Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada hari ini, 67 tahun yang lalu telah tertubuhnya sebuah badan yang dilahirkan dari rahim suatu sejarah bangsa. Nama badan yang dikenali awalnya sebagai Balai Pustaka itu menjadi salah satu tinta sejarah negara bangsa yang akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Namun sebelum lahirnya badan yang dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka ini, semuanya bermula dari sejarah perjuangan kebangsaan untuk menjadikan bahasa Melayu, iaitu bahasa yang telah menjadi bahasa pengucapan seluruh rakyat rantau ini khususnya sejak abad yang ke-15 dan umumnya sejak abad ke-7 Masihi.
Oleh itu, sebagai hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kepada sebuah negara yang merdeka, pada 12 April dan 13 April 1952, pertubuhan-pertubuhan bahasa dan persuratan di seluruh Tanah Melayu telah bersepakat mengadakan Persidangan Persuratan Melayu Sa-Malaya kali Pertama, yang kemudiannya dikenali sebagai Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Pertama.
Seterusnya, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Kedua pula berlangsung pada 1 Januari dan 2 Januari 1954 di Seremban, terus menjadi medan mendesak kerajaan pada waktu itu bahawa bahasa Melayu harus menjadi bahasa rasmi dan komunikasi dalam sebuah negara yang merdeka kelak.
Hasil daripada beberapa rundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedang menyusun agenda kemerdekaan daripada kerajaan Inggeris telah mengisytiharkan penubuhan Balai Pustaka pada 22 Jun 1956 yang dinaungi di bawah Kementerian Pelajaran.
Namun begitu, pada 21 September 1954 hasil daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3 yang berlangsung di Singapura dan Seremban dari 16 September hingga 21 September telah menetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah agensi kerajaan yang kelak akan bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
“Istiadat penutupan Kongres pula diadakan pada pukul 3 petang, 21 September 1956, bertempat di Dewan Istana Besar, Bukit Serene, Johor Bahru. Dalam istiadat ini, diadakan istiadat penyampaian kehormatan kongres kepada Zainal Abidin Ahmad (Zaʻba), dan Kongres menganugerahkan gelaran “Pendeta” dan memakaikan songkok kepada Zaʻba.
“Selanjutkan, setiausaha Kongres mengisytiharkan keputusan Kongres dan keputusan tersebut disampaikan oleh pengerusi Kongres kepada Yang Berhormat Menteri Pelajaran Tanah Melayu, iaitu Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Dalam ucapannya, Dato’ Abdul Razak mengisytiharkan bahawa nama Balai Pustaka dengan rasminya ditukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka”.
Bermula dari detik itu, DBP terus mengatur langkah yakin bagi mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka.
Setelah termaktubnya Akta Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Ogos 1959, peranan DBP semakin jelas dalam mengatur langkah terancang sebagai perancang bahasa di sebuah negara yang berdaulat.
“Suatu Akta untuk mendirikan dan menubuhkan suatu badan bernama Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan dalam Malaysia.”
Rentetan peristiwa penting tersebut, DBP terus melangkah dengan yakin dalam menyusun perancangan menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa negara sekali gus sebagai bahasa ilmu di Malaysia.
Selaras dengan falsafah “Pembinaan Negara Bangsa melalui Bahasa Melayu”, DBP sepanjang 67 tahun telah mencipta banyak sejarah penting dalam memartabatkan bahasa Melayu atau yang dikenali sebagai bahasa kebangsaan di sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.
Justeru, pada permulaan langkah, DBP telah menggunakan pendekatan “kenal dan cinta” terhadap bahasa kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Melalui kempen Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang sekali gus menjadi moto penubuhannya, DBP mulai mendekati hati masyarakat agar yakin dengan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi untuk menyatupadukan masyarakat yang kaya dengan budaya dan adat resam masing-masing.
Hal ini dapat dilihat dalam kempen 10 Rukun Bahasa Kebangsaan yang berikut (disesuaikan kembali kepada ejaan baharu):
Kempen ini berterusan sehingga pihak kerajaan mengumumkan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967. Namun begitu, rang undang-undang ini telah mencetuskan “Api dari Suatu Zaman” dan telah terjadi peristiwa sejarah penting kepada kesungguhan DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dalam semua ranah ilmu di Malaysia.
