1 Julai 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Trend guru Bahasa Melayu memohon bersara lebih awal bukanlah suatu perkara baharu untuk dibincangkan. Namun demikian, sekiranya terus dibungkamkan dan dipandang secara remeh, isu ini mampu memberikan implikasi besar terhadap institusi pendidikan Malaysia, ibarat kudis menjadi tokak, iaitu perkara yang kecil jika dibiarkan akan menjadi besar.

Perkara ini dikesani semakin menjalar selepas berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menekankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Berdasarkan sumber Kementerian Pendidikan, sebanyak 2862 pegawai perkhidmatan pendidikan dari tahun 2021 hingga tahun 2022 yang mengajar subjek tersebut telah memohon persaraan awal.

Isu ini turut diketengahkan oleh Berita Harian dengan tajuk “Guru Bahasa Melayu, Inggeris paling ramai mohon bersara awal” pada 13 Jun 2023 (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1113679/guru-bahasa-melayu-inggeris-paling-ramai-mohon-bersara-awal) merupakan perkara yang perlu dirungsingkan bersama-sama kerana situasi ini akan mampu membantutkan pengetahuan dan kemahiran pelajar terhadap bahasa Melayu.

Isu ini terkait dengan beberapa faktor yang lazim berlaku. Antaranya, bebanan kerja Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menuntut guru Bahasa Melayu menguasai ilmu teknologi selari dengan keperluan semasa yang menimbulkan rasa tidak selesa atau tidak terbiasa untuk mengadaptasikannya selain lambakan kerja bukan akademik yang mengharuskan penglibatan terhadap aktiviti luar bilik darjah seperti aktiviti pentadbiran, aktiviti kokurikulum dan pembangunan guru, serta mengurus kebajikan murid yang memberikan tekanan kerja tambahan kepada guru Bahasa Melayu kerana terpaksa mengadun masa dan tenaga yang boleh membawa kepada kelelahan mental dan fizikal.

Perubahan landskap pendidikan yang melibatkan sistem, kurikulum dan kaedah pengajaran menjadi penyumbang kepada berlakunya situasi tersebut. Perubahan ini juga memberikan tempias kepada motivasi dan kepuasan diri guru Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi kepada guru-guru yang berpengalaman dan selesa dengan landskap pendidikan sedia ada. Sekiranya, landskap pendidikan yang dibentangkan tidak signifikan dan melebihi kemampuan untuk memberikan sumbangan, maka tidak mustahil kelompok ini memilih untuk bersara awal.

Faktor pengendalian kesihatan juga adalah faktor penting yang mempengaruhi guru Bahasa Melayu mengambil keputusan untuk bersara awal. Gangguan kesihatan menyebabkan guru Bahasa Melayu melalui saat sukar untuk terus istiqamah dalam meneruskan tugas pengajaran dan berinteraksi dengan pelajar dan rakan sejawat.

Lazimnya, rakan sebaya sentiasa menjadi antara pempengaruh besar dalam membuat keputusan. Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengaruh rakan sejawat yang telah berpencen juga memainkan peranan yang penting. Antara dialog yang biasa didengari apabila ditanyakan tentang “pasca bersara” itu ialah “Seronok, dapat buat apa-apa yang kita nak” dan “Beginilah hidup orang bersara, hidup bebas”.

Dialog sebegini bukanlah memberikan perspektif negatif kepada orang yang telah bersara tetapi hanyalah semata-mata menzahirkan perasaan yang mereka alami. Dengan hidup yang lebih santai itu berkemungkinan memberikan inspirasi kepada guru Bahasa Melayu untuk mengambil keputusan yang sama.

Selain itu, terdapat peluang pengalaman yang ditawarkan kepada guru Bahasa Melayu untuk mengajar di luar negara dan ada kalanya juga guru Bahasa Melayu mendapat peluang di luar bidang pendidikan seperti dalam sektor penulisan, penerbitan, keusahawanan dan kesukarelawan yang memberikan suatu kepuasan perbezaan dengan pekerjaan semasa, lalu mengejar jalur dan mengeksplorasikan profesion tersebut. Justeru itu, faktor atas alasan mencari pengalaman baharu dan tarikan minat menjadi pemberat kepada keputusan untuk bersara lebih awal.

Pengunduran guru Bahasa Melayu yang berpengalaman akan melebarkan jurang kepincangan literasi dalam kalangan pelajar yang dibimbangi berlanjutan hingga ke universiti. Peribahasa “Patah tumbuh, hilang berganti” memang mudah dilafazkan tetapi tidak dalam hal ini.

