  Dia sangat cepat bertindak.

 

Dalam ayat 1a, kata adverba rajin menghuraikan kata kerja berusaha. Dalam ayat 1b, kata adverba tenat menghuraikan kata adjektif sakit. Dalam ayat 1c, kata adverba segera menghuraikan frasa sendi nama ke kampung. Dalam ayat 1d, kata adverba sangat menghuraikan adverba cepat yang menghuraikan kata kerja bertindak. Walau bagaimanapun, dalam konteks ayat yang lain, kata rajin, tenat dan segera ialah kata adjektif yang menghuraikan kata nama, dan kata sangat ialah penguat yang menghuraikan kata adjektif.

Adverba terbahagi kepada adverba jati dan adverba konteks. Adverba jati ialah adverba yang hanya berfungsi sebagai adverba, manakala adverba konteks merupakan golongan kata lain yang dapat berfungsi sebagai adverba. Seterusnya, adverba jati dapat dibahagikan lagi kepada beberapa kategori seperti yang berikut:

  1.  adverba kekerapan: sering, kerap, selalu, sentiasa, senantiasa, kadang-

kadang, jarang-jarang, sering kali, kerap kali, acap kali, kadangkala,

sekali-sekali, sekali-sekala

  1.  adverba kebolehjadian: nyaris-nyaris, hampir-hampir, sempat

iii. adverba kesalingan: saling

  1. adverba penyertaan: sama-sama

 

Sila lihat contoh ayat yang berikut:

2a.  Dia sering ke perpustakaan.

2b.  Dia jarang-jarang berusaha.

2c.  Dia nyaris-nyaris cedera.

2d.  Dia sempat menolong jirannya.

2e.  Mereka saling membantu.

2f.   Mereka sama-sama berseronok.

 

Dalam ayat 2a, kata adverba sering menghuraikan frasa sendi nama ke perpustakaan (struktur permukaan) atau pergi ke perpustakaan (struktur dalaman). Dalam ayat 2b, adverba jarang-jarang menghuraikan kata kerja tak transitif berusaha. Dalam ayat 2c, adverba nyaris-nyaris menghuraikan kata kerja tak transitif cedera. Dalam ayat 2d, adverba sempat menghuraikan frasa kerja menolong jirannya. Dalam ayat 2e, adverba saling menghuraikan kata kerja membantu. Dalam ayat 2f, adverba sama-sama menghuraikan kata kerja tak transitif berseronok.

Adverba konteks atau adverba keadaan ialah kata golongan lain yang dapat berfungsi sebagai adverba jika menghuraikan sesuatu perbuatan atau keadaan. Contohnya ialah kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Esok ialah hari cuti.

3b.  Dia akan tiba esok.

3c.  Dia ke kampung esok.

 

Dalam ayat 3a, kata esok ialah kata nama yang menduduki gatra subjek ayat.  Itulah golongan kata yang asal bagi kata esok. Namun demikian, kata nama esok dapat berfungsi sebagai kata adverba dalam konteks lain. Dalam ayat 3b, kata esok menghuraikan frasa kerja akan tiba. Dalam ayat 3c, kata esok menghuraikan frasa sendi nama ke kampung. Oleh itu, kata esok ialah kata nama yang dapat berfungsi sebagai kata adverba untuk menghuraikan masa sesuatu kejadian. Antara contoh kata nama masa seperti esok termasuklah semalam, kelmarin, tadi, nanti, dahulu, sekarang, lusa, tulat, kelak dan sebagainya. Selain itu, kata hubung gabungan kemudian juga dapat menjadi adverba masa.

Adverba konteks juga meliputi sebilangan kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Burung helang terbang meninggi.

4b.  Mereka berjalan mengiring.

4c.  Laut tenang membiru.

4d.  Mukanya putih berseri.

4e.  Dia di rumah bersendirian.

4f.   Dia ke hutan menyendiri.

 

Dalam ayat 4a, kata kerja meninggi berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja terbang. Dalam ayat 4b, kata kerja mengiring berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja berjalan. Dalam ayat 4c, kata kerja membiru berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata adjektif tenang.  Dalam ayat 4d, kata kerja berseri berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata adjektif putih. Dalam ayat 4e, kata kerja bersendirian berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan frasa sendi nama di rumah. Dalam ayat 4f, kata kerja menyendiri berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan frasa sendi nama ke hutan.

Adverba konteks juga meliputi sebilangan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Sungai mengair lesu.

5b.  Angin bertiup kencang.

5c.  Dia sakit kuat.

5d.  Dia ke hospital terus.

5e.  Dia segera ke pejabat.

 

Dalam ayat 5a, kata lesu ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata kerja mengalir. Dalam ayat 5b, kata kencang ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata kerja bertiup. Dalam ayat 5c, kata kuat ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata adjektif sakit. Dalam ayat 5d, kata terus ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan frasa sendi nama ke hospital.  Dalam ayat 5e, kata segera ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan frasa sendi nama ke pejabat.

Ada sejumlah kata adjektif ganda yang dapat menjadi adverba. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia cepat-cepat balik.

6d.  Dia duduk diam-diam.

6c.  Dai makan sedikit-sedikit.

6d.  Dia betul-betul yakin.

6e.  Dia menari gila-gilaan.

6f.   Dia berbelanja besar-besaran.

6g.  Sepandai-pandai dia berfikir, ada kalanya dia tersilap juga.

 

Dalam ayat 6a, kata adjektif ganda cepat-cepat merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja balik.  Dalam ayat 6b, kata adjektif ganda diam-diam merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja duduk. Dalam ayat 6c, kata adjektif ganda sedikit-sedikit merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja makan. Dalam konteks ayat lain, kata sedikit merupakan kata bilangan tak tentu.  Dalam ayat 6d, kata adjektif ganda betul-betul merupakan adverba yang menghuraikan kata adjektif yakin. Dalam hal ini, kata betul-betul juga merupakan kata penegas. Dalam ayat 6e, kata adjektif ganda gila-gilaan merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja menari. Dalam ayat 6f, kata adjektif ganda besar-besaran merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berbelanja. Dalam ayat 6g, kata adjektif ganda sepandai-pandai merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berfikir.

Ada sejumlah kata kerja ganda yang dapat menjadi adverba. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia berbelanja habis-habisan.

7b.  Dia belajar bersungguh-sungguh.

7c.  Dia berjalan terkedek-kedek.

7d.  Dia bersedih berhari-hari.

7e.  Dia berjalan mundar-mandir.

7f.  Mereka berlari lintang-pukang.

 

Dalam ayat 7a, kata kerja ganda separa habis-habisan merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berbelanja. Dalam ayat 7b, kata kerja ganda separa bersungguh-sungguh merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja belajar. Dalam ayat 7c, kata kerja ganda separa terkedek-kedek merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berjalan. Dalam ayat 7d, kata kerja ganda separa berhari-hari merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja bersedih. Dalam ayat 7e, kata kerja ganda berentak mundar-mandir merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berjalan. Dalam ayat 7d, kata kerja ganda berentak lintang-pukang merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berlari.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.