Peristiwa Perarakan “Keranda 152” itu telah menyedarkan pihak kerajaan tentang kesungguhan DBP dalam menjalankan amanah yang diberikan sebelum kemerdekaan negara.
Hasilnya, pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk menetapkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi yang tunggal seperti yang ditulis dalam Perlembagaan Fasal 152 melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak 1971).
Untuk membuktikan kesungguhan tersebut, DBP terus bertekad untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa negara dengan langkah yang lebih tersusun kemas melalui pendekatan pembinaan, pengembangan, dan penerbitan.
Hasrat kepada pendekatan tersebut adalah untuk menaik taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk dalam bidang sains dan teknologi yang ketika itu mula memperlihat potensi perkembangan ilmunya di seluruh dunia, apatah lagi setelah dunia tamat daripada Perang Dunia Kedua.
Untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, pembinaan korpus bahasa menjadi keutamaan DBP. Atas faktor tersebut, DBP sejak awal melihat peranan majalah sangat penting dalam menyebarluaskan pemikiran tentang kemajuan bahasa.
Oleh itu, seawal tahun 1957, DBP telah menerbitkan majalah pertama, iaitu Dewan Bahasa yang bercorak ilmiah mengenai bahasa dan sastera. Majalah ini menjadi suatu sejarah penting kerana sehingga kini, ia terus diterbitkan dengan penumpuan kepada perbincangan tentang isu dan perkembangan bahasa kebangsaan.
Selain itu, sebagai badan bahasa yang bertujuan untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa moden, DBP sejak awal penubuhan juga telah mewujudkan pelbagai jawatankuasa menyusun dan membina istilah, ejaan, tatabahasa dan laras bahasa yang baku atau standard di semua peringkat dan masyarakat.
Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu telah diwujudkan dengan bekerjasama dengan Panitia Pelaksanaan Bahasa Indonesia. Namun begitu, jawatankuasa ini tergendala apabila berlaku konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1966.
Carik-carik bulu ayam bercantum juga dan itulah yang dapat diibaratkan terhadap negara Malaysia dan Indonesia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara masing-masing. Akhirnya pada 16 Ogos 1972, terlaksana Sistem Ejaan Rumi Baharu yang digunakan dan dirujuk hingga kini di Malaysia.
Di Indonesia pula dikenali sebagai Sistem Ejaan Yang Disempurnakan. Usaha untuk menyatupadukan bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar kedua-dua negara Malaysia–Indonesia ini juga terus didayausahakan oleh DBP seperti yang telah dilaksanakan dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dengan tema “Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa pada 22 Mei-24 Mei 2022.
Untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, DBP turut menyusun kamus secara sistematik dan teratur sejak pertengahan tahun 1963. Hasilnya, edisi pertama kamus ekabahasa telah terbit pada tahun 1970 dengan jumlah entri kira-kira 30 000 kata. Kemudian, diikuti pula dengan edisi kedua pada tahun 1989 dan edisi ketiga pada tahun 1994, dan edisi keempat pada tahun 2005 dengan jumlah 82 900 entri atau kata masukan.
Keyakinan DBP bahawa bahasa Melayu setanding dengan bahasa dunia dan berkembang seiring dengan zaman telah terbukti apabila DBP berjaya menyempurnakan penyusunan Kamus Dewan Perdana (KDP) atau pada awalnya diberi nama Kamus Besar Bahasa Melayu Dewan yang telah dirancang seawal tahun 1990.
Dengan terbitnya KDP ini pada 1 Oktober 2020, DBP sekali lagi memperlihat taring kewibawaan dalam memajukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa negara. KDP merupakan kamus bahasa Melayu terbesar dan terlengkap yang mendokumentasikan penggunaan dan perkembangan bahasa Melayu mulai awal tahun 1900 hingga kini.
Selain itu, DBP juga telah menerbitkan kamus dwibahasa dan kamus glosari istilah sebagai tanda bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa dunia. Antara kamus dwibahasa yang diterbitkan oleh DBP termasuklah Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris–Bahasa Malaysia (1979), Kamus Perancis–Melayu (1996), Kamus Thai–Melayu Dewan (2008) dan beberapa lagi.
