16 Jun 2023, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam Syarahan Negarawan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson telah menegur kebiasaan ahli-ahli parlimen yang tidak menjaga mutu bahasa dengan menggunakan bahasa pasar ketika berbahas di sidang-sidang Dewan Rakyat.

Ketika sidang media pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, beliau sekali lagi bertegas akan meneruskan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Teguran beliau kelihatannya masih relevan tatkala di tengah-tengah kehangatan kempen pilihan raya yang baru berlalu apabila tular gegantung-gegantung kempen yang memaparkan kesalahan ejaaan serta poster-poster promosi stesen televisyen terkemuka yang membicarakan soal politik negara yang menggunakan ejaan salah “pilihanraya” berbanding dengan ejaan yang betul, iaitu“pilihan raya”.

Mutu penggunaan bahasa Melayu turut dapat dipersoalkan apabila dokumen-dokumen bertulis kerajaan masih ada lagi yang menggunakan ciri-ciri bahasa pasar, iaitu percampuran antara istilah bahasa asing dengan bahasa Melayu dalam satu ayat yang sama.

Apabila diteliti, penulis-penulis dokumen memberikan alasan bahawa istilah-istilah umum dan teknikal yang hendak digunakan dalam teks seperti standard operating procedure, roll out dan sebagainya tidak mempunyai padanan dalam bahasa Melayu. Dakwaan ini semestinya meleset daripada kebenaran.

Umum wajar mengetahui bahawa bahasa Melayu telah mengalami dan akan terus mengalami perkembangan bahasa selari dengan tuntutan semasa. Sebagai contoh, penggunaan istilah topeng muka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan yang merujuk apa-apa pelindung yang dikenakan pada muka.

Namun selepas itu, istilah pelitup separuh muka pula digunakan dengan meluas yang merujuk khusus kepada penutup yang dipakai untuk melindungi muka bagi tujuan kesihatan.

Begitu juga perbezaan yang nuansa seperti monolog yang merujuk dialog secara sendirian dengan menggunakan suara dan senandika, iaitu dialog secara sendirian tanpa menggunakan suara.

Perkembangan bahasa Melayu khususnya pertambahan kosa kata dan istilah ini dapat dilihat jelas dari aspek perkamusan bahasa Melayu. Pada tahun 2005, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerbitkan Kamus Dewan Edisi Keempat yang memaparkan sekitar 82 900 kata masukan.

Namun begitu, dalam Kamus Dewan Perdana yang telah dilancarkan baru-baru ini mengandungi lebih daripada 120 000 entri dan subentri yang meliputi pelbagai disiplin ilmu.

Menurut DBP, dalam proses penyusunan kamus tersebut yang telah bermula sejak awal tahun 1990 lagi, lebih daripada 45 orang pakar bidang yang berlainan telah terlibat bagi menyemak dan mengesahkan istilah-istilah yang disusun dalam kamus tersebut.

Hal ini menunjukkan bahawa keandalan istilah dalam bahasa Melayu ini tidak boleh dipertikai dan rakyat Malaysia boleh menggunakan istilah-istilah tersebut dalam konteks rasmi atau tidak rasmi tanpa ragu-ragu. Hal ini juga bermaksud, kita boleh menghasilkan satu dokumen yang lengkap dengan sifar bahasa asing atau bahasa pasar.

Sebahagian besar istilah-istilah bahasa Inggeris khususnya sudahpun terakam dalam kosa kata bahasa Melayu. Namun begitu, masih ada segelintir rakyat Malaysia dan penjawat awam khususnya masih terperangkap di bawah “kepompong bahasa” dan lebih cenderung untuk menggunakan istilah asing dalam teks bahasa Melayu.

Justeru, usaha dan keinginan wajar digerakkan untuk keluar daripada kepompong bahasa itu yang menahan masyarakat untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sama ada dalam wacana lisan mahupun wacana tulisan seharian.

Seperti yang dinukilkan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim semasa membentangkan kertas kerjanya dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 22 Mei 2022 , isu kesetiaan bahasa dan kebanggaan bahasa merupakan cabaran besar dalam pelaksanaan dasar bahasa di Malaysia. Sangkaan bahawa tiada istilah sepadan dalam bahasa asing ke dalam bahasa Melayu perlu disingkirkan dari minda dan hati masyarakat dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.