6 Jun 2023, 20:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Akademi DBP telah mengadakan Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) selama dua hari yang bermula pada hari ini, iaitu 6 Jun hingga 7 Jun di Aras 6, Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, yang melibatkan peserta luar daripada pelbagai agensi dari seluruh Malaysia.

Sebanyak 101 orang telah mendaftarkan diri sebagai peserta Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi). Kursus yang dijalankan secara bersemuka ini bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang itu bertujuan untuk mendapatkan calon terbaik yang akan dibimbing dan dinilai dalam Bengkel Munsyi Dewan (Jawi) akan datang.

Antara objektif lain kursus ini diadakan termasuklah untuk memberikan peluang kepada penggiat Jawi atau pencinta Jawi untuk mendapatkan pertauliahan sebagai Munsyi Dewan (Jawi).

Kursus ini menampilkan Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abd. Aziz, pensyarah dari Universiti Putra Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang Jawi dan juga merupakan penyelidik dalam bidang bahasa Melayu.

Pada sesi awal kursus, para peserta diperkenalkan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang merangkumi tiga aspek perundangan yang utama, iaitu Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan Akta Pendidikan 1996 yang mewajibkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hanya mengiktiraf dua sistem tulisan sahaja untuk urusan rasmi, iaitu tulisan Rumi dan Jawi.

Menurut Prof. Madya Dr. Adi Yasran, sejarah perkembangan tulisan Jawi boleh dibahagikan kepada dua zaman, iaitu Zaman Jawi Klasik (1303-1928) dan Zaman Jawi Moden pada tahun 1928 hingga kini yang diperkenalkan oleh Zaʻba.

Tambah beliau, terdapat tiga bukti terawal tulisan Jawi klasik yang terdiri daripada Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) pada tahun 1303 Masihi, Surat Sultan Abu Hayat pada tahun 1521 Masihi dan naskhah terjemahan kitab ‘Aqa’id al-Nasafi.

Beliau turut menerangkan tentang peranan tulisan Jawi yang bukan sahaja sebagai warisan negara tetapi juga sebagai identiti Malaysia dan negara jiran. Menurutnya lagi, peranan tulisan Jawi adalah untuk memperkasakan jati diri rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu yang beragama Islam.

Beliau juga menegaskan bahawa tulisan Jawi telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, iaitu UNESCO yang diberikan berdasarkan kriteria pemilihan sesuatu yang berkepentingan dunia dan nilai sejagat yang luar biasa.

Pada hari kedua kursus pula, ujian kelayakan akan diadakan untuk menilai para peserta sama ada layak atau tidak untuk menghadiri bengkel seterusnya yang akan diadakan pada bulan Julai kelak.

Melalui kursus yang diadakan itu, DBP akan dapat melantik Munsyi Dewan Jawi yang berkemahiran, khususnya dalam bidang Jawi agar dapat membantu fungsi DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan sastera.

Antara peserta yang mengikuti kursus Munsyi Dewan (Jawi) pada hari ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.