Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMemang tidak dapat disangkal bahawa bahasa menunjukkan identiti sesuatu bangsa, malah bahasa juga mampu menunjukkan kekayaan budaya sesuatu masyarakat. Walakin begitu, masyarakat kini terutamanya golongan remaja masih ramai yang tidak menguasai bahasa Melayu.
Lebih menyedihkan lagi apabila mereka menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting dan maju daripada bahasa Melayu. Natijahnya, bahasa sendiri tidak dikuasai. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebagai rakyat yang cinta akan tanah air, seseorang itu perlu mengorak langkah ampuh untuk menjamin penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja. Sebagai satu pendekatan yang berkesan, media sosial boleh digunakan untuk mengajar dan belajar bahasa.
Media sosial juga dapat menjelmakan masyarakat biasa menjadi pempengaruh yang terkenal. Setiap orang yang mempunyai akaun TikTok bebas mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyatakan pendapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap individu yang mempunyai akaun TikTok merupakan “wartawan tidak bergaji” kerana saban hari masyarakat sering disajikan dengan video yang dimuat naik berkaitan dengan isu-isu yang hangat atau tular pada satu-satu masa. Hal ini secara tidak langsung membuka ruang kepada para warganet untuk mengetahui isu yang berlaku di dalam mahupun di luar negara dengan hanya menggunakan TikTok.
Jika ditinjau dari sudut yang berbeza, tokoh-tokoh politik juga sudah tidak lagi menggunakan pendekatan yang lama untuk berkempen ketika pilihan raya. Ahli politik juga menggunakan medium TikTok sebagai wahana yang penting dalam kempen-kempen politik mereka.
Oleh yang demikian, sudah jitu lagi tepat bahawa TikTok merupakan medium yang boleh dijadikan wahana untuk semua bidang terutamanya bidang pendidikan. Persoalan yang terus menerawang dan menerjah di dalam kotak fikiran sekarang ialah adakah TikTok mampu menjadi platform untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih efektif?
TikTok sudah menjadi senjata utama masyarakat dalam mengeluarkan pendapat mereka. Terdapat juga segelintir ahli masyarakat yang menggunakan platform tersebut untuk menonjolkan bakat mereka. Jika dilihat dengan teliti, kini banyak guru yang menggunakan platform tersebut untuk aktiviti pengajaran dengan memuat naik video pendek supaya masyarakat terutamanya golongan pelajar mendapat ilmu melalui media sosial ini.
Namun demikian, ada juga segelintir guru yang memuat naik video di TikTok hanya untuk menjadi popular dalam kalangan warganet. Hal ini sebenarnya merupakan satu aktiviti yang tidak sihat kerana pengajaran itu seharusnya jujur dan ikhlas dari hati dan bukannya untuk menuju kemasyhuran semata-mata.
Platform ini juga sebenarnya merupakan senjata khas untuk para pencinta bahasa. Bak kata pepatah, “Mata pena lebih tajam dari mata pedang”. Namun begitu, pepatah yang lebih sesuai kini ialah “Kanta kamera lebih tajam dari mata pedang”. Hal ini demikian kerana seseorang itu boleh terselamat daripada pedang yang hanya boleh mencederakan diri tetapi apabila seseorang itu tular dalam sesuatu video yang negatif, maka seseorang itu terpaksa menanggung malu sepanjang hidupnya.
Pendek kata, media sosial lebih berpengaruh dan mampu melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan seseorang. Oleh yang demikian, pengajaran bahasa Melayu juga boleh dilaksanakan melalui media sosial terutamanya menerusi TikTok.
TikTok juga mampu menarik minat remaja dan golongan lain untuk mencintai bahasa. Perkara tersebut boleh berlaku jika guru, pencinta bahasa, pengkaji bahasa atau Munsyi Dewan memainkan peranan mereka untuk memajukan dan memartabatkan bahasa.
Jika banyak orang memuat naik video berkaitan dengan bahasa Melayu, masyarakat akan mula belajar sesuatu melalui video tersebut. Hal ini kerana masyarakat tidak ada masa untuk menelaah buku-buku bahasa disebabkan kesibukan dalam mengejar sesuatu untuk kelangsungan hidup mereka.
Masyarakat kini banyak meluangkan masa dengan media sosial. Oleh hal yang demikian, sebagai pencinta bahasa, seseorang itu perlu merebut peluang keemasan ini untuk menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini. Melaluinya juga generasi akan datang pastinya tidak akan melupakan bahasa Melayu yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia sejak turun-temurun.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja kini semakin tidak menyerlah. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masalah ini merupakan satu isu yang bukan sahaja meresahkan ibu bapa malah turut mencemaskan para pemimpin negara.
Oleh yang demikian, TikTok boleh dijadikan sebagai platform baharu yang sesuai untuk mengajar dan belajar bahasa Melayu mengikut peredaran zaman. Perlu diingat bahawa jika takut untuk berubah mengikut peredaran zaman, seseorang itu perlu bersedia untuk ditelan zaman. Perubahan adalah perkara yang satu-satunya kekal.