Oleh Awang Sariyan
23 Julai 2023, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemungkinan kerajaan membenarkan pengajaran bahasa Tamil di sekolah menengah meskipun pelajarnya kurang daripada 15 orang. Hal itu disebut dalam ucapannya di Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Tamil Ke-17 di Universiti Malaya pada 22 Julai 2023.

Pada pandangan saya, isu yang lebih utama adalah berkaitan dengan keperluan dan matlamat pengajaran bahasa selain bahasa Melayu untuk dihalusi dan dijadikan program negara. Pertama sekali, pengajaran bahasa lain selain bahasa utama negara, iaitu bahasa Melayu memang ada ruang dan keperluannya. Bahasa Melayu ialah bahasa asas jati diri dan perpaduan warganegara Malaysia, serta bahasa rasmi negara. Bahasa lain menjadi nilai tambah, seperti bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain untuk meluaskan saluran ilmu dan budaya global. Khas bagi bahasa kaum lain di negara ini, termasuklah bahasa Tamil, pendedahannya perlu untuk pemahaman dan penghargaan kepada bahasa dan budaya kaum lain.

Pendedahannya dapat dilakukan dalam dua cara, iaitu dalam kurikulum dan kokurikulum. Pendedahan bahasa etnik dapat dilaksanakan melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas, di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Memang timbul isu teknikal berkaitan dengannya seperti jadual waktu dan keperluan guru.

Dalam hal ini, saya menyarankan pendekatan yang lentur dan praktis, lain daripada pendekatan biasa yang terikat dengan PdP biasa. Contohnya, dalam seminggu perlu diadakan masa khas untuk pendedahan tentang bahasa etnik yang sesuai dengan konteks sekolah menurut pendekatan interaksi silang bahasa dan budaya. Dengan itu, kelas bahasa etnik, seperti bahasa Tamil tidak dikhaskan untuk anak-anak orang India sahaja, tetapi terbuka dan digalakkan untuk disertai oleh murid lain. Pendekatan yang sama dapat digunakan untuk bahasa etnik lain. Pendekatan ini lebih jelas matlamatnya, iaitu untuk persefahaman dalam kalangan generasi muda, lebih daripada tujuan menguasai ilmu formal tentang bahasa itu.

Di sekolah menengah rendah, pendekatan itu masih sesuai diterapkan. Di sekolah menengah atas, boleh ditingkatkan kaedah pengajaran bahasa lain secara lebih formal, sesuai dengan tahap pendidikan pelajar.

Pendedahan bahasa lain di sekolah tidak wajar dilaksanakan semata-mata berasaskan tuntutan atau desakan pihak tertentu. Kerajaan perlu membuat perancangan rapi untuk melaksanakannya bagi tujuan persefahaman antara pelbagai etnik seperti yang saya cadangkan di atas, bukan untuk menjadikannya beban tambahan sekolah, apatah lagi saingan bagi bahasa kebangsaan.

Salah satu unsur pengisian program pendedahan bahasa etnik secara silang bahasa dan budaya itu ialah aspek kesantunan bahasa. Saya dan kumpulan penyelidik saya baru menerbitkan buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia (terbitan DBP, 2023), yang menunjukkan begitu banyak persamaan unsur kesantunan bahasa antara lima etnik utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun dan saya yakin kajian lanjut akan menghasilkan kesimpulan yang sama bagi etnik lain. Dengan pendekatan yang berfokus pada silang bahasa dan budaya, pendedahan bahasa etnik akan jauh lebih berkesan daripada pengajaran secara formal seperti kelazimannya.

Berkaitan dengan itu, saya menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia menghalusi pelaksanaan pengajaran bahasa di negara ini. Pertama, pastilah berkaitan dengan usaha berterusan dan peningkatan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan kedua hala tuju, matlamat dan pendekatan pengajaran bahasa lain yang menjadi nilai tambah. Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan wajar mengemukakan cadangan berkaitan dengannya kepada Menteri Pendidikan.

Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.