26 Julai 2023, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mengimbas semula sejarah negara, Malaysia sudah pun melangkaui usia separuh abad. Sepanjang tempoh ini, pelbagai inisiatif berkaitan dengan pengukuhan dan pemantapan bahasa Melayu terus dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Usaha yang diambil selaras dengan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Fasal 1 menyebut bahawa: “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang Parlimen. Dalam perlembagaan juga, di bawah Perkara 159 (5), kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkuat dengan peruntukan dengan tiada pindaan yang boleh dibuat terhadap Perkara 152 tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Hingga kini, kerajaan Malaysia senantiasa menggubal akta untuk memantapkan lagi usaha pengukuhan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67  yang diluluskan pada 1 Julai 1977. Dikenali juga sebagai Akta 32, akta ini merupakan gabungan akta berkaitan dengan bahasa kebangsaan dari tahun 1963 dan tahun 1967.

Daripada 11 seksyen yang digubal di bawah Akta 32 ini, seksyen 1 hingga 9 dari tahun 1963, manakala seksyen 10 dan 11 pula dari tahun 1967. Di bawah akta ini, kedudukan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan, termasuk di parlimen, mahkamah, jabatan kerajaan, sekolah dan universiti diperkukuh.

Kali terakhir Akta Bahasa Kebangsaan dipinda pada tahun 1994 untuk memperkasakan kedudukan bahasa Melayu. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaa menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dan seksyen ini telah diperkasakan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011.

Selain itu, pihak kerajaan turut menguatkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan. Berpandukan Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961 digubal untuk mewujudkan kurikulum yang berorientasikan iklim pendidikan Malaysia. Bukan sahaja akta ini bertujuan untuk melahirkan sistem pendidikan kebangsaan yang memacu perkembangan politik, sosioekonomi dan kebudayaan, akta ini juga diperkenalkan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Lanjutan daripada Akta Pelajaran 1961, Akta Pendidikan 1996 digubal. Di bawah akta ini,  bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar utama di institusi pendidikan kecuali di sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28. Bahasa kebangsaan hendaklah diajar sebagai mata pelajaran di institusi pendidikan swasta jika bahasa pengantar bukanlah bahasa kebangsaan.

Pada bulan Jun 1956, pihak kerajaan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan kerajaan yang berperanan untuk melaksanakan dasar pengembangan dan pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Agensi ini terlibat dalam projek penerbitan, kempen dan program yang berasaskan bahasa Melayu.

Antara program yang signifikan yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka termasuklah Gerakan Cintai Bahasa Kita pada tahun 1987 bagi menyemarakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Program ini masih diteruskan hingga kini dengan beberapa penambahbaikan dalam memartabatkan  bahasa Melayu.

Antara punca utama mengapa bahasa Melayu terus diperkukuh sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menanam semangat jati diri dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apabila disentuh tentang jati diri, masih wujud segelintir rakyat Malaysia yang tidak mengetahui apakah itu jati diri yang sebenarnya, apatah lagi memahaminya secara mendalam.

Boleh dikatakan di Malaysia, istilah jati diri hanya mula diguna pakai sejak beberapa dekad yang lalu. Kurangnya pemahaman menyeluruh tentang semangat jati diri menjadi batu penghalang terhadap usaha melahirkan rakyat yang menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia.

Berdasarkan carian dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu, jati diri ditakrifkan sebagai sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau sesuatu bangsa.

Menurut Wan Muhamad (2010) pula, jati diri merujuk identiti diri atau keperibadian diri yang dimiliki oleh seseorang individu yang tergambar secara lahirah serta melalui pegangan nilai. Pendek kata, jati diri boleh diperjelas sebagai satu elemen penting yang memandu semua warganegara ke arah pembinaan negara dan melahirkan identiti bangsa Malaysia yang bersemangat patriotik dan bangga dengan negara.

Di Malaysia, penerapan jati diri amatlah perlu memandangkan masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan agama, bahasa, adar resam dan budaya yang berbeza. Jika dilihat dari konteks bahasa, setiap kaum mempunyai bahasa pertuturannya sendiri. Sudah pastinya setiap kelompok kaum ini memberikan keutamaan yang lebih terhadap pertuturan bahasa ibunda masing-masing.

