Oleh Kho Thong Eng
10 Julai 2023, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila disebut tatabahasa, ada murid yang mungkin mengeluh kerana beranggapan bahawa topik itu sukar kerana terlalu abstrak, membosankan kerana penuh dengan rumus, atau kurang bermakna kerana kurang berkaitan dengan kehidupan atau komunikasi seharian mereka. Hal ini berlaku kerana mereka melihat tatabahasa sebagai satu topik yang terasing daripada aspek bahasa yang lain. Oleh itu, tatabahasa tidak harus diajarkan secara langsung atau secara deduktif pada peringkat awal persekolahan murid-murid.

Sebagai analoginya, kanak-kanak mungkin tahu bahawa ubat perlu dimakan ketika mereka jatuh sakit tetapi mereka masih enggan menelannya atau mengambilnya hanya kerana rasanya pahit. Oleh itu, kini kebanyakan ubat untuk kanak-kanak disediakan dalam bentuk sirap atau kapsul supaya tidak ditolak oleh kanak-kanak. Malahan, sekarang kebanyakan ubat untuk orang dewasa pun berbentuk pil atau kapsul yang rasanya neutral, berbanding dengan herba tradisional yang sukar dimakan atau ditelan suatu masa dahulu.

Di sekolah, tatabahasa tidak harus diajarkan dalam vakum atau secara berasingan, tetapi harus berlatarkan konteks sosiobudaya yang bermakna, seperti cerita, lagu, teks bergambar, teks pemahaman, puisi (pantun, gurindam, syair, seloka, sajak), label barangan, dialog, lakonan, simulasi kehidupan seharian, permainan bahasa, dan sebagainya. Hal sedemikian menjadikan tatabahasa lebih bermakna, lebih menyeronokkan murid-murid dan lebih mudah untuk dikuasai secara beransur-ansur dan secara tidak langsung.

Selain itu, pengajaran tatabahasa harus mengambil kira aspek penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan kemahiran berbahasa meliputi hal seperti yang berikut:

i. Empat kemahiran asas berbahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

ii. Kemahiran tatabahasa dan kemahiran bahasa yang merangkumi aspek fonologi, morfologi, sintaksis, wacana, sosiolinguistik, semantik, pragmatik dan retorik.

iii.  Kemahiran seni bahasa seperti peribahasa dan sastera. Hal ini meliputi simpulan bahasa, perumpamaan, kata hikmat, slogan, pepatah, bandingan semacam, simile, metafora, repetisi dan sebagainya.  Dari segi sastera, hal ini termasuk hal melafazkan, membaca, memahami dan mencipta cerita serta puisi yang pelbagai.

iv. Kemahiran dari segi penguasaan kosa kata yang luas yang mencakupi aspek kata umum dan istilah khusus.

Pengajaran tatabahasa juga merangkumi aspek penyerapan ilmu dan nilai. Dari segi penyerapan ilmu, hal ini meliputi segala ranah kehidupan seperti aspek kekeluargaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kenegaraan, antarabangsa, hal ehwal semasa, sains dan teknologi, kesihatan, keselamatan, alam sekitar, dan sebagainya. Dari segi penyerapan nilai, segala nilai murni harus diterapkan dalam jiwa murid secara beransur-ansur dan menyeluruh agar nilai-nilai tersebut diamalkan sepanjang hayat oleh mereka.

Selain penggabungjalinan kemahiran bahasa dan penyerapan ilmu serta nilai, ilmu penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) harus juga diterapkan dalam pengajaran tatabahasa untuk melahirkan insan yang kalis masa depan (future proof) dan berupaya untuk berfikir secara kritis dan kreatif.

Satu lagi aspek pengajaran tatabahasa yang tidak harus kita abaikan ialah aspek keseronokan belajar. Oleh itu, pelbagai aktiviti seperti permainan bahasa, teka silang kata, membaling dadu, mencari harta karun, bermain dam ular, berpantun, bersyair, mendeklamasikan sajak, berpidato, berbahas, bercerita, melakukan simulasi, berlakon, berlagu, mengubah suai karya puisi, mengubah suai cerita, mengubah suai lirik lagu, mengubah suai teks ucapan, mengedit teks, melengkapkan teks, menyusun kata semula, main peranan, kotak kad cabutan, kerusi beracun (musical chair) dan sebagainya harus juga diadakan. Aktiviti sedemikian dapat mewujudkan suasana yang ceria dan gembira, mengukuhkan pelbagai aspek tatabahasa melalui pengulangan dan aplikasi, serta menggalakkan murid bersaing untuk menguasai pelbagai aspek tatabahasa.

