Oleh Kho Thong Eng
26 Julai 2023, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adjektif ialah kata yang dapat menjadi inti dalam frasa adjektif, dan pada umumnya menghuraikan sifat atau keadaan kata nama. Dari segi bentuk, kata adjektif boleh berbentuk kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Kata adjektif tunggal ialah kata adjektif yang belum mengalami sebarang proses morfologi. Contohnya ialah kata cantik, pandai, lonjong, harum dan sebagainya.

1a.  Gadis itu cantik.

1b.  Budak itu pandai.

1c.  Kepalanya lonjong.

1d.  Bunga itu harum.

Kata adjektif terbitan ialah kata adjektif yang ditambah imbuhan seperti awalan, apitan dan sisipan. Contohnya ialah kata sebesar, termuda, kebaratan dan selerak.

2a.  Rumahnya sebesar rumah saya.

2b.  Dialah yang termuda dalam kelas kita.

2c.  Gaya hidupnya kebaratan.

2d.  Rumahnya selerak dengan sampah.

Kata adjektif ganda ialah kata adjektif yang mengalami pengulangan kata dasar, sama ada secara gandaan penuh, gandaan separa atau gandaan berentak. Contohnya ialah kata tinggi-tinggi, sebaik-baik, jadi-jadian, kekuning-kuningan dan porak-peranda.

3a.  Pokok kelapa di pantai itu tinggi-tinggi.

3b.  Sebaik-baik manusia ada juga kelemahannya.

3c.  Harimau jadi-jadian dikatakan mengancam keselamatan penduduk kampung.

3d.  Baju yang dipakainya kekuning-kuningan.

3e.  Rumah tangganya porak-peranda.

Kata adjektif majmuk merupakan dua kata atau lebih yang mendukung maksud adjektif secara khusus. Kata adjektif ini meliputi kata adjektif dengan maksud tersurat dan tersirat (simpulan bahasa). Kata adjektif majmuk ini berupa kata adjektif yang diikuti kata nama. Contoh kata adjektif majmuk dengan maksud yang tersurat ialah merah jantung pisang, hijau pucuk daun, kuning langsat, dan putih telur.

4a.  Gaunnya merah jantung pisang.

4b.  Bajunya hijau pucuk daun.

4c.  Kulitnya kuning langsat.

4d.  Warna cat itu putih telur.

Contoh kata adjektif majmuk dengan maksud tersirat ialah terang hati, rabun ayam, besar kepala dan ringan tulang.

5a.  Budak itu terang hati.

5b.  Matanya rabun ayam.

5c.  Dia semakin besar kepala.

5d.  Pekerja itu ringan tulang.

Satu hal yang menarik ialah terdapatnya sebilangan kata nama majmuk kiasan yang mendukung makna tersirat seperti kata adjektif majmuk kiasan, seperti muka tembok dan hidung tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana muka tembok bererti “tidak bermalu” dan hidung tinggi bererti “sombong”.

6a.  Orang itu muka tembok.

6b.  Dia bersifat hidung tinggi.

Frasa adjektif berbeza daripada kata adjektif majmuk kerana dapat disisipkan dengan kata hubung gabungan dan di antara katanya. Frasa adjektif mungkin bersifat keserasian, berlawanan atau berentak. Contoh frasa adjektif yang berunsur keserasian ialah riang gembira, cantik molek, gagah berani dan kurus kering.

7a.  Mereka sentiasa riang gembira.

7b.  Gadis itu cantik molek.

7c.  Pahlawan itu bersifat gagah berani.

7d.  Peminta sedekah itu kurus kering.

Contoh frasa adjektif yang berunsur berlawanan ialah tua muda, miskin kaya, kecil besar dan baik buruk.

8a.  Golongan tua muda menghadiri majlis itu.

8b.  Orang yang miskin kaya pun harus kita hormati.

8c.  Perabot yang kecil besar tersusun rapi.

