6 Julai 2023, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan kerjasama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (UniTI), Universiti Sains Malaysia dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia telah berjaya menganjurkan Kolokium dan Pameran Terjemahan Bahasa Cina–Bahasa Melayu yang bertemakan “Terjemahan Wahana Perpaduan Negara”.

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia telah sudi merasmikan kolokium sehari ini. Beliau yang berpengalaman luas dalam usaha kerjasama memperkembang ilmu khususnya menerusi bahasa Melayu antara China dengan Malaysia dalam ucapannya berkata, penganjuran kolokium ini adalah antara usaha berterusan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan di dalam negara.

Menurutnya lagi, unsur bahasa merupakan “tiang seri” dalam pembinaan negara bangsa yang berteraskan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa untuk mewujudkan negara yang rakyatnya akan terus hidup dalam suasana aman dan harmoni, perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat negara ini adalah teras yang tidak boleh rapuh bagi pemerkasaan pembinaan negara bangsa.

Tambah beliau, penterjemahan adalah wahana untuk menggiatkan lagi pertukaran silang budaya dan pengukuhan ilmu dalam pelbagai bidang. Golongan muda mempunyai minda terbuka dan mereka menerima kepelbagaian dan kerencaman dalam semua aspek kehidupan apatah lagi dengan asakan budaya tanpa sempadan yang serba-serbi memperlihat pengaruh globalisasi yang amat luas dalam kalangan generasi pada hari ini.

Beliau berkata, pentingnya terjemahan ini kerana dengan wujudnya kepelbagaian bahasa dan budaya oleh rakyat majmuk negara ini akan menyebabkan jurang komunikasi antara kaum dan sudah tentu secara tidak langsung akan membuka ruang konflik dalam masyarakat.

Ujar beliau, karya yang dimiliki oleh satu-satu rumpun bangsa yang menggunakan sesuatu bahasa sewajarnya tidak bersifat eksklusif dan terhad kepada penuturnya sahaja. Oleh itu, usaha penterjemahan ini wajar diberi dukungan dan sokongan secara berterusan oleh pihak kerajaan agar karya rakyat Malaysia tidak kira apa-apa pun keturunan dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh semua.

Beliau turut berharap agar usaha mempertingkat kefahaman, rasa hormat-menghormati dan saling menghargai antara masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat diperteguhkan lagi khususnya antara dua kaum terbesar di negara ini, iaitu Melayu dan Cina.

Menerusi karya-karya yang dihasilkan ini juga sudah tentu akan dapat menterjemahkan sisi kejujuran dan keikhlasan pengkarya dan hal ini sekali gus akan dapat menyumbang kepada perpaduan kaum.

Program sehari ini turut mengadakan Pameran Terjemahan Bahasa Cina–Bahasa Melayu oleh PERSPEKTIF. Encik Lim Chuan Boon, Presiden PERSPEKTIF amat berharap agar usaha melestarikan terjemahan karya Mahua ini akan dapat dipertingkatkan lagi dan khalayak yang akan membaca karya ini turut dapat diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, ucaptama kolokium yang bertajuk “Terjemahan sebagai Wahana Perpaduan Negara” telah disampaikan oleh Penasihat PERSPEKTIF, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Sebanyak empat orang panel telah membentangkan perkongsian mereka, iaitu Prof. Dr. Chew Fong Peng dengan tajuk “Citra Melayu dalam Cerpen Mahua Pilihan”, Puan Lee Pin Ling pula berkongsi penelitiannya menerusi tajuk “Terjemahan Makna Tatabahasa Kata Kerja Berimbuhan me-N- dalam Bahasa Cina”, Dr. Noor Ida Ramli pula membentangkan hal berkaitan dengan “Kebolehterjemahan Budaya dalam Antologi Cerpen Dermawan dan Puan Liau Lay San dengan tajuk “Teori Variasi Terjemahan dalam Versi Bahasa Cina Ranjau Sepanjang Jalan”. Sesi soal jawab pula dikendalikan oleh Dr. Raja Rajeswari dan Encik Lee Ho Jie.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah Tuan Haji Md. Johari Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Dr. Azizul bin Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, Dato’ Goh Hin San, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN), dan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).

Encik Lim Chuan Boon, Presiden PERSPEKTIF berharap agar usaha penterjemahan dapat dipertingkatkan.
Penasihat PERSPEKTIF, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika menyampaikan ucaptama.
YBrs. Dr. Raja Rajeswari ketika dalam sesi soal jawab.
Tetamu kehormat dan para peserta bergambar kenang-kenangan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.