Maka itu, secara tidak langsung, tidak akan ada satu bentuk persamaan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia. Jadi, sememangnya mustahil untuk menyuburkan jati diri sebagai bangsa Malaysia tanpa sebarang identiti kebangsaan atau lebih tepat lagi, sebagai bangsa Malaysia.

Penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu oleh setiap warganegara mampu membentuk satu identiti bangsa Malaysia. Pada masa yang sama, kita perlu tahu walaupun bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan, sistem perlembagaan tidak membelakangkan mana-mana bahasa ibunda kaum lain atau dipinggirkan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, termaktub klausa yang menyatakan bahawa semua kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa ibunda masing-masing tanpa halangan.

Perpaduan merupakan elemen utama dalam memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan harmoni tanpa berlakunya sebarang persengketaaan. Dalam usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mampu memainkan peranan sebagai alat perpaduan.

Secara logiknya, penggunaan beberapa bahasa semasa berkomunikasi bukan sahaja tidak dapat menyampaikan maklumat yang ingin dijelaskan dengan setepat-tepatnya, bahkan boleh mengundang prasangka sesama sendiri.

Dalam hal ini, sebagai bahasa yang sederhana dan senang difahami, bahasa Melayu dapat dipelajari dan dituturkan oleh segenap masyarakat dengan mudah serta dapat menyuburkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Atas faktor ini jugalah, sewaktu proses kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, para pemimpin daripada pelbagai kaum bersetuju dengan sebulat suara untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai satu daripada identiti kebangsaan dengan harapan kesemua rakyat Malaysia dapat disatukan.

Di samping itu, penggunaan bahasa Melayu dapat memainkan peranan dalam menghindarkan penebalan budaya asabiyah jahiliyah. Menurut pandangan Ibnu Khaldun, seorang ahli falsafah dan sejarawan Islam terkemuka, asabiyah jahiliyah atau asabiyah negatif hanya akan menanam fanatisme kesukuan atau kepuakan secara membuta tuli.

Amalan sikap negatif ini boleh menghancurkan kestabilan sesebuah negara dalam sekelip mata. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menjawab soalan seorang lelaki tentang semangat asabiyah, dengan menyatakan bahawa asabiyah ialah apabila seseorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Baginda Rasulullah SAW sendiri menolak semangat asabiyah kerana hanya akan mengundang kehancuran dan keruntuhan. Dalam konteks pada hari ini, kita boleh melihat berlakunya banyak kemusnahan di dunia akibat perjuangan yang bersandarkan budaya semangat asabiyah jahiliyah.

Oleh itu, kita perlu mengambil iktibar untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku di negara ini dan hal itu dapat dicapai melalui penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu.  Kita akan melihat diri kita sebagai satu keluarga yang besar dan bukannya mengikut kaum ataupun etnik. Secara tidak langsung, jati diri yang tinggi dapat dipupuk dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Pemupukan jati diri melalui bahasa Melayu sangatlah penting dan memberikan kesan positif terhadap pembangunan negara. Satu daripada faktor yang dilihat oleh pihak pelabur asing sebelum melakukan pelaburan adalah berkaitan dengan kestabilan politik sesebuah negara. Para pelabur akan berasa lebih yakin untuk melabur atau menjalankan  kerjasama dengan rakyat tempatan sekiranya sesebuah negara itu stabil dari segi politiknya.

Perpaduan yang kukuh antara kaum menerusi bahasa Melayu juga sudah tentunya menyumbang besar terhadap kestabilan negara dan menggalakkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara. Hingga kini, Malaysia menerima tawaran pelaburan dari negara luar terutamanya dari Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, India dan lain-lain negara atas soal kestabilan politik.

Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa Melayu dapat merancakkan lagi perkembangan ekonomi negara, khasnya dalam sektor pelancongan. Kefasihan berbahasa Melayu oleh setiap rakyat Malaysia dapat menjentik hati orang luar untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat. Bukan sahaja sektor pelancongan negara berkembang maju, malah perkongsian informasi tentang Malaysia  dapat menarik minat para pelabur luar ke Malaysia.

Pendek kata, anak-anak muda seharusnya diterapkan tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai pemupuk jati diri bangsa Malaysia. Setiap pihak, bukan sahaja kerajaan, malah pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan perlu memainkan peranan masing-masing untuk menyemaikan semangat dan rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 

 

Pensyarah akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Kedah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.