Hal ini kerana demikian bagi melahirkan guru-guru yang menguasai bahasa Melayu dan berpengalaman memerlukan tempoh masa yang lama. Sementelah guru berpengalaman ini mahir dalam selok-belok pedagogi dan mampu mendidik pelajar tentang aspek cakna bahasa.

Adalah menjadi suatu kerugian kepada sistem pendidikan negara kerana golongan ini secara hakikatnya masih lagi produktif dalam menyumbang idea dan tenaga. Segelintir masyarakat berpendapat bahawa pengambilan guru baharu dilihat sebagai satu alternatif menyelesaikan isu ini.

Penulis bersetuju tentang hal ini, namun begitu pelapis muda ini masih rapuh dan memerlukan tunjuk ajar daripada guru senior selain perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan sistem dan membina kecekapan dalam PdP. Kekurangan guru Bahasa Melayu yang berkualiti akan turut mempengaruhi kualiti pengajaran dan pembelajaran subjek ini di sekolah-sekolah.

Sebagai penyelesaiannya, konsep mentor menti perlu dipraktikkan. Konsep ini berfokuskan pembangunan dan pengembangan kompetensi profesion keguruan bagi guru muda atau pelapis sebagai mentee yang mendapat bimbingan pengetahuan dan kemahiran daripada guru Bahasa Melayu berpengalaman yang dilantik sebagai mentor untuk membentuk kemenjadian guru yang efektif.

Perkara ini secara langsung akan dapat meningkatkan profesionalisme guru muda dalam bidang pengajaran khususnya dalam merancang pengajaran, mengurus hal ehwal bilik darjah dan bersedia mengalas pelan penggantian tersebut.

Sebagai tambahan, pihak sekolah boleh berkolaborasi dengan universiti pendidikan untuk membantu dalam meningkatkan pengetahuan dan keterampilan guru Bahasa Melayu dalam berhadapan dengan para pelajar.

Satu lagi solusi yang boleh diambil ialah melantik atau mengundang pengajar pelawat yang dipersetujui dalam suatu jangka masa yang ditetapkan untuk berkongsi idea baharu bagi melihat kekuatan dan kelemahan yang perlu dikemaskan selain memberikan teknik khusus kepada guru Bahasa Melayu bagi menajamkan lagi kepelbagaian gaya pengajaran dan pembelajaran yang digunakan.

Guru-guru muda ini sudah semestinya bersemangat kerana mendapat tambahan ilmu dari sudut pandangan lain demi pengembangan kerjaya dan penyampaian yang berkesan. Keberhasilan daripada kehadiran pengajar pelawat ini akan mencambahkan pengetahuan sedia ada dan guru-guru dapat mengakses ilmu dari luar “kepompongnya”.

Pihak berwenang juga perlu mengambil tahu punca trend guru Bahasa Melayu yang mengambil keputusan untuk bersara lebih awal. Tidak dinafikan, guru-guru tersebut mempunyai hak untuk berbuat sedemikian, namun pihak berwenang perlu cekap dalam menyelesaikan isu ini dengan melakukan pemantauan yang kerap ke sekolah untuk melihat sendiri permasalahan yang timbul.

Suatu cadangan lain yang boleh diambil peduli ialah pihak berwenang boleh mengaturkan perpindahan guru Bahasa Melayu ke sekolah lain bagi mengurangkan kepincangan pengagihan guru-guru terutamanya sekolah yang kekurangan guru mata pelajaran Bahasa Melayu.

Timbal balik ilmu dan pengalaman pengajaran daripada guru-guru tersebut akan dapat dikongsikan dan dapat memantapkan lagi kaedah pengajaran guru di sekolah berkenaan. Namun begitu, perlu juga difikirkan insentif yang sesuai bagi guru Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi yang ditempatkan di luar bandar.

Walau bagaimanapun, sekiranya pihak berwenang dan pemegang taruh yang terlibat sudah menyediakan persekitaran yang kondusif dan terbaik buat guru bahasa Melayu, namun jika mereka ingin juga bersara awal maka jari telunjuk tidak sepatutnya hanya ditujukan kepada pihak berwenang sahaja.

Dalam hal ini, tumpuan utama perlu kembali semula kepada prinsip asal pendidik, iaitu ingin melahirkan generasi bijak pandai, berintegriti dan mempunyai kualiti insan serta gah dalam melestarikan bahasa Melayu.

Semoga trend ini mendapat jalan penyelesaian terbaik agar negara tidak ketandusan legasi guru Bahasa Melayu sekiranya guru senior mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.