Oleh Kho Thong Eng
4 Julai 2023, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Objek ialah kata nama, frasa nama atau klausa komplemen yang menyusuli kata kerja transitif. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia melipat kain.

1b.  Dia menolong kawan baiknya.

1c.  Saya menyedari bahawa adik saya bersalah.

(Pelaku + kata kerja ekatransitif + objek langsung/tepat)

 

Dalam ayat 1a, kata nama kain ialah objek kepada kata kerja transitif melipat. Dalam ayat 1b, frasa nama kawan baiknya ialah objek kepada kata kerja transitif menolong. Dalam ayat 1c, klausa komplemen bahawa adik saya bersalah ialah objek kepada kata kerja transitif menyedari. Oleh sebab semua objek dalam kelompok ayat 1 merupakan benda, perkara atau orang yang menerima kesan tindakan secara langsung daripada kata transitif yang berkenaan, objek tersebut disebut objek langsung (direct objek) atau objek tepat.

Untuk menentukan objek langsung/tepat pada ayat 1a, kita boleh bertanya soalan Apakah yang dilipatnya? Bagi ayat 1b, kita boleh bertanya soalan Siapakah yang ditolongnya? Bagi ayat 1c, kita boleh bertanya soalan Apakah yang disedarinya?  

Selain objek langsung atau objek tepat yang dikenakan kesan tindakan secara langsung oleh kata kerja transitif, ada objek tak langsung (indirect object) atau objek sipi yang merupakan orang atau pihak yang menerima objek langsung/tepat. Hal ini berkaitan dengan kata kerja dwitransitif yang diikuti oleh dua objek, iaitu objek langsung/tepat dan objek tak langsung/sipi. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia menghadiahkan buku itu kepada adiknya.

(pelaku + KK ekatransitif + objek tepat + frasa keterangan)

 

2b.  Dia menghadiahi adiknya buku itu.

(pelaku + KK dwitransitif + objek tak langsung/sipi + objek langsung/tepat)

 

Dalam ayat 2a, kata kerja ekatransitif menghadiahkan diikuti objek langsung/tepat buku itu dan frasa sendi nama kepada adiknya sebagai frasa keterangan. Hal ini dikatakan demikian kerana buku itu ialah objek yang berkaitan terus dengan kata kerja menghadiahkan. Dalam ayat 2b pula, kata kerja dwitransitif menghadiahi diikuti objek tak langsung/sipi adiknya yang merupakan penerima buku itu dan objek langsung/tepat buku itu. Untuk mengenal objek tak langsung/sipi dalam ayat 2b, kita boleh bertanya soalan, Siapakah yang dihadiahi buku itu? atau Kepada siapakah buku itu dihadiahkan?  

3a.  Dia memasak gulai itu untuk ibunya.

(pelaku + KK ekatransitif + objek tepat + frasa keterangan)

 

3b.  Dia memasakkan ibunya gulai itu.

(pelaku + KK dwitransitif + objek tak langsung/sipi + objek langsung/tepat)

 

Dalam ayat 3a, kata kerja ekatransitif memasak diikuti objek langsung/tepat gulai itu dan frasa sendi nama untuk ibunya sebagai frasa keterangan. Hal ini dikatakan demikian kerana gulai itu ialah objek yang berkaitan terus dengan kata kerja memasak. Dalam ayat 3b pula, kata kerja dwitransitif memasakkan diikuti objek tak langsung/sipi ibunya yang merupakan pihak yang diberi gulai itu dan objek langsung/tepat gulai itu. Untuk mengenal objek tak langsung/sipi dalam ayat 3b, kita boleh bertanya soalan Siapakah yang dimasakkan gulai itu? atau Untuk siapakah gulai itu dimasak?  

Ayat ekatransitif dengan objek langsung/tepat dapat dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Kain dilipat (oleh)nya.

4b.  Kawan baiknya ditolong (oleh)nya.

(objek tepat + KK pasif + ((oleh)) + pelaku)

 

4c.  Bahawa adik saya bersalah saya sedari.

(objek tepat + pelaku + KK pasif tanpa awalan di-)

 

Dalam kelompok ayat pasif 4, objek langsung/tepat kain, kawan baiknya dan bahawa adik saya bersalah dikedepankan sebagai subjek terbitan ayat pasif. Dalam hal ini, ayat 4a dan 4b ialah ayat pasif jati dengan imbuhan pasif di-, manakala ayat 4c ialah ayat pasif semu mengikuti hukum aneksi persona.

Ayat dwitransitif boleh juga dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Adiknya dihadiahi buku itu olehnya.

5b.  Adik saya dihadiahi buku itu oleh saya.

 

6a.  Ibunya dimasakkan gulai olehnya.

6b.  Ibu saya dimasakkan gulai oleh saya.

(objek tak langsung/sipi + KK pasif + objek langsung/tepat + oleh + pelaku)

 

Dalam kelompok ayat pasif jati 5, objek tak langsung/sipi adiknya atau adik saya dikedepankan sebagai subjek terbitan diikuti oleh kata kerja pasif dihadiahi, kata sendi nama oleh dan kata ganti nama diri orang ketiga -nya atau kata ganti nama diri orang pertama saya. Dalam hal ini, kata ganti nama diri orang pertama saya tidak berkaitan dengan hukum aneksi persona kerana kata saya mesti berada di hujung ayat. Dalam kelompok ayat pasif jati 6, objek tak langsung/sipi ibunya atau ibu saya dikedepankan sebagai subjek terbitan diikuti oleh kata kerja pasif dimasakkan, kata sendi nama oleh dan kata ganti nama diri orang ketiga -nya atau kata ganti nama diri orang pertama saya. Dalam hal ini, kata ganti nama diri orang pertama saya tidak berkaitan dengan hukum aneksi persona kerana kata saya mesti berada di hujung ayat.

Pengabaian hukum aneksi persona untuk kata ganti nama diri orang pertama saya dalam ayat pasif dwitransitif dibolehkan kerana hal yang sama juga berlaku pada kata kerja pasif dengan awalan ter-. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Batu yang besar itu dapat saya angkat.

7b.  Batu yang besar itu terangkat oleh saya.

7c.  *Batu yang besar itu saya terangkat.

 

Dalam ayat 7b, hukum aneksi persona terpaksa diabaikan kerana sendi nama oleh dan kata ganti nama diri orang pertama saya mesti berada di hujung ayat.

Konsep objek langsung/tepat dan objek tak langsung/sipi merupakan konsep pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh itu, penggunaan kedua-dua objek itu mirip penggunaannya dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

Objek langsung/tepat sahaja

8a.  Dia melipat kain.

8b.  She folded the clothes.

 

9a.  Kain dilipat olehnya.

9b. The clothes were folded by her.

 

Objek langsung/tepat + Objek tak langsung/sipi

10a.  Dia memberi adiknya buku.

10b.  She gave her sister a book.

 

11a.  Adiknya diberi buku olehnya.

11b.  Her sister was given a book by her.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.