22 Jun 2023, 20:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Selepas filem Isi Neraka terbitan Malay Film Productions, Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1960 dan Lebuhraya ke Neraka (2017), rasa-rasanya tiada lagi filem Melayu yang menggunakan perkataan “neraka” untuk judulnya. Mungkin hal ini disebabkan oleh tidak banyak karyawan filem Melayu negara ini yang berani menggunakan judul yang kasar dan keras bahasanya. Sebaliknya, yang kian ketara sejak beberapa tahun belakangan ini ialah penggunaan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris, atau bahasa rojak untuk tajuk filem.

Namun begitu, kini sebuah filem baharu yang berjudul Jemputan ke Neraka akan memulakan tayangan umumnya di 70 buah pawagam tanah air mulai hari ini. Filem ini diterbitkan oleh pelakon, Naszriah Ngasri, atau lebih mesra dengan panggilan Anne, yang merupakan filem pertama syarikatnya, iaitu AN Universal Sdn. Bhd.

Jemputan ke Neraka merupakan filem arahan pengarah filem muda, iaitu Amor Rizan yang pernah mengarah drama rantaian televisyen seperti Misteri Mona dan Kembali yang Hilang.

Filem ini dibintangi oleh Janna Nick, Hafreez Adam, Sharifah Sakinah, Nick Syaf, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Jasper Supayah, Alif Hadi, Wafariena Roslan, Aleza Shadan, dan Azhar Amir.

Menurut Anne, 39, judul filem ini memang dianggap agak kasar tetapi hal itu tidak menjadi masalah kerana Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah memberikan kelulusan tayangan di pawagam.

Filem Jemputan ke Neraka sangat unik kerana karyawan filem Melayu negara kita tidak berani menggunakan judul sebegini. Kebanyakan karyawan filem Indonesia sahaja yang berani. Sejujurnya, saya tertarik dengan filem ini kerana judul yang diberikan oleh Amor.

Memang seelok-eloknya dan seboleh mungkin judul filem Melayu di negara ini menggunakan bahasa Melayu. Alasan penggunaan bahasa Inggeris (bahasa asing) atau bahasa rojak dalam filem lebih sesuai tidak boleh diterima. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat wajar dihormati oleh semua pihak.

Yang menariknya, tiada adegan dalam filem ini dipotong oleh LPF kerana Anne memberitahu pihaknya memang berwaspada agar filem ini sesuai dengan penonton Malaysia. Amor sendiri sebagai penulis lakon layar juga sentiasa berhati-hati. Filem Jemputan ke Neraka ini menelan kos pembiayaan lebih RM1 juta.

 

Pengantin baharu, Janna Nick memegang watak utama, Ivy.
Amor Rizan, pengarah dan penulis lakon layar Jemputan ke Neraka.
Majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media filem arahan Amor Rizan pada 19 Jun lalu.
Sharifah Sakinah membawa watak Rania yang berbeza daripada watak lakonannya dalam filem terdahulu.
Nasreen @ Darling Ngasri selaku Penerbit Eksekutif filem Jemputan ke Neraka.
Gimik filem Jemputan ke Neraka.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.