21 Julai 2023, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Program Sembang Tamu Pelita Bahasa: Karya Kreatif dalam Pembelajaran Bahasa Melayu, yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada pukul 9.30 pagi tadi.

Program ini telah dikendalikan oleh YBrs. Dr. Azhar Md Sabil, Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), selaku moderator bersama-sama seorang ahli panel jemputan, iaitu YBrs. Dr. Shamsudin Othman, Ketua Jabatan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, UPM.

Menurut Dr. Shamsudin Othman, kadang-kadang kita terlalu mengkhususkan konsep penulisan kreatif semata-mata untuk penciptaan cerpen, puisi, novel dan sebagainya. Sebenarnya, dalam konteks pendidikan, murid yang mengarang karangan itu sebenarnya telah melalui suatu proses pembelajaran yang sangat terkait dengan proses kreatif.

Dr. Shamsudin Othman bukan sahaja pendidik dalam bidang Bahasa Melayu, malah pengkarya hebat yang diiktiraf sehingga peringkat luar negara.

Dalam teori penulisan kreatif, penghasilan sesuatu karya itu mestilah bermula daripada pencarian idea, kemudian melalui proses pengeraman, dan proses melahirkan perkara yang telah terkumpul daripada pencarian idea atau ilham dan akhirnya, proses menulis.

Menurut Dr. Shamsudin Othaman lagi, guru harus menerima sesuatu perkara itu dengan fikiran terbuka. Hal ini dikatakan demikian kerana apa-apa sahaja istilah yang berkaitan dengan proses atau penulisan kreatif, prosesnya adalah sama. Oleh itu, persepsi bahawa penulisan kreatif tidak sesuai untuk pelajar sekolah haruslah ditangkis dan dibuang sejauh-jauhnya daripada pemikiran, terutamanya bagi seorang pendidik.

Tambahnya lagi, seandainya guru dapat memahami hal sebegini dengan lebih terbuka, dan bersikap wenang menerima sesuatu yang baharu, beliau yakin bahawa proses penulisan kreatif pada peringkat sekolah sudah bermula sejak dahulu lagi.

Selain itu, guru boleh membantu pelajar untuk meningkatkan kemahiran membaca dengan menggunakan bahan KOMSAS yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seperti menggunakan bahan cerpen dan novel.

Dr. Azhar Md Sabil (kiri) selaku moderator program pada hari ini.

Menurut Dr. Azhar Md Sabil, apresiasi atau penghayatan dan tindak balas peribadi terhadap karya kreatif juga dapat melatih kemahiran bertutur bagi seseorang pelajar, seperti melafazkan pantun dengan nada yang betul.

Kemahiran membaca pelajar juga dapat dilatih melalui pembacaan karya kreatif, seperti cerpen. Pembacaan tersebut dapat memberikan idea kepada pelajar untuk menghasilkan  karangan yang kreatif dan menarik.

Menurut Dr. Shamsudian Othman, bahan sastera merupakan bahan yang berupaya merawat jiwa. Pembacaan teks sastera ini ialah satu bentuk rawatan yang mampu menjadikan naluri seseorang itu kembali normal. Hal ini memperlihatkan bahawa aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat dipenuhi melalui pembacaan karya kreatif.

Bahan sastera atau bahan kreatif ini sebenarnya bukan sahaja membantu penguasaan tatabahasa, tetapi juga membantu kemahiran berkomunikasi dan juga meningkatkan apresiasi (penghayatan) terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.