Secara ringkasnya, tatabahasa harus diajarkan dalam satu keseluruhan yang saling berkaitan dan bermakna.  Dalam hal ini, semua isi pelajaran dalam buku teks Bahasa Melayu daripada Tahun Satu di sekolah rendah hingga Tingkatan Lima di sekolah menengah disusun dan disampaikan mengikut tema.  Dengan itu, semua aspek bahasa dan hal yang berkaitan dapat diajarkan secara saling melengkapi dan saling mengukuhkan untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah.

Di samping aspek tatabahasa dan kebahasaan, pelbagai aspek pedagogi harus juga diambil kira dalam pengajaran tatabahasa, seperti yang berikut:

i. Pengajaran harus bersifat ansur maju dan bermula daripada yang mudah, kemudian menuju kepada yang susah. Sila lihat contohyangberikut:

a. Pengajaran huruf dan suku kata harus mendahului pengajaran kata,

frasa dan ayat.

b. Bunyi vokal dan konsonan harus diajarkan lebih awal daripada diftong, vokal berganding, digraf dan gugus konsonan.

c. Pengajaran kata tunggal harus dilakukan lebih awal daripada pengajaran kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda, serta subgolongannya.

d. Kata nama, kata kerja dan kata adjektif diperkenalkan lebih dahulu berbanding dengan kata tugas yang heterogen.

e. Ayat tunggal harus diajarkan lebih awal daripada ayat majmuk.

f. Ayat penyata diajarkan lebih awal daripada ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan, serta subgolongannya.

g. Ayat aktif diajarkan lebih awal daripada ayat pasif, dan jenis-jenisnya.

h. Ayat susunan biasa diajarkan lebih awal daripada ayat susunan songsang.

i. Konsep subjek dan predikat diperkenalkan dahulu, sebelum dijelaskan konsep objek, penerang, pelengkap, keterangan, penentu dan sebagainya.

ii. Pengajaran harus berdasarkan konteks. Sebagai contohnya, bunyi dan huruf harus diajarkan dalam konteks kata, kata harus diajarkan dalam konteks frasa, klausa dan ayat, dan ayat harus diajarkan dalam konteks perenggan dan petikan, bukan secara berasingan sahaja.

iii.  Pengajaran harus bergerak daripada yang dekat kepada yang jauh. Sebagai contohnya, pengajaran bermula dengan keluarga, sebelum menyentuh jiran, sekolah, masyarakat, negara, antarabangsa dan sebagainya.

iv. Pengajaran harus bergerak daripada yang konkrit kepada yang abstrak.  Contoh yang cukup banyak harus diberikan terlebih dahulu sebelum murid-murid dibimbing untuk menemukan rumus, iaitu pendekatan induktif lebih diutamakan berbanding dengan pendekatan deduktif

v. Hubungan interaktif secara dua hala atau pelbagai hala antara murid dengan guru, dan antara murid diutamakan berbanding dengan hubungan sehala, iaitu penjelasan secara panjang lebar dan berterusan daripada guru harus dielakkan. Dengan itu, guru dapat menilai pemahaman dan penguasaan bahasa oleh murid-murid, dan mengubahsuaikan strategi pengajarannya secara berperingkat-peringkat dan bijaksana.

vi. Pengajaran harus berpusatkan murid.  Murid-murid yang terlibat secara aktif untuk menjalani pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) dan pembelajaran secara latih amal (hands-on learning) akan dapat menguasai aspek tatabahasa dengan lebih baik dan lebih lama.

Sebagai rumusannya, pengajaran tatabahasa pada peringkat awal persekolahan harus dijalankan dengan mengambil kira aspek penggabungjalinan, penyerapan dan pedagogi dalam konteks yang bermakna. Pada peringkat Tingkatan Enam atau universiti, barulah pengajarannya lebih bersifat deduktif, ilmiah dan abstrak.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.