Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata majmuk ialah dua atau lebih kata yang mendukung makna khusus dan berfungsi sebagai satu unit dari segi tatabahasa. Kata ini meliputi kata nama majmuk, kata kerja majmuk dan kata adjektif majmuk.
Kata nama majmuk mungkin dianggotai oleh akar kata, kata tunggal kata terbitan atau kata ganda. Sila lihat contoh yang berikut:
i. Binaan dengan akar kata
pasar tani, anak guam, suara tangis
Kata tani, guam dan tangis merupakan akar kata (morfem terikat) yang tidak dapat wujud secara bebas dalam ayat tanpa ditambah imbuhan atau dijadikan sebagai kata majmuk.
ii. Binaan dengan kata tunggal
roda tenaga, kertas kerja, jenama produk, markah purata, masalah asbut
Kata tunggal termasuk akronim, iaitu kata yang terbina daripada gabungan sejumlah kata atau bahagiannya, ada vokal pembunyi dan disebut sebagai satu kata. Contoh kata nama majmuk dengan akronim ialah jenama (jenis + nama) barangan, markah purata (pukul + rata) dan masalah asbut (asap + kabut)
iii. Binaan dengan kata terbitan
a. Satu kata berimbuhan
(1) Kata pertama berimbuhan
suruhanjaya, jawatankuasa, pesuruhjaya, penemu duga, pertumbuhan ekonomi
(2) Kata kedua berimbuhan
mata pelajaran, hukum alamiah, graf terarah, medan sinaran, daya tarikan, kuasa hidroelektrik
b. Kedua-dua kata berimbuhan
Penolong Penerbit, barisan pertahanan, ketua kumpulan, ketua pustakawan
c. Seluruh kata berimbuhan
Kesetiausahaan, persuratkhabaran, pertanggungjawaban
iv. Binaan dengan kata ganda
kedaulatan undang-undang, rang undang-undang, kitaran hidup rama-rama, hidangan kuih-muih, hasil kayu-kayan
Kata nama majmuk boleh terbina daripada gabungan dua atau lebih kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:
i. dua kata nama
air mata, hasil kajian, pengaruh media, industri hiliran, tandatangan
ii. Melebihi dua kata nama
Timbalan Ketua Menteri, kesan hakisan sungai, rombakan Jemaah Menteri
Hubungan dan maksud kata yang membina kata majmuk mungkin bersifat inti- penerang atau mempunyai maksud yang tersendiri. Sila lihat contoh yang berikut:
i Hubungan inti + penerang, a + b = a(b)
Kata majmuk jenis ini menampilkan hubungan inti + penerang. Kata inti ialah kata yang dapat berfungsi seperti seluruh kata majmuk dalam ayat. Dalam hal ini, susunan kata dalam kata majmuk mungkin mengikut hukum D-M (unsur yangDiterangkan mendahului unsur yang menerangkannya), atau sebaliknya. Sila lihat contoh yang berikut:
a. mengikut Hukum D-M
air hujan, tayangan perdana, sijil kelulusan, Menteri Muda, tandatangan
b. Tidak mengikut Hukum D-M
Naib pengerusi, Timbalan presiden, Perdana Menteri, ibu pejabat
ii. mempunyai maksud yang tersendiri, a+ b = c
setiausaha, tanggungjawab, urus setia
Ada kata nama majmuk yang dianggotai oleh kata adjektif, tetapi tidak bersifat frasa. Contohnya ialah kata majmuk rumah sakit, kereta kebal dan guru besar. Hal ini dikatakan demikian kerana kata majmuk tersebut mempunyai maksud khusus dan tidak boleh diselangi oleh kata hubung relatif yang. Jika diselitkan dengan kata yang, frasa yang terhasil tidak lagi bermakna atau maknanya berubah. Bagi rumah sakit yang bermakna hospital, kita tidak boleh menyamakannya dengan *rumah yang sakit. Kereta kebal (tank) berbeza daripada kereta yang kebal (kereta yang buatannya kuat), dan guru besar tidak boleh disamakan dengan guru yang besar (guru yang besar saiznya). Hal ini berbeza daripada frasa kereta baharu yang sama erti dengan frasa kereta yang baharu.
Ada kata nama majmuk yang dianggotai oleh kata kerja, sama ada satu kata atau seluruhnya. Contohnya ialah terima kasih, temu ramah, reka bentuk, daya serap, ulang kaji dan cari gali. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tersebut digunakan seperti kata nama dalam ayat. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
1a. Dia mengucapkan terima kasih.
1b. Temu duga sedang diadakan.
2a. Ali sedang melakukan ulang kaji.
2b. Mereka melakukan cari gali di kawasan itu.
Dalam ayat 1a, kata nama majmuk terima kasih menjadi kata nama objek bagi kata kerja transitif mengucapkan. Dalam ayat 1b, kata nama majmuk temu duga menjadi subjek ayat dengan pola Frasa Nama + Frasa Kerja. Dalam ayat 2a dan 2b pula, kata nama majmuk ulang kaji dan cari gali yang terbina daripada kata kerja seluruhnya berfungsi sebagai kata nama objek yang mengikuti kata kerja transitif melakukan.
Ada kata nama majmuk yang berpangkalkan kata adjektif. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah kata adjektif dapat berfungsi seperti kata nama, Contohnya ialah kuning telur, dalam ketara, putih mutiara dan biru laut. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
3a. Dia suka makan kuning telur.
3b. Dalam ketara kolam itu dua meter.
3c. Biru laut ialah warna kesukaannya.
Dalam ayat 3a, kata nama majmuk kuning telur menjadi objek kepada kata kerja transitif makan. Dalam ayat 3b, kata nama majmuk dalam ketara menjadi inti frasa nama subjek ayat. Dalam ayat 3c, kata nama majmuk biru laut menjadi subjek ayat.
Kata nama majmuk meliputi rangkai kata bebas, istilah khusus dan kata majmuk kiasan (simpulan bahasa). Contoh kata majmuk jenis rangkai kata bebas ialah atur cara, balai raya, majlis perbandaran dan Timbalan Naib Canselor. Contoh kata majmuk jenis istilah khusus ialah kesatuan sekerja, telefon dail terus, cakera padat (compact disc) dan aplikasi mudah alih (Mobile App). Contoh kata majmuk kiasan ialah tangkai jering, lipas kudung, muka tembok dan bulan madu.