Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat pada budi bahasa” (Raja Ali Haji) dan “Tanda orang berilmu, cakapnya tidak menyingkap malu” (Tenas Effendy) adalah dua ungkapan didaktik yang lahir daripada tokoh hebat bahasa dan budaya Melayu yang menyeru agar masyarakat sentiasa mengekalkan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian.
Sebagai bangsa yang bertamadun, perilaku dan pertuturan adalah perkara yang penting untuk dibajai dengan aura positif dan penuh dengan kebaikan agar tidak menyinggung perasaan dan memberi aib kepada pihak lawan berbicara. Secara umumnya, kesantunan berbahasa merujuk prosedur berbahasa yang merangkumi penggunaan bahasa yang baik dan sopan, mempunyai adab serta memancarkan keperibadian yang mulia. Jika prosedur tersebut tidak ditepati dan menyalahi norma masyarakat, maka individu tersebut akan digelar sebagai kurang santun atau kurang adab.
Kesantunan berbahasa dapat dibahagikan kepada dua lingkungan penggunaannya, iaitu rasmi dan tidak rasmi. Lingkungan rasmi merangkumi bentuk majlis seperti majlis perasmian, majlis pelancaran, majlis santapan diraja dan majlis menandatangani perjanjian serta yang berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu tugas yang meliputi surat-menyurat rasmi, mesyuarat, ceramah, dialog, forum, seminar dan persidangan dan taklimat.
Sementara lingkungan penggunaan tidak rasmi pula bersifat persendirian, peribadi dan tidak berkaitan dengan kepentingan kerajaan dan institusi lain. Misalnya perbualan, perbincangan biasa, gurau senda, dan catatan peribadi. Pembahagian lingkungan ini bertujuan agar setiap masyarakat memahami penggunaan bahasa yang sesuai, ragam dan gaya bahasa pada kedua-dua konteks yang berlainan.
Tidak dinafikan, kesantunan berbahasa dapat mewujudkan suatu pendekatan harmoni kerana adanya sikap individu yang berpendirian untuk memelihara dan menjaga tatasusila semasa berkomunikasi antara satu sama lain. Ujaran bahasa yang baik dengan perilaku yang sopan serta intonasi yang sesuai akan dapat mencegah daripada berlakunya konflik atau mencetuskan situasi ketidakselesaan. Dengan amalan kesantunan berbahasa, semangat perpaduan antara masyarakat akan menjadi utuh dan lebih menghargai kehidupan yang sejahtera.
Walau bagaimanapun, sejak belakangan ini, kesantunan berbahasa menjadi perbualan hangat apabila terdapat segelintir masyarakat yang sudah tidak lagi mementingkan aspek tersebut terutamanya semasa berkomunikasi. Di pejabat, segelintir petugas yang diamanahkan menyambut panggilan daripada pemanggil kadang kala mempromosikan budaya santun yang negatif dengan sifat suara yang hambar dan mendatar, penggunaan kata-kata kasar dan tiada kemesraan yang membawa persepsi tidak baik kepada keseluruhan organisasi tersebut. Bak kata pepatah, “Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit”, iaitu disebabkan perbuatan seseorang, yang lain terkena akibatnya.
Dalam hal ini, pihak pengurusan perlu cakna dengan aduan yang diterima daripada pihak pelanggan dan dicadangkan agar mengambil inisiatif dengan mengenakan merit penolakan markah kepada pekerja yang kerap kali diadukan. Program seperti “cakna bahasa” yang membincangkan santun bahasa perlu kerap diadakan untuk memberikan kesedaran kepada pekerja betapa pentingnya mengamalkan kesantunan berbahasa dalam konteks pekerjaan.
Pembinaan sahsiah daripada rumah juga adalah satu proses penting untuk membentuk personaliti anak-anak. “Ke mana tumpah hujan dari bumbung, kalau tidak ke cucuran atap”. Anak-anak yang mewarisi sifat daripada ibu bapanya perlu dididik menerusi kaedah santun bahasa yang merangkumi verbal, bukan verbal dan juga dalam bentuk penulisan secara berterusan.
Misalnya, kaedah penerapan menghormati ibu bapa dan orang di luar persekitaran, mengajar anak-anak memilih perkataan yang baik semasa berkomunikasi dan memberikan contoh pada situasi persekitaran yang berlaku agar anak-anak dapat membezakan perkara yang santun atau sebaliknya.