9d.  Sifat baik buruk orang itu belum dikenal pasti.

Contoh frasa adjektif yang berunsur rentak bebas pula ialah tinggi lampai, lemah gemalai, kering kontang dan gemuk gedempol.

9a.  Orang itu tinggi lampai.

9b.  Pergerakan penari itu lemah gemalai.

9c.  Tanah itu sudah kering kontang.

9d.  Budak itu gemuk gedempol.

Ada kalanya frasa adjektif dapat berfungsi seperti frasa nama dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia bekerja tanpa mengenal penat lelah.

10b.  Baik buruk kejadian itu harus kita kaji.

Dalam ayat 10a, frasa adjektif penat lelah berfungsi sebagai kata nama yang menjadi objek kepada kata kerja transitif mengenal. Dalam ayat 10b, frasa adjektif baik buruk berfungsi sebagai inti subjek frasa nama ayat, iaitu baik buruk kejadian itu.

Walaupun pada umumnya kata adjektif menghuraikan kata nama dalam ayat, ada kalanya kata adjektif mempunyai fungsi lain. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia menjadi pandai.

11b.  Putih melambangkan kesucian.

11c.  Dia berlari pantas.

Dalam ayat 11a, kata adjektif pandai menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif menjadi. Dalam ayat 11b. kata adjektif putih berfungsi sebagai subjek ayat. Dalam ayat 11c, kata adjektif pantas berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja berlari.

Kata adjektif dapat diikuti oleh frasa sendi nama sebagai frasa keterangan.  Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Dia cantik pada zaman mudanya.

12b.  Rumah harus bersih demi kesihatan kita.

12c.  Dia setia kepada kekasihnya.

12d.  Badannya kurus seperti lidi.

Dalam kelompok ayat 12, frasa sendi nama pada zaman mudanya, demi kesihatan kita, kepada kekasihnya, dan seperti lidi merupakan frasa sendi nama yang berfungsi sebagai frasa keterangan kepada kata adjektif cantik, bersih, setia dan kurus.

Kata adjektif dapat juga diikuti oleh klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Dia cantik kerana bersolek.

13b.  Dia cantik jika bersolek.

13c.  Dia cantik selepas bersolek.

13d.  Dai cantik walaupun tidak bersolek.

Dalam kelompok ayat 13, klausa kerana bersolek, jika bersolek, selepas bersolek dan walaupun tidak bersolek ialah klausa keterangan yang mempunyai subjek dan predikat.

Ada sebilangan kecil kata adjektif yang dapat diikuti oleh klausa komplemen yang berpangkalkan kata hubung bahawa yang berfungsi sebagai klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Dia sangat yakin.

14b.  Dia sangat yakin bahawa dia akan lulus.

 

15a.  Dia sudah sedar.

15b.  Dia sudah insaf bahawa dia harus berusaha.

Dalam ayat 14a, frasa adjektif sangat yakin sudah lengkap sebagai predikat ayat. Walaupun begitu, frasa adjektif itu boleh diikuti oleh klausa komplemen yang berfungsi sebagai klausa keterangan seperti bahawa dia akan lulus secara opsyenal (lihat ayat 14b). Dalam ayat 15a, frasa adjektif sudah insaf sudah lengkap sebagai predikat ayat. Walaupun begitu, frasa adjektif itu boleh diikuti oleh klausa komplemen yang berfungsi sebagai klausa keterangan seperti bahawa dia harus berusaha secara opsyenal (lihat ayat 15b).

Kata adjektif dapat diiringi kata lain seperti kata penguat, kata bantu dan kata nafi. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Dia sangat cerdik.

16b.  Dia belum pandai.

16c.  Dia tidak pintar.

Dalam ayat 16a, kata adjektif cerdik diiringi kata penguat sangat. Dalam ayat 16b, kata adjektif pandai diiringi kata bantu aspek belum. Dalam ayat 16c, kata adjektif pintar diiringi kata nafi tidak.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.