22 Jun 2023, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Konsep Malaysia MADANI digagaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menerajui kerajaan ini. Konsep ini bukanlah bersifat terpencil, sebaliknya sesuai menjadi acuan bagi semua pihak, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seiring dengan itu, bersempena dengan ulang tahun penubuhan DBP yang ke-67 pada tahun ini, DBP seharusnya mampu menjadi acuan berdasarkan kerangka Malaysia MADANI dari aspek pemerkasaan DBP itu sendiri.

Perkara paling penting yang perlu menjadi keutamaan DBP ialah rombakan struktur pentadbiran dan peranannya. Langkah ini membolehkan DBP lebih telus dan bebas daripada pengaruh politik. Pelantikan jawatan perlu dilakukan secara telus bagi menjamin individu yang dilantik berkelayakan dan dihormati oleh semua pihak. Campur tangan politik akan menyebabkan kemerosotan sistem pentadbiran, seterusnya menyebabkan peranan DBP yang sebenar tidak dapat direalisasikan.

Hal ini selari dengan strategi utama MADANI yang keempat, iaitu mewujudkan pentadbiran beramanah menerusi islah dan pembaharuan bagi mewujudkan sistem yang adil dan saksama dengan menyuburkan prinsip musyawarah dan demokrasi bersandarkan sistem pengurusan yang baik, adil dan saksama.

Seterusnya, masyarakat umum mengetahui bahawa proses penerbitan karya memerlukan kos yang agak tinggi. Jika DBP memberikan bantuan dari segi kewangan, kemudahan penerbitan dan sokongan penerbitan produk akhir (modul, panduan, buku dan sebagainya), pastilah bahan sumber yang bermutu dapat diperbanyak. Hasil kajian pascasiswazah dan ahli akademik ini pula dapat diedarkan ke institusi yang terlibat, seterusnya memberikan manfaat kepada pemerkasaan pendidikan khususnya.

Oleh itu, pemerkasaan proses penerbitan buku/bahan sumber perlu dirancang dan penerbitan yang segera perlu dilakukan. Satu perkara yang amat penting yang memerlukan tindakan segera oleh pihak DBP ialah peluasan fungsi Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera. Hal ini dapat membuka ruang dan peluang kepada siswa, pendidik, ahli akademik, dan masyarakat untuk menghasilkan karya bahasa dan sastera yang bermutu dengan bantuan pakar.

Peranan DBP amat penting dari aspek meningkatkan pengupayaan modal insan dengan memberikan pendedahan dari aspek teknik penulisan dan pengembangan idea. Hal ini menepati satu daripada teras Malaysia MADANI, iaitu daya cipta. Daya cipta mencakupi pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.

Di samping itu, DBP juga perlu mengembalikan peranan dan pelibatan yang lebih aktif dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dengan melibatkan siswa, guru dan pensyarah. Dengan memanfaatkan prasarana dan mekanisme sedia ada secara aktif, bahasa Melayu dapat diperkenalkan dengan lebih agresif. Dengan cara ini, matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa global akan tercapai.

Selain itu, DBP tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu mencari rakan sinergi, terutamanya dari luar negara. Dalam hal ini, DBP seharusnya bersinergi dengan badan korporat yang beroperasi di luar negara bagi mendapatkan sokongan dari segi kewangan, motivasi dan aktiviti untuk menarik minat pelajar asing mempelajari bahasa Melayu.

Kerjasama strategik ini perlu ditingkatkan supaya usaha memperkenalkan bahasa Melayu di mata dunia dapat dijadikan sebagai kenyataan. Pelibatan aktif ini bukan sahaja melibatkan kakitangan DBP, tetapi diperluas kepada golongan siswa, pendidik, dan ahli akademik yang berminat. Strategi ini amat menepati nilai teras kesejahteraan Malaysia MADANI melalui budaya ilmu dan pelbagai pandangan.

