22 Jun 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu lahir sejak ribuan tahun dahulu bersama-sama kelahiran etnik yang menuturkannya sehingga berkembang sebagai bahasa pemerintah yang menguasai Alam Melayu yang mencipta ketamadunan semasa selewat-lewatnya sejak kurun ke-7 Masihi. Faktor yang menjadikan pemerintah yang menguasai Alam Melayu daripada etnik Melayu serta berbahasa Melayu pastinya mempunyai sejarah dan keistimewaan tersendiri. Oleh itu, aspek sejarah dan sosiobudaya berkait rapat dengan usaha pemerkasaan bahasa Melayu terutama oleh Dewan bahasa dan Pustaka (DBP).

Etnik, menurut Smith (1986), Horowitz (1985), Anderson (1991) dan Kellas (1991) bermaksud kumpulan manusia yang diklasifikasikan mengikut keturunan, kebudayaan, kepercayaan, bahasa, ras, puak, tradisi, adat resam, simbol dan asal usul. Asal usul itu termasuklah tempat, sejarah dan kebudayaan suatu etnik itu secara amnya.

Kurun ke-7 Masihi ialah tanda zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Tua Sriwijaya, yang merupakan penguasa tunggal bagi 15 wilayah jajahan takluk yang dicatatkan Chao Ju-Kua (Hirth & Rockhill, 1911) yang meliputi Pa-lin-fong (Palembang), Kien-pi (Jambi), Lan-wu-li (Lamuri) di Acheh, Sin-t’o (Sunda), Tambralinga (Ligor atau Nakhon Si Thammarat) di Selatan Siam, Si-lan (Kemboja), Pong-fong (Pahang), Tong-ya-nong (Terengganu), Ling-ya-si-kit (Langkasuka), Kilan-tan (Kelantan), Fo-lo-an (Kuala Berang), Ji-lo-t’Ing (Cherating), Tsi’ien-mai (Semawe) di Semenanjung Tanah Melayu, Pa-t’a (Sungai Paka) dan Kia-lo (Graha atau Krabi) di utara Semenanjung Tanah Melayu.

Perbezaan antara kumpulan etnik daripada istilah bangsa adalah kerana kumpulan etnik sukar berubah kerana asasnya pada darah keturunan (deoxyribonucleic acid atau DNA). Sebaliknya, bangsa diasaskan pada kewarganegaraan. Maksud bangsa (nation) dan kebangsaan (nationality) lebih mudah difahami jika merujuk istilah warganegara (citizen) dan kewarganegaraan (citizenship) pada hari ini, iaitu dalam kerangka sains politik.

Sebelum wujudnya istilah bangsa dan warganegara, terminologi sepadan yang boleh dirujuk ialah umat nabi dan rakyat raja kerana tidak membataskan anggota komunitinya pada etnik tertentu di bawah pemerintahan dan kepimpinannya. Kepimpinan tertinggi bagi kumpulan etnik pada zaman dahulu terletak kepada ketua masing-masing yang mendiami kawasan tertentu tanpa wilayah yang tetap. Dalam kalangan nabi, terdapat pemerintah seperti Nabi Ibrahim (AS), Nabi Sulaiman (AS), Nabi Daud (AS), dan Nabi Muhammad (SAW), begitu juga gelaran raja yang diberikan kepada pemerintah bagi pengikut masing-masing. Dalam lingkungan mereka terbentuk sistem pemerintahan tersendiri.

Riggs (1985) dan Kellas (1991) menjelaskan bahawa bangsa merupakan suatu entiti yang dibina oleh anggota komuniti yang merasakan ikatan kepada unsur objektif dan subjektif. Unsur objektif itu terdiri daripada segala unsur yang membentuk sebuah negara atau negeri sebagai organisasi pemerintahan yang sah, memiliki wilayah politik, rakyat yang mendukung sistem pemerintahannya, undang-undang, dan badan pelaksanaan serta penguatkuasaan undang-undang.

