Oleh Kho Thong Eng
7 Ogos 2023, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penerang ialah kata, frasa atau klausa yang memberikan maklumat tambahan kepada inti frasa nama. Penentu juga merupakan penerang, tetapi fungsinya berbeza sedikit daripada penerang lain. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia membeli kereta mewah.

1b.  Dia membaca buku rujukan.

 

2a.  Dia membeli dua kaki payung.

2b.  Dia sudah membaca buku ini.

2c.  Dia hendak membeli buku itu.

 

Dalam kelompok ayat 1, kata mewah ialah penerang adjektif kepada inti frasa nama kereta, manakala kata rujukan ialah penerang nama kepada inti frasa nama buku. Dalam kelompok ayat 2 pula, kata bilangan tentu dua dan penjodoh bilangan kaki ialah penerang hadapan frasa nama dua kaki payung, manakala kata ganti nama tunjuk ini dan itu merupakan penentu belakang frasa nama buku ini dan buku itu.

Perbezaan antara penerang dengan penentu adalah seperti yang berikut:

  1.  Tiada penerang yang boleh berada di hadapan penentu hadapan (frontdeterminer).
  2.  Tiada penerang yang boleh berada di belakang penentu belakang (back determiner).

 

Penerang hadapan meliputi pelbagai kata bilangan dan penjodoh bilangan. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia makan dua biji pisang.

3b.  Beberapa orang atlet pengsan.

3c.  Beratus-ratus orang tetamu hadir.

3d.  Tiap-tiap orang harus berdisiplin.

3e.  Sesetengah orang tidak suka makan durian.

 

Dalam ayat 3a, tiada sebarang penerang lain yang boleh mendahului kata bilangan tentu (kardinal) dua dan penjodoh bilangan biji yang menjadi penentu hadapan kepada frasa nama dua biji pisang. Dalam ayat 3b, tiada sebarang penerang lain yang boleh mendahului kata bilangan tak tentu beberapa dan penjodoh bilangan orang yang menjadi penentu kepada frasa nama beberapa orang atlet.

Dalam ayat 3c, tiada sebarang penerang lain yang boleh mendahului kata bilangan himpunan beratus-ratus dan penjodoh bilangan orang yang menjadi penentu hadapan kepada frasa nama beratus-ratus orang tetamu. Dalam ayat 3d, tiada sebarang penerang lain yang boleh mendahului kata bilangan pisahan tiap-tiap yang menjadi penentu hadapan kepada frasa nama tiap-tiap orang. Dalam ayat 3e, tiada sebarang penerang lain yang boleh mendahului kata bilangan pecahan setengah-setengah yang menjadi penentu hadapan kepada frasa nama sesetengah orang.

 

4a.  Baju ini berharga tinggi.

4b.  Bot itu menuju ke arah kita.

Dalam ayat 4a, tiada sebarang penerang lain yang boleh menyusuli kata ganti nama tunjuk ini yang menjadi penentu belakang kepada frasa nama baju ini. Dalam ayat 4b pula, tiada sebarang penerang lain yang boleh menyusuli kata ganti nama tunjuk itu yang menjadi penentu belakang kepada frasa nama bot itu.

Kata bilangan yang menjadi penentu hadapan frasa nama menyatakan bilangan benda, orang atau perkara yang berkaitan dengan inti frasa nama, manakala kata ganti nama tunjuk yang menjadi penentu belakang frasa nama menentukan identiti benda, orang atau perkara yang diperkatakan atau ditulis.

Selain penentu hadapan dan penentu belakang, ada sebilangan penentu (determiner) lain yang boleh diselitkan di antara inti kata nama dengan penentu belakang ini dan itu. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Baju saya ini sudah kotor.

6b.  Rumah awak itu masih elok.

 

7a.  Rumah kedua ini sudah bocor.

7b.  Dia memilih calon ketiga itu.

 

8a.  Sila baca ayat berikut ini.

8b.  Bacalah petikan seterusnya itu.

8c.  Salinlah ayat sebelumnya/terdahulu itu.

 

  1.  Penjenayah tersebut itu sudah dijatuhi hukuman.

 

Dalam kelompok ayat 6, terdapat kata ganti nama diri saya dan awak yang menjadi penentu milik (possessive determiner) kepada kata nama baju dan rumah. Dalam kelompok ayat 7, terdapat kata bilangan ordinal kedua dan ketiga yang menjadi penentu urutan (sequential determiner) kepada kata nama rumah dan calon. Dalam kelompok ayat 8, terdapat pelbagai kata penentu urutan seperti berikut, seterusnya dan sebelumnya/terdahulu yang mendahului kata penentu belakang ini atau itu. Dalam ayat 9, terdapat kata penentu pelaporan (reporting determiner) tersebut yang mendahului kata penentu belakang itu.

Bagi penentu lain dalam kelompok ayat 6 hingga 9, biasanya penentu belakang ini dan itu digugurkan, tetapi identiti benda, orang atau perkara yang dimaksudkan masih jelas berdasarkan wacana komunikasi dan situasi sosialnya.  Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Baju saya sudah kotor.

10b.  Rumah awak masih elok.

10c.  Rumah kedua sudah bocor.

10d.  Dia memilih calon ketiga .

10e.  Sila baca ayat yang berikut.

10f.   Bacalah petikan seterusnya.

10g.  Salinlah ayat sebelumnya/terdahulu.

10h.  Penjenayah tersebut sudah dijatuhi hukuman.

 

Selain kata penentu lain, kata penerang boleh mengiringi kata penentu hadapan atau belakang. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia makan dua biji pisang embun.

11b.  Beberapa orang atlet tua telah pengsan.

 

12a.  Bacalah perenggan pendek ini.

12b.  Baju import itu berharga tinggi.

Dalam ayat 11a, penerang nama embun mengiringi penentu hadapan dua biji dan inti frasa nama pisang. Dalam ayat 11b, penerang adjektif tua mengiringi penentu hadapan beberapa orang dan inti frasa nama atlet. Dalam ayat 12a, penerang adjektif pendek mengiringi penentu belakang ini dan inti frasa nama perenggan. Dalam ayat 12b, penerang nama import mengiringi penentu belakang itu dan inti frasa nama baju.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.