Yang berikutnya, DBP boleh berperanan sebagai hab (pusat) sosial. Tindakan ini dapat memperluas fungsi DBP sebagai hab sosial bagi pihak yang ingin mencari komuniti melalui program yang melibatkan sekolah, institut pengajian tinggi dan masyarakat setempat. Pusat rujukan transformasi komuniti ini perlu diwujudkan, khususnya bagi tujuan pembangunan, pendidikan, dan penyelidikan demi memartabatkan bahasa Melayu dan sastera Melayu.

Pihak tersebut boleh berkumpul untuk belajar, berkongsi maklumat, bertukar pandangan dan meluaskan jaringan pergaulan menerusi hab ini. Secara tidak langsung, hab sosial ini dapat menjadi pusat rujukan perkembangan bahasa, serta memperkasakan keterampilan bahasa dan modal insan melalui pelbagai pandangan.

Dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini, pihak tertentu perlu memberikan peruntukan yang besar untuk menjayakannya. DBP perlu membuka peluang penyelidikan kepada siswa, guru, dan pensyarah dengan menyediakan geran penyelidikan. Penyelidikan boleh dilakukan bersama-sama pegawai DBP mengikut kehendak dan keperluan semasa. Penyelidikan ini tidak tertakluk di dalam negara sahaja, malah turut merentasi serata dunia.

Bagi memastikan penggunaan bahasa yang tepat pada peringkat persekolahan pula, DBP perlu merancang dan mengurus keperluan latihan/kursus untuk guru/bakal guru bahasa Melayu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Pengajian Tinggi. Melalui latihan ini, kemahiran bahasa daripada pakar bahasa dapat disalurkan secara terus dan telus kepada pendidik. Maklumat yang telus dan tepat ini dapat membantu memajukan pendidikan bahasa khususnya, serta bakat kesusasteraan dan bakat berbahasa amnya.

Peranan DBP untuk mengangkat martabat bahasa dan bangsa ke peringkat antarabangsa juga perlu diperkasakan. Hal ini meliputi usaha memperkenalkan serta menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada mata pelajaran wajib yang perlu dipelajari pada peringkat universiti di dalam negara khususnya, dan peluasan penawaran kursus Bahasa Melayu di universiti luar negara amnya.

Mata pelajaran Bahasa Melayu ini hendaklah diajar merentasi opsyen fakulti. Kurikulum khusus perlu dirangka bermula daripada asas bahasa. Seterusnya, pihak DBP dengan kerjasama pelbagai pihak perlu bekerja keras untuk menembusi pasaran universiti luar negara supaya mata pelajaran Bahasa Melayu dapat ditawarkan dan diajar pada peringkat pendidikan global.

Walaupun DBP melakukan pelbagai transformasi ke arah Malaysia MADANI, semua usaha ini tidak akan diketahui oleh masyarakat tanpa hebahan maklumat yang pantas melalui media. Media massa memainkan peranan yang penting dalam penyebaran maklumat yang cepat dan pantas.

Peranan DBP ini perlu diuar-uar kepada masyarakat dari semasa ke semasa melalui media kerana masih ramai yang belum mengetahui fungsi dan peranan sebenar DBP. Segala program, aktiviti, bentuk sokongan dan maklumat perlu disalurkan secara pantas dan telus kerana masyarakat masih kabur dengan maklumat mengenai bentuk sokongan yang boleh diberikan oleh DBP kepada pelbagai pihak.

Kesimpulannya, usaha giat ini perlu dilakukan demi memperkenalkan bahasa Melayu di mata dunia. Dengan cara ini, bahasa Melayu dapat dipromosikan pada peringkat global. Hal ini sangat bertepatan dengan teras Malaysia MADANI, iaitu hormat.

Hormat merupakan perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia. Menerusi usaha ini, akhirnya DBP bukan sekadar simbol bahasa Melayu, tetapi menjadi badan induk yang mengantarabangsakan bahasa Melayu dalam kerangka Malaysia MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.