Selain itu, kekerapan mengawal selia aktiviti anak-anak yang melayari media sosial juga perlu dilakukan kerana anak-anak mudah terdedah dengan pelbagai bentuk media komunikasi yang secara tidak langsung mampu mempengaruhi kesantunan berbahasa golongan ini.
Justeru itu, dengan penerapan kaedah sebegini akan dapat membimbing anak-anak menjadi generasi yang kalis dan mampan daripada “pengaruh kuning” yang acapkali berusaha menerobos benteng kesantunan berbahasa anak-anak muda Malaysia MADANI.
Bagi mengukuhkan keharmonian antara masyarakat, sememangnya terdapat langkah memelihara kesantunan berbahasa. Antaranya, amalan eufemisme dalam komunikasi. Penggunaan perkataan eufemisme ini akan dapat mentransformasikan perkataan asal yang bernada kasar atau kesat kepada kata-kata yang halus dan manis apabila didengar oleh pendengar atau lawan berbicara.
Misalnya, anak gajah yang ditujukan kepada individu yang berbadan besar, frasa tabu dalam masyarakat seperti “anak dara tua” perlu digantikan kepada bulan kesiangan dan begitu juga dengan frasa “janda” kepada ibu tunggal. Frasa eufemisme ini secara langsung berperanan menjaga perasaan dan maruah individu tertentu bagi mengelakkan perselisihan serta mencemarkan maruah dan menjatuhkan keyakinan diri golongan tersebut semasa bermasyarakat.
Selain itu, penggunaan bahasa terbalik atau bahasa berlawanan daripada perkara yang ingin dikatakan juga adalah satu langkah untuk mengekalkan kesantunan berbahasa. Satu daripada manfaatnya adalah untuk menjaga air muka seseorang menerusi ungkapan frasa yang bertujuan menegur secara berkias.
Pendengar yang menerima mesej teguran tersebut dapat memahaminya dan sekali gus tidak tersinggung malahan ada juga situasi yang mencuit hati atas perbuatan sendiri ibarat terkena batang hidung sendiri. Bahasa terbalik jika dapat mengekalkan momentumnya dalam kesantunan berbahasa akan dapat mengakrabkan lagi sesebuah hubungan.
Sebagai contoh, perkataan “rajin” yang berantonim dengan sikap malas dapat diterima dengan hati terbuka. Begitu juga dengan kesantunan berbahasa yang menggunakan kata-kata eulogi untuk memberikan penghargaan sama ada terhadap pencapaian kerjaya ataupun akademik seseorang. Hal ini secara langsung akan memotivasikan individu tersebut untuk terus cemerlang.
Namun begitu, ada juga pujian yang digunakan dengan tujuan menyindir dan menyinggung perasaan seseorang secara sedar. Sebaik-baiknya, hal ini perlu dielakkan kerana menyebabkan kerencatan dalam kesantunan berbahasa.
Selain itu, kita perlu sentiasa berwaspada dengan pergerakan anggota badan kerana kesantunan berbahasa bukan sahaja terletak pada lisan tetapi juga dalam bentuk bukan lisan. Isyarat tangan, ekspresi wajah, dan gerakan badan perlu seiring dengan lisan yang baik kerana tanpa kita sedari, perilaku yang dipamerkan sama ada dengan sengaja mahupun tidak sengaja mampu menyakitkan hati orang lain dan memberikan ruang kepada tafsiran yang pelbagai.
Dalam hal ini, tidak menjadi suatu kerugian jika menjadikan cermin sebagai “rakan baik” bagi melihat pergerakan anggota badan yang sesuai dan menyerlahkan kesantunan berbahasa yang ideal.
Keanekaragaman wajah kesantunan berbahasa di Malaysia adalah kerana adanya amalan budaya masyarakat majmuk MADANI atau pluralistik. Setiap bangsa mempunyai kesantunan berbahasa masing-masing namun hal tersebut tidak menyebabkan keterasingan antara kita, malahan menjadi penguat kepada perpaduan kerana adanya sikap saling memahami. Justeru itu, bagi memastikan keharmonian ini terus berlangsung, kita perlu bersama-sama memastikan bahawa kesantunan berbahasa sentiasa dalam dakapan ketika berkomunikasi.
Saya tidak menanam nanas,
Tanam kepaya di dalam padi;
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.
(Santun Berbahasa: Awang Sariyan)