Oleh Kho Thong Eng
1 Ogos 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata bilangan dalam bahasa Melayu meliputi kata bilangan tentu atau kardinal, kata bilangan tak tentu, kata bilangan himpunan, kata bilangan pisahan, kata bilangan pecahan dan kata bilangan tingkat atau ordinal. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia membeli dua kaki payung.

1b.  Semua tetamu hadir.

1c.  Beratus-ratus orang calon peperiksaan lulus.

1d.  Tiap-tiap orang perlu berdisiplin.

1e.  Setengah kek telah dimakannya.

1f.   Dia mendapat hadiah tempat ketiga.

Dalam ayat 1a, kata dua ialah kata bilangan tentu atau kardinal. Dalam ayat 1b, kata semua ialah kata bilangan tak tentu. Dalam ayat 1c, kata beratus-ratus ialah kata bilangan himpunan. Dalam ayat 1d, kata tiap-tiap ialah kata bilangan pisahan. Dalam ayat 1e, kata setengah ialah kata bilangan pecahan. Dalam ayat 1f, kata ketiga ialah kata bilangan tingkat atau ordinal.

Bilangan dapat dinyatakan dalam bentuk angka atau nombor sebagai lambangnya atau ditulis penuh sebagai perkataan. Dalam hal ini, lambang yang digunakan di Malaysia merangkumi angka Arab dan angka Rumawi. Contoh angka Arab ialah 0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 2.5, 2/3 dan sebagainya. Contoh nombor Rumawi ialah I, II, III, IV, V, VI, VII, VIII, IX, X, L (50), C (100), D (500), M (1000) dan seterusnya. Dalam hal ini, nombor Rumawi mewakili nombor kardinal dan nombor ordinal sekali gus.

Pada peringkat antarabangsa, terdapat pelbagai panduan penomboran yang diamalkan. Panduan itu meliputi gaya APA (American Psychological Association) untuk bidang pendidikan, psikologi dan sains, gaya MLA (Modern Language Association) untuk bidang kemanusiaan, dan gaya Chicago/Turabian untuk bidang perniagaan, sejarah dan seni halus secara umumnya. Ada negara yang mengikut gaya antarabangsa sepenuhnya, dan ada yang membuat pengubahsuaian tertentu.

Di Malaysia, panduan tentang tatacara penulisan kata bilangan dan angka ada dinyatakan dalam buku Gaya Dewan Edisi Ketiga Cetakan Keempat (2022). Selain itu, terdapat juga amalan antarabangsa penomboran yang diikuti atau di ubah suai.

Dalam penulisan karangan, angka satu digit harus dieja penuh. Hal ini meliputi angka 0,1,2,3,4,5,6,7,8 dan 9. Bagi angka dua digit ke atas, angka boleh kita gunakan. Contohnya ialah angka 10, 25, 125, 1,253 dan 12,525. Bagi angka yang mencecah seribu ke atas, koma atau ruang kosong digunakan untuk memisahkan setiap tiga digit angka. Contohnya ialah 10,000 atau 10 000. Bagi angka besar yang mencecah satu juta ke atas, kata atau kombinasi angka dan kata digunakan. Contohnya ialah dua juta atau 2 juta, 25 bilion, tiga trilion atau 3 trilion dan seterusnya.

Dalam hal ini, pemilihan angka atau kata bergantung pada hal sama ada penggunaan bentuk tertentu memudahkan sesuatu kata bilangan itu ditulis, dibaca dan dikenali dengan cepat. Oleh sebab itu, bagi angka yang hanya dapat dinyatakan dengan tiga perkataan ke atas, angka harus kita gunakan. Walau bagaimanapun, pada awal ayat, penggunaan angka dielakkan. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  *15 orang murid menerima hadiah.

2b.  Seramai 15 orang murid menerima hadiah.

Bagi tarikh, hari dan tahun ditulis dengan angka, manakala bulan ditulis penuh. Contohnya ialah 15 Januari 2023. Namun demikian, kita mengelakkan penulisan angka pada awal ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  *2023 menyaksikan kemajuan ekonomi yang pesat.

3b.  Pada tahun 2023, berlaku kemajuan ekonomi yang pesat.

3c.  Kemajuan ekonomi yang pesat berlaku pada tahun 2023.

 

4a.  *22 Januari 2023 ialah tarikh Tahun Baharu Cina.

4b.  Pada tarikh 22 Januari 2023, sambutan Tahun Baharu Cina diadakan.

4c.  Tahun Baharu Cina jatuh pada 22 Januari 2023.

 

Bagi kata bilangan tingkat atau ordinal, tatacara yang sama dengan kata bilangan kardinal dituruti. Contohnya, kita menulis kata pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan, tetapi ke-10, ke-25, ke- 125 dan seterusnya. Selain itu, kita boleh menggunakan angka Rumawi seperti I, II, III, IV, V, VI, VII, VIII, IX, X tanpa awalan ke- sebagai kata bilangan ordinal. Ada kalanya kita ada pilihan dari segi cara penyataan kata bilangan tingkat atau ordinal, iaitu sama ada dalam bentuk perkataan, angka Arab atau angka Rumawi. Contohnya ialah Perang Dunia Kedua, Perang Dunia ke-2 atau Perang Dunia II. Dalam hal ini, bilangan ordinal ke-2 boleh ditulis dengan bentuk angka kerana rangkaian kata Perang Dunia Ke-2 bukannya ayat, tetapi kata nama majmuk.

Jika angka digunakan untuk menyatakan nilai wang, angka harus dirapatkan dengan simbol yang berada di hadapannya, tetapi dijarakkan daripada kata yang menyusulinya. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  *Dia diberi wang RM 50.

5b.  Dia diberi wang RM50.

5c.  Dia diberi wang 50 ringgit.

Jika angka digunakan dengan simbol atau singkatan, bacaannya haruslah dalam bahasa Melayu. Contohnya, penyakit H1N1 harus kita baca sebagai penyakit [h satu n satu], bukan penyakit [h one n one].

Bagi kata bilion, maksud skala pendeknya (short scale) ialah “seribu juta (1 000 000 000)”, tetapi maksud skala panjangnya (long scale) ialah “satu juta juta (1 000 000 000 000)”. Kini, kebanyakan negara menggunakan maksud skala pendek untuk kata bilion, iaitu “seribu juta”.

Bagi kata nama khas yang bukan ayat, kita boleh menyatakan nombor satu digit dalam bentuk angka atau kata. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia belajar dalam kelas Tingkatan Tiga Maju.

6b.  Dia Belajar dalam kelas Tingkatan 3 Maju.

Bagi menyatakan zaman, angka dan akhiran -an digunakan. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Fesyen itu popular pada zaman 1970-an.

Biasanya bilangan yang umum atau mudah ditulis penuh tetapi bilangan yang lebih khusus atau lebih terperinci ditulis dengan angka. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Kertas peperiksaan itu mengambil masa dua jam.

8b.  Kertas peperiksaan itu mengambil masa 2 jam 45 minit.

 

9a.  Dia membeli lima helai baju.

9b.  Jawapan bagi soalan Matematik itu ialah 5.39.

 

10a.  Dua pertiga pendapatannya disimpan.

10b.  Jawapan bagi soalan Matematik itu ialah 13/50.

 

11a.  Kira-kira dua ratus orang tetamu hadir.

11b.  Bilangan hadirin ialah 264.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.