Bagi unsur subjektif pula terdiri daripada kesedaran dan kecintaan yang mendalam terhadap unsur objektif negara itu dengan sepenuh jiwa raga sehingga sanggup meletakkan kepentingan negaranya di atas kepentingan lain, malah bersedia untuk berkorban nyawa demi memelihara unsur tersebut. Perasaan sebegitu disifatkan oleh Riggs (1985) sebagai nasionalisme, dan dengan perasaan tersebut maka terbinalah negara-bangsa.

Bahasa seperti yang dinyatakan merupakan unsur kepada etnik dan terus menjadi faktor penting dalam pembinaan negara bangsa apabila bahasa tersebut juga bahasa pemerintah bangsa itu. Kedudukannya sebagai bahasa pemerintah dengan sendirinya mempengaruhi adat dalam masyarakat dan negara kerana bahasa merupakan alat komunikasi terpenting.

Suatu adat tidak mungkin terbentuk tanpa difahami oleh ahli etnik serta kumpulan etnik yang hidup bermasyarakat dan bernegara. Bahasa itu sendiri merupakan simbol ketamadunan. Tidak semua bangsa di dunia pada hari ini mempunyai bahasa sendiri, termasuklah kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

Sementara itu, adat secara harfiah bermaksud kebiasaan dan kelaziman. Secara istilahnya, adat itu termasuklah suatu yang diabsahkan oleh sesebuah kerajaan serta diterima dalam masyarakat yang terdiri daripada kumpulan etnik sama ada sebagai undang-undang, peraturan, tertib, kaedah, tatacara, amalan, nilai, ataupun kefahaman tentang suatu perkara dan istilah bahasa.

Kedudukan sesuatu perkara di sisi adat berbeza mengikut sifat dan jenisnya. Adat juga menunjukkan kelaziman suatu perkara termasuklah hukum alam. Elemen kebiasaan, kelaziman dan amalan dalam takrifan adat itu kini dikembangkan dalam pelbagai disiplin ilmu atau sains mengikut sifat, jenis dan keperluan serta diberikan identifikasi mengikut ilmu alam, sosial dan kemanusiaan pada hari ini.

Mereka yang celik sejarah akan berasa kagum dengan kegemilangan yang telah dicapai oleh bangsa Melayu yang merupakan rakyat Raja Melayu yang terdiri daripada kumpulan etnik yang mendiami Alam Melayu, iaitu wilayah kekuasaan Raja Melayu. Wilayah kekuasaan Raja Melayu tidak hanya di darat, bahkan meliputi lautan yang terbentang luas kerana Kerajaan Melayu Tua juga merupakan penguasa maritim dan perdagangan sehingga terbentuknya Laut Melayu yang merentasi 15 jajahan takluk yang dikuasai oleh Kerajaan Melayu Tua Sriwijaya.

Kedudukan bahasa Melayu bertulisan Jawi yang mencapai puncak kegemilangannya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 sebagai lingua franca meletakkannya sebagai antara bahasa utama dunia dan perakam khazanah ilmu yang tidak hanya terbatas dalam pengajian politik, ekonomi, teknologi maritim dan pengurusan logistik.

Bahasa Melayu yang bukan sahaja menyimpan khazanah bangsa Melayu yang berdaulat, malah rekod komunikasi antara negara dan benua pastinya menjadi rujukan bangsa asing khususnya sarjana Barat untuk membina tamadun moden dunia yang ada pada hari ini. Kuasa Barat yang bermula dengan Portugis seawal kurun ke-16 mula memunggah khazanah tersebut dari Kota Pelabuhan Melaka bersama-sama harta kekayaan lain Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah membuktikan bahawa kuasa Barat hanya mampu bangkit apabila mereka menggali ilmu di dunia Islam melalui penguasaan bahasa Arab dan perkara yang sama berlaku melalui penguasaan bahasa Melayu.

