Oleh Nor Atikah Buang
18 Julai 2023, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mendepani cabaran memartabatkan bahasa Melayu pada era kini bukanlah suatu hal yang boleh dianggap enteng, tetapi dengan adanya usaha yang jitu dan berterusan, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa boleh direalisasikan.

Pelbagai inisiatif telah dipergiatkan oleh pelbagai pihak khususnya organisasi yang diberikan mandat untuk melestarikan bahasa dan persuratan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Institusi ini telah banyak menganjurkan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM) merupakan antara aktiviti kerjasama kebahasaan luar negara yang mapan dan menjangkau 51 tahun kematangannya.

Pelaksanaan MABBIM merupakan satu daripada daya upaya yang digembleng oleh DBP untuk melebarkan sayap bahasa Melayu di Nusantara. MABBIM merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang dianggotai oleh tiga negara, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

Pada asalnya, badan ini dinamai sebagai Majlis Bahasa Indonesia–Malaysia (MBIM), yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972. Setelah satu Pernyataan Bersama ditandatangani oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Bapak Mashuri Saleh S. H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 23 Mei 1972 di Jakarta, Indonesia, MBIM menjadi MABBIM apabila negara Brunei Darussalam menganggotai Majlis ini pada 4 November 1985. Hingga kini, Singapura dan Thailand masih menjadi negara pemerhati MABBIM.

MABBIM merupakan sebuah badan kebahasaan yang telah berjaya mengeratkan hubungan persahabatan dan persaudaraan tiga budaya serumpun ini yang berteraskan semangat kebersamaan dan permuafakatan melalui satu bahasa yang serupa dan sepunya. Wadah kerjasama kebahasaan MABBIM ini pada hakikatnya mempunyai aspirasi untuk membina dan membengkar bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu/Indonesia di ketiga-tiga buah negara anggota MABBIM agar menjadi bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa teknologi moden, bahasa perusahaan, dan bahasa ekonomi.

Tidak dinafikan peri pentingnya majlis ini dalam memberikan sumbangan yang besar dari aspek pembinaan kebahasaan di rantau ini. Antara perkara-perkara penting yang telah dilaksanakan oleh Majlis ini termasuklah penerbitan 60 judul kamus istilah dan dua judul daftar istilah MABBIM dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah sains dan teknologi yang telah menjadi rujukan dalam lapangan pendidikan khususnya.

Hingga tahun 2018, Sidang MABBIM dilaksanakan pada setiap tahun secara bergilir mengikut negara anggota MABBIM. Rangkaian sidang ini membahaskan usul dan cadangan sidang pakar, perkara dasar dalam MABBIM seperti hal yang berkaitan dengan pedoman bahasa, tatacara kerja sidang dan Rancangan Lima Tahun MABBIM.

Sidang Eksekutif dihadiri oleh Sidang Pakar daripada Ketua Perwakilan, Setiausaha, dan dua orang anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu. Sidang Eksekutif ini diselenggarakan dan dipimpin oleh Ketua Perwakilan tuan rumah sidang MABBIM.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2019 turut memberikan dampak kepada pelaksanaan MABBIM pada tahun yang berikutnya apabila selama hampir tiga tahun, iaitu bermula pada tahun 2019 hingga tahun 2022, sidang MABBIM terpaksa ditangguhkan. Pelaksanaan MABBIM pada tahun 2023 hanya melaksanakan dua aktiviti, iaitu Pertemuan Sekretariat MABBIM dan Sidang Eksekutif ke-59 MABBIM yang merupakan Forum Ketua MABBIM yang pertama.

Sidang Eksekutif ke-59 MABBIM.

Pertemuan Sekretariat MABBIM dihadiri oleh setiausaha dan urus setia MABBIM negara anggota. Pertemuan ini membincangkan dan menyediakan bahan untuk keperluan Sidang Eksekutif berdasarkan Laporan Sidang dan Mesyuarat Sekretariat MABBIM 2019. Antara topik utama perbincangan termasuklah draf tatakerja dan perancangan penyelenggaraan Sidang MABBIM yang baharu.

Pembukaan Sidang Eksekutif ke-59 MABBIM baru-baru ini di Bogor, Indonesia, yang dirasmikan oleh Prof. E. Aminudin Aziz, Kepala Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa Indonesia, yang merangkap Ketua Perwakilan MABBIM Indonesia berpendapat bahawa situasi dan zaman sekarang ini sudah banyak berubah, termasuklah tantangan yang menyelimuti urusan bahasa di wilayah daerah masing-masing.

“Di Indonesia, di Malaysia, di Brunei dan di seluruh jagat raya ini, semuanya terus mengalami perubahan. Jika kita memandang dinamika yang ada sebagai sebuah perubahan, maka kita perlu menghadapinya dengan fikiran dan idea baharu. Oleh sebab itu, ketika kita bicara idea baharu, tentulah bukan business as usual, bukan sesuatu yang biasa-biasa sahaja yang kita lakukan. Yang ingin kita lakukan ialah kita menatap perubahan baharu ini dengan cara pandang baharu yang mungkin di luar daripada kebiasaan yang ada.”

Prof. E. Aminudin Aziz, Ketua MABBIM Indonesia menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Eksekutif ke-59 MABBIM.

Hal itu juga sejajar dengan hasrat Tuan Haji Razali Che Mat, Ketua Perwakilan MABBIM Malaysia, iaitu pelbagai usaha harus digerakkan dengan pendekatan baharu selari dengan perkembangan teknologi terkini. Menurut beliau, usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah tanpa adanya kerjasama yang jitu antara negara anggota. Perkongsian ilmu, maklumat dan pengalaman antara negara anggota MABBIM seharusnya dapat menambah baik segala usaha kebahasaan di negara masing-masing.

Tuan Haji Razali Che Mat, Ketua Perwakilan MABBIM Malaysia.
Hajah Sariani Haji Ishak, Ketua Perwakilan MABBIM Brunei.

Tuntasnya, kaedah dan pendekatan baharu perlu dirancang dalam format baharu MABBIM agar MABBIM terus segar dan relevan sebagai badan bahasa yang bertindak merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di negara serantau.

Sidang Eksekutif ke-59 MABBIM diakhiri dengan majlis menandatangani Pernyataan Bersama yang bersetuju dalam beberapa perkara, antaranya termasuklah tatakerja baharu MABBIM dan pelaksanaan Forum Ketua MABBIM yang akan menggantikan Sidang Eksekutif MABBIM.

Majlis menandatangani pernyataan bersama ketiga-tiga negara anggota MABBIM.

Setelah hampir lima dasawarsa berlalu, bahtera kerjasama kebahasaan dan persuratan ini, gerak kerja dan dampaknya terhadap gagasan MABBIM perlu dinilai semula seiring dengan kepesatan teknologi. Melalui permuafakatan tiga negara anggota ini dan format MABBIM yang baharu diharapkan agar MABBIM terus relevan sebagai badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa dan persuratan Melayu di rantau Nusantara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.