1 Julai 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa ialah alat yang terbukti mampu menjadi tali yang menghubungkan dan menyatupadukan masyarakat. Satu bahasa yang sama yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan mampu merapatkan jurang antara rakyat kerana dapat difahami dan dikongsi secara bersama. Oleh itu, bahasa merupakan jati diri yang penting untuk membentuk perpaduan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, bahasa kebangsaan bukan sekadar lambang semata-mata, tetapi mewakili roh dan jiwa bangsanya.

Pemilihan bahasa kebangsaan perlu dilakukan sebaik-baik mungkin untuk mengelakkan hal yang tidak diingini pada masa hadapan. Menurut Jeniri Amir dalam buku Suara dari Bawah, 40 buah negara di Afrika, Asia dan Amerika Selatan telah mengalami masalah pembangunan bangsa, seperti tidak maju dan miskin kerana memilih bahasa asing dan bukannya bahasa peribumi sendiri sebagai bahasa kebangsaan.

Di Malaysia, bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, bahasa Melayu mempunyai penutur yang terbesar di Tanah Melayu pada ketika itu. Kedua, bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat pribumi. Ketiga, bahasa Melayu diakui sebagai alat komunikasi utama di seluruh Tanah Melayu. Keempat, bahasa Melayu telah lama digunakan sebagai bahasa pentadbiran sebelum Tanah Melayu dijajah.

Pada zaman dahulu, segala surat rasmi dan dokumen perjanjian di Tanah Melayu ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Bukan itu sahaja, dokumen lain, seperti Undang-undang Tubuh Negeri-Negeri Melayu juga menggunakan bahasa Melayu.

Pedagang yang datang ke Tanah Melayu juga berhempas-pulas untuk mempelajari bahasa Melayu bagi memudahkan komunikasi dengan masyarakat setempat, selain urusan dengan pemimpin tempatan semasa berdagang di Tanah Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling layak diangkat sebagai bahasa kebangsaan kerana pengunaannya yang mencapai tahap tertinggi dan digunakan secara meluas sehingga peringkat antarabangsa pada masa dahulu.

Kini, Malaysia masih bergelut untuk membentuk negara bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana kunci utama pembentukan negara bangsa ialah penerimaan dan perakuan bahasa kebangsaan sebagai identiti dan milik setiap penduduk tanpa mengambil kira kaum.

Di Malaysia, kaum lain masih tidak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa dan identiti mereka. Hal ini terbukti menerusi tuntutan pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) yang menggunakan bahasa Cina sepenuhnya dalam proses pelajaran dan pembelajarannya.

Selain itu, kebanyakan pelajar bukan Melayu juga tidak bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa kebangsaan, sebaliknya hanya menghafalnya untuk lulus peperiksaan. Hal ini menyebabkan terdapat pelajar yang bukan sahaja tidak fasih berbahasa kebangsaan, malah tidak memahami maklumat yang ingin disampaikan dalam bahasa tersebut. Buktinya, banyak kes pertuduhuan di mahkamah yang dibacakan dalam bahasa Melayu yang tidak difahami oleh golongan tersebut.

Sebenarnya, pelbagai langkah dan strategi telah diatur untuk membolehkan bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan ini mampu berfungsi sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu. Contohnya, menurut Paul L Garvin dalam kajian Rozita Che Rodi dan Hashim Musa yang bertajuk “Bahasa Kebangsaan sebagai Penggerak Pembangunan Negara secara Ekuitabel ke Arah Negara Maju”, perancangan bahasa sesebuah negara sangat penting dan seharusnya mempunyai beberapa ciri yang bertujuan untuk memenuhi dua fungsi utama, iaitu fungsi simbolik dan fungsi partisipatori.

Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia, pelaksanaannya dilihat kurang berkesan kerana kecurigaan, kebencian dan penolakan kaum lain terhadap bahasa ini. Oleh itu, peranan bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan kaum terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006–2010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui teras kedua pelan ini, iaitu membina negara bangsa, bahasa merupakan elemen yang amat dominan untuk menterjemahkan hasrat kerajaan, iaitu membina negara bangsa.

Namun begitu, fungsi bahasa melayu untuk menyatupadukan masyarakat melalui pendidikan sukar dilaksanakan. Hal ini berlaku demikian kerana kewujudan sistem pendidikan dua aliran, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Bukan itu sahaja, bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan juga digugat fungsinya disebabkan oleh perubahan dasar bahasa pada peringkat institusi pengajian tinggi seperti yang diakui oleh Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia pada tahun 2006.

Kini, bahasa Inggeris pula yang dilihat seolah-olah yang mengambil peranan dan berfungsi sebagai fungsi simbolik dan fungsi partipasi dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diluaskan peranannya untuk memastikan fungsinya sebagai alat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia berjaya dilaksanakan. Setiap rakyat, tanpa mengira kaum harus menjulang bahasa tersebut sebagai milik dan identiti masing-masing seperti yang dititahkan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Nazrin Shah, iaitu “Menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak bermakna menidakkan hak penggunaaan bahasa lain kerana negara ini memperlihatkan amalan dasar pendidikan yang semakin liberal”.

Namun begitu, kaum lain dilihat sentiasa berasa tidak selamat dan menentang dasar yang memberikan kelebihan kepada satu-satu kaum sahaja. Dalam hal ini, Mohamed Mustafa Ishak dalam buku Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Pelbagai Etnik menyatakan bahawa masyarakat bukan Melayu secara prinsipnya menolak identiti nasional yang berasaskan pengaruh dominan satu etnik, sebaliknya lebih cenderung kepada upaya pembinaan simbol bangsa berasaskan kepelbagaian.

Kesimpulannya, bahasa Melayu wajar diangkat martabatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan agar mampu menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.

Anasir tidak sihat yang menghalang pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan perlu ditangani secara berhemah. Pertentangan sudut pandang masyarakat bukan Melayu terhadap Dasar Bahasa Kebangsan antara faktor yang menyebabkan bahasa kebangsaan dilihat gagal berfungsi sebagai bahasa yang mampu menyatukan masyarakat. Tindakan dan langkah yang proaktif perlu dicari dan dilaksanakan jika Malaysia masih berhasrat untuk membentuk negara bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.