17 Julai 2023, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menggatal – Sebanyak 910 orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gudon, Menggatal, Sabah telah menyertai Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) yang dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, di Dewan Terbuka SK Gudon baru-baru ini.

Program tersebut merupakan satu daripada aktiviti yang dilaksanakan bersempena dengan Karnival Bahasa yang bermula pada 10 Julai 2023, anjuran Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris dan Panitia Bahasa Arab SK Gudon. Perpustakaan Bergerak Negeri Sabah dan Hero Sekolah turut dijemput bagi memeriahkan lagi karnival tersebut.

Semasa lawatan tetamu ke bilik pameran, wakil Guru Besar SK Gudon, iaitu Puan Junainah Dullah, Penolong Kanan Pentadbiran dan guru-guru panitia telah memberikan penerangan berkaitan dengan aktiviti sepanjang minggu karnival tersebut.

Puan Junainah berharap agar hubungan sinergi yang baik dengan DBP dapat diteruskan dengan menjadikan aktiviti seumpama ini sebagai program tahunan sekolah. Beliau juga memaklumkan bahawa sekolah turut berusaha mewujudkan sudut bacaan khusus untuk buku-buku terbitan DBP.

Ceramah dan aktiviti BdK yang dikendalikan oleh Puan Julianah Kuli dari DBP Cawangan Sabah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan melalui pelibatan aktif para pelajar dalam aktiviti seperti Kuiz BdK, carian pantas, jana perkataan dan mengeja perkataan yang betul. Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) pada kali ini turut dihadiri oleh Puan Carol Yap dari Unit Sains Sosial, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu.

Selain aktiviti BdK, DBP Cawangan Sabah turut mengadakan taklimat buku terbitan DBP dan jualan buku yang diketuai oleh Encik Mohd Fazrin Azli Jaimat. Para guru dan pelajar berasa teruja ketika mengunjungi meja jualan buku DBP kerana inilah julung-julung kalinya DBP Cawangan Sabah mengadakan jualan buku secara bersemuka di sekolah berkenaan.

Program tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata antara wakil DBP Cawangan Sabah dengan wakil SK Gudon dan sesi bergambar beramai-ramai.

Aktiviti mencari istilah dengan pantas.
Aktiviti mengeja perkataan dengan betul.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.