Oleh Kho Thong Eng
13 Jun 2023, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Imbuhan beR-, meN- dan teR- merupakan awalan yang sering kita gunakan dalam penulisan dan ujaran. Tiga imbuhan tersebut mempunyai fungsi dan maksud masing-masing. Oleh itu, perbandingan antara imbuhan itu dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentangnya.

Imbuhan beR- menghasilkan kata kerja tak transitif dengan kata dasar, seperti yang berikut:

1a.  Dia bercermin.

1b.  Dia berkereta.

1c.  Dia berkedudukan tinggi.

1d.  Dia bermain bola.

1e.  Dia belajar sampai jauh malam.

1f.   Dia belajar kerana mahu lulus.

1g.  Dia berada di Ipoh.

1h.  Dia berpendapat bahawa dia betul.

1i.   Bajunya bersusun rapi.

Dalam ayat 1a, bercermin ialah kata kerja refleksif, iaitu berkaitan dengan tindakan yang kena pada diri sendiri. Dalam ayat 1b, berkereta dapat berdiri sendiri tanpa diikuti sebarang kata. Maksudnya ialah mempunyai atau memandu kereta. Dalam ayat 1c, kata berkedudukan diikuti penerang tinggi bagi kata dasar kedudukan. Dalam ayat 1d, bermain ialah kata kerja yang dapat berdiri sendiri, dan boleh diikuti kata keterangan seperti bola. Dalam ayat 1e, kata kerja belajar diikuti frasa keterangan sampai jauh malam. Dalam ayat 1f, kata kerja belajar diikuti klausa keterangan kerana (dia) mahu lulus. Dalam ayat 1g, kata kerja berada yang bermaksud “hadir” mesti diikuti pelengkap seperti di Ipoh. Dalam ayat 1h, kata kerja berpendapat diikuti klausa komplemen bahawa dia betul sebagai pelengkap. Dalam ayat 1i, kata bersusun mempunyai ragam pasif dan bermaksud “sedia disusun”.

 

Oleh itu, fungsi beR- boleh kita rumuskan seperti yang berikut:

  1.  membentuk kata kerja tak transitif.
  2. ada kata yang dapat berdiri sendiri.

iii. ada kata yang mesti diikuti pelengkap.

  1. ada kata yang boleh diikuti penerang bagi kata dasarnya.
  2.  ada kata yang dapat diikuti kata keterangan.
  3.  boleh diikuti frasa atau klausa keterangan.

vii. ada kata yang mempunyai ragam pasif.

 

Imbuhan meN- menghasilkan kata kerja aktif tak transitif atau transitif dengan kata dasarnya, seperti yang berikut:

2a.  Dia melompat.

2b.  Dia membaca buku.

2c.  Dia memberi adiknya hadiah.

2d.  Dia membaca buku pada masa lapang.

2e.  Dia membaca buku apabila ada masa lapang.

2f.   Dia mengetahui bahawa kesilapan telah berlaku.

 

Dalam ayat 1a, kata kerja melompat ialah kata kerja tak transitif, iaitu boleh berdiri sendiri tanpa diikuti sebarang kata lain. Dalam ayat 2b, kata kerja membaca ialah kata kerja transitif dengan satu objek, iaitu buku. Dalam ayat 2c, kata kerja transitif memberi mempunyai dua objek, iaitu objek tepat adiknya dan objek sipi hadiah. Dalam ayat 2d, frasa kerja membaca buku diikuti frasa keterangan pada masa lapang. Dalam ayat 2e, frasa kerja membaca buku diikuti klausa apabila (dia) ada masa lapang. Dalam ayat 3f, kata kerja transitif mengetahui diikuti klausa komplemen bahawa kesilapan telah berlaku sebagai objeknya.

Oleh itu, fungsi awalan meN- dapat kita rumuskan seperti yang berikut:

  1.  membentuk kata kerja aktif tak transitif dan transitif.
  2. ada kata kerja transitif yang dapat diikuti satu atau dua objek.

iii. boleh diikuti frasa atau klausa keterangan.

  1. ada kata kerja transitifnya yang dapat diikutiklausa komplemen sebagai objek.

 

Imbuhan teR- menghasilkan kata kerja tak transitif, kata kerja transitif dan kata kerja pasif dengan kata dasarnya, seperti yang berikut:

3a.  Dia terjatuh.

3b.  Dia terlanggar kereta itu.

3c.  Dia terlanggar oleh kereta itu.

3d.  Biliknya tersusun rapi.

3e.  Dia terberi adiknya makanan yang basi.

3f.   Dia terjatuh di kawasan paya itu.

3g.  Dia terjatuh kerana lantai licin.

3h.  Dia teringat bahawa tugasannya belum siap.

 

Dalam ayat 3a, kata kerja terjatuh ialah kata kerja tak transitif, iaitu dapat hadir tanpa diikuti oleh sebarang kata lain. Dalam ayat 3b, kata terlanggar ialah kata kerja transitif yang harus diikuti objek seperti kereta itu. Dalam ayat 3c, kata kerja terlanggar ialah kata kerja pasif kerana harus diikuti benda yang melakukan pelanggaran seperti kereta itu dan kata sendi nama oleh. Dalam ayat 3d, kata kerja tersusun mempunyai ragam pasif dan bermaksud “sedia disusun”. Dalam ayat 3e, kata kerja terberi diikuti dua objek, iaitu objek tepat adiknya dan objek sipi makanan yang basi. Dalam ayat 3f, kata kerja terjatuh diikuti frasa keterangan di kawasan paya itu. Dalam ayat 3g, kata kerja terjatuh diikuti klausa keterangan kerana lantai licin. Dalam ayat 3h, kata kerja teringat diikuti klausa komplemen bahawa tugasannya belum siap sebagai objeknya.

Oleh itu, fungsi awalan teR- dapat kita rumuskan seperti yang berikut:

  1.  menghasilkan kata kerja tak transitif, kata kerja transitif dan kata kerja pasif.
  2. fungsi pasifnya ada kalanya seperti beR-.Contohnya ialah persamaan maksud antara kata tersusundengan kata bersusun.

iii. ada kata kerja transitifnya yang dapat diikuti satu atau dua objek.

  1. ada kata kerja transitif yang dapat diikuti klausa komplemen sebagai objeknya.
  2.  boleh diikuti frasa atau klausa keterangan.

 

Perbandingan antara awalan beR-, meN- dan teR- dapat kita gambarkan seperti yang berikut:

Fungsi beR- meN- teR-
Kata kerja tak transitif
Kata kerja transitif X
Kata kerja pasif X
Dapat diikuti frasa dan klausa keterangan
Ada kata yang dapat diikuti kata keterangan X X
Dapat diikuti klausa komplemen
Dapat diikuti satu objek X
Ada kata yang dapat diikuti dua objek X
Ada kata yang diikuti penerang bagi kata dasarnya X X
Ada kata yang diikuti pelengkap X X

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.