Kamus Istilah juga telah menjadi satu tugas yang mesti kepada DBP sebagai badan bahasa yang berwibawa dengan membina dan menerbitkan serta menyebarkan berjuta istilah yang mencakupi seluruh bidang ilmu yang wujud, antaranya dalam bidang budaya, sains, teknologi, perdagangan, pelaburan, politik, agama, seni, sosial, sukan, undang-undang, dan sebagainya.
DBP sebagai sebuah badan bahasa turut melakukan pelbagai kajian sejarah bahasa dengan menerbitkan pelbagai buku yang berkaitan dengan pensejarahan bahasa Melayu yang dikatakan telah wujud seawal abad ke-7 Masihi di bawah kerajaan Sriwijaya.
Namun begitu, yang penting DBP telah mencipta sejarah dalam pensejarahan bahasa kebangsaan apabila telah berjaya membangunkan enjin carian terbesar bahasa Melayu di Malaysia dan juga menjadi rujukan di seluruh dunia.
Enjin carian yang dinamakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau dikenali sebagai PRPM itu semasa tulisan ini ditulis, menduduki tempat keempat sebagai laman web kerajaan yang sering dirujuk oleh rakyat di Malaysia, juga di seluruh dunia sebagai enjin carian berbahasa Melayu yang sahih dan dipercayai.
Begitulah DBP terus melangkah maju dengan peredaran zaman yang sentiasa mencabar dan meminta perubahan segera. DBP yang sentiasa menjadi perhatian rakyat Malaysia dalam melihat potensi bahasa kebangsaan dalam kedudukan yang terbaik, khususnya daripada para aktivis dan perjuang bahasa, telah menjadikan DBP sentiasa peka akan perancangan dan kegiatan kebahasaannya.
Hal ini dapat dilihat melalui kempen-kempan bahasa dengan tujuan utamanya untuk memupukkan rasa kecintaan dan kesedaran masyarakat terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan perpaduan di Malaysia.
Dimulai dengan Kempen Minggu Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960, yang kemudian diganti dengan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 1966. Seterusnya, pada tahun 1987 dengan Kempen Gerakan Cintailah Bahasa Kita. Sekali lagi kempen itu dijenamakan dengan Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang diadakan bermula pada setiap bulan September dari tahun 1999. Kemudian, sekali lagi kempen bahasa kebangsaan bertukar nama kepada Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 2009. Kini bermula pada tahun 2019 dengan nama Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan atau DBK.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, begitulah yang boleh diibaratkan kepada dunia dan DBP, khususnya apabila di seluruh dunia bermula pada awal tahun 2020 telah dilanda serangan COVID-19 yang secara umumnya merencatkan serba sedikit kerancakan aktiviti pembinaan dan pengembangan kebahasaan di DBP. Namun begitu, DBP yang sentiasa bersedia dengan kemungkinan turut beradaptasi segera dengan pengembangan teknologi semasa khususnya dalam ledakan teknologi dalam era Revolusi 4.0.
Oleh itu, DBP dengan cekap telah melihat potensi perubahan teknologi dan juga kehendak masyarakat bahasa kepada perubahan dunia digital yang lebih cepat dan mengikut arus peristiwa semasa. Oleh itu, DBP telah melangkah maju dengan mencipta nama dalam sejarah kebahasaan sekali lagi apabila pada tahun 2021, DBP telah berjaya mewujudkan JendelaDBP, iaitu sebuah pelantar penerbitan digital yang bertujuan untuk menyebarluaskan aktiviti dan produk bahasa, sastera dan persuratan di seluruh dunia.
Begitulah DBP, nama yang wujud dari suatu sejarah perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan ilmu dalam sebuah negara yang merdeka telah mencipta banyak sejarah penting untuk dibanggakan. Namun begitu, sebagai sebuah badan kerajaan yang lahir daripada suara rakyat, DBP akan terus mempertahan keyakinan bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu merupakan satu daripada agenda kebangsaan yang harus terus disokong oleh semua pihak bagi kerajaan yang memerintah, mahupun rakyat Malaysia yang cinta akan perpaduan serta mempunyai satu keyakinan untuk terus maju bersama-sama dengan nilai kebangsaan yang teradun kemas dalam falsafah Rukun Negara.
Dirgahayu DBP!
Dirgahayu Bahasa Jiwa Bangsa!