14 Julai 2023, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti, semalam.

Program ini selari dengan inisiatif “Ini Warisan Kita” yang diperkenalkan oleh pihak kementerian untuk melestarikan bahasa sebagai satu daripada warisan. Program ini juga merupakan wadah yang paling utama dalam aspek menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Malaysia.

Program yang bertemakan “Menghilir Sungai Pahang” ini diadakan dengan konsep forum. Pembicaranya berkongsi pengalaman, kajian dan penyelidikan, serta pandangan mengenai bahasa kolokial dalam masyarakat umum.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berucap ketika merasmikan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihak kementerian menyokong program melestarikan keberdayaan bahasa komuniti ini sepenuhnya.

Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang,

Bahasa kolokial, iaitu bahasa yang bersifat percakapan atau basahan dan bahasa etnik ialah khazanah negara yang perlu terus dipelihara dan dimartabatkan. Bahasa berkenaan ialah sebahagian daripada seni dan budaya pelbagai masyarakat Malaysia yang penggunaannya melambangkan jati diri, selain perpaduan.

Beliau juga berharap agar penganjuran dan pendokumentasian program seumpama ini dapat menghasilkan dokumentasi mengenai bahasa kolokial, seterusnya mempelbagaikan sumber rujukan mengenai bahasa sebagai rujukan dan penyelidikan pelbagai pihak.

YB Datuk Aaron Ago Dagang merasmikan program tersebut dengan gimik memukul gong sebanyak tiga kali.

Program yang berlangsung selama sehari melalui dua sesi ini menampilkan enam tokoh pembicara. Dalam sesi pertama, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong membicarakan tajuk “Konsep dan Penggunaan Bahasa Kolokial Masyarakat Berbilang Kaum”.

Sementara itu, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, YBhg. Dato’ Aripin Said pula membicarakan tajuk “Penggunaan Bahasa Kolokial dalam Seni dan Budaya”, manakala Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Encik Mohd Fadzli Tajuid pula membincangkan tajuk “Bahasa Kolokial dalam Konteks Peranan DBP”.

Dari kiri: YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong, YBhg. Dato’ Aripin Said dan YBrs. Encik Mohd Fadzli Tajuid.

Pada sebelah petang, berlangsung sesi kedua yang  menampilkan tiga orang tokoh. Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Bahasa, Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, YBrs. Encik Mohamad Asri Mat Husin mengupas topik “Perbandingan Bahasa Baku dan Bahasa Kolokial Pahang”.

Tokoh kedua, Penggiat Seni Budaya Negeri Pahang, YBrs. Encik Hassan Abu pula membicarakan topik “Bahasa Kolokial Daerah di Pahang”. Tokoh terakhir, Pengerusi Persatuan Pencinta Loghat Daerah Negeri Pahang, YBrs. Encik Afzainizam Ismail pula memperkatakan topik “Bahasa Kolokial dalam Lagu Rakyat Pahang”.

Sesi kedua yang berlangsung pada sebelah petang pula menampilkan tiga orang tokoh pembicara, iaitu YBrs. Encik Mohamad Asri Mat Husin (kiri), YBrs. Encik Hassan Abu dan YBrs. Encik Afzainizam Ismail.

Kedua-dua sesi tersebut dipengerusikan oleh YBrs. Encik A. Jailani Che Abas daripada Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis.

Antara program sisipan lain yang berlangsung bersempena dengan program bicara tersebut termasuklah pameran mengenai sejarah dan perkembangan bahasa, demonstrasi pemeliharaan dan pemuliharaan bahan arkib, serta jualan buku terbitan Arkib Negara Malaysia. Program ini turut bersiaran langsung secara dalam talian melalui laman Facebook Arkib Negara Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.