Asas yang dinyatakan di atas menunjukkan betapa pentingnya bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang merupakan bahasa  dan tulisan pemerintah Raja-Raja Melayu zaman-berzaman serta rakyat baginda. Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa watan di Alam Melayu yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan terletak dalam pengecualian yang dibenarkan oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tadbir urus aspek diskriminasi. Pemartabatan amalan (polisi) bahasa Melayu yang menjadi agenda perjuangan DBP bukanlah bersifat satu pemaksaan bagi pengembangan pengaruhnya dalam sosiobudaya mahupun sistem perundangan tempatan negara. Bahasa Melayu adalah warisan keagungan bangsa yang merupakan jati diri watan Malaysia kerana negara ini terletak dalam wilayah Alam Melayu dan kekal berajakan kesultanan Melayu.

Amalan (polisi) bahasa Melayu perlu dikembalikan ke kedudukannya seperti zaman sebelum campur tangan British dalam hal ehwal negeri di Malaysia. Penggunaannya dari segenap aspek juga perlu dipertingkat untuk memenuhi keperluan semasa dan akan datang termasuklah pengajian tulisan Jawi lama.  Tidak wajar ada sikap tidak acuh kepada amalan berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri tersebut yang terletak di Borneo juga di dalam wilayah Alam Melayu sejak ribuan tahun dahulu lagi.

Fungsi DBP yang diberikan menurut Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995), perlu diperkasakan dengan beberapa pindaan yang sudah pun dibawa kepada pertimbangan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang dimaklumkan oleh mantan Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.

Kuasa yang diberikan oleh perenggan (b) Perkara 152(1) kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memelihara penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain pastinya perlu dibaca bersama dengan semangat sumpah kewarganegaraan dalam Jadual Pertama Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana hanya bahasa Melayu dapat memupuk jiwa bangsa Malaysia yang dituntut bersama-sama sejarah tempatannya. Untuk menjelaskan lagi kedudukan tersebut, petikan Sumpah Kewarganegaraan dikemukakan untuk renungan bersama seperti yang berikut:

JADUAL PERTAMA

[Perkara 18(1), 19(9)]

Sumpah Pemohon bagi Pendaftaran atau Penaturalisasian

 

Saya…………………………………………………..beralamat di ………………………. dengan ini mengaku atas sumpah bahawa saya dengan sesungguhnya dan sepenuhnya menolak dan bersumpah meluputkan segala kesetiaan saya kepada mana-mana negeri atau Negara di luar Persekutuan, dan saya bersumpah bahawa saya akan jujur dan menumpahkan segala taat setia saya yang sebenar kepada Seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan akan menjadi seorang warganegara Persekutuan yang sebenar, setia dan jujur 

 

Walaupun sumpah tersebut disyaratkan buat mereka yang memohon kewarganegaraan Malaysia, seseorang yang menjadi warganegara melalui kelahiran dan keturunan semestinya lebih menjiwai prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan watan negara ini. Hal ini adalah kerana mereka lahir di bumi Malaysia dan tidak pernah mempunyai kewarganegaraan lain selain Malaysia.

Oleh itu, kerajaan disarankan untuk menggubal pindaan undang-undang berkenaan untuk menjadikan DBP sebagai pihak berkuasa bahasa utama selepas Yang di-Pertuan Agong. DBP juga perlu diberi kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan dari aspek bidang kuasanya selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada agensi kerajaan yang lain seumpamanya.

Sementara itu, DBP perlu lebih proaktif untuk melaksanakan aktiviti penerbitan semula istilah lama Melayu yang ada agar tidak pupus khususnya yang boleh membantu takrifan perundangan di samping melaksanakan penterjemahan dan pengistilahan baharu agar keperluan dalam pelbagai disiplin ilmu dapat dipenuhi.

Lantaran itu, pindaan untuk memperkasakan fungsi DBP serta amalan bahasa kebangsaan pada kedudukan yang sewajarnya perlu dilakukan khususnya ke atas Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 tanpa berlengah lagi.

 

Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain −  Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia/Pengasas Jurisprudens Watan

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.