Oleh Kho Thong Eng
15 Ogos 2023, 13:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang menggabungkan dua atau lebih klausa setara untuk membentuk ayat majmuk gabungan. Dalam hal ini, kata hubung gabungan dapat kita analisis dari segi fungsinya dan bentuknya. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia membeli ikan dan sayur.

1b.  Dia sihat lagi cergas.

1c.  Ali dan Ahmad, serta kawan-kawan mereka menyertai perkhemahan.

1d.  Baik Ali mahupun Ahmad suka membaca buku.

1e.  Baik Ali ataupun Ahmad suka membaca buku.

Kelompok ayat majmuk 1 menunjukkan maklumat yang bergandingan. Contoh kata hubungnya ialah kata hubung tunggal dan, lagi dan serta. Contoh kata hubung berpasangan ialah baik … mahupun dan baik … ataupun.

 

2a.  Dia memandu kereta sambil mendengar radio.

2b.  Dia mandi seraya menyanyi.

Kelompok ayat majmuk 2 menunjukkan perbuatan yang serentak. Contoh kata hubung ialah sambil dan seraya.

 

3a.  Dia balik lalu berehat.

3b.  Dia bangun, kemudian bersarapan.

3c.  Mula-mula dia minum air, kemudian dia makan nasi, akhirnya dia makan buah.

3d.  Pertama dia mencuci baju, kedua dia menjemurnya, dan ketiga dia melipatnya.

Kelompok ayat majmuk 3 menunjukkan hubungan urutan. Contoh kata hubungnya ialah kata hubung tunggal lalu dan kemudian, dan kata hubung kelompok mula-mula …kemudian … akhirnya, dan pertama … kedua … ketiga.

 

4a.  Dia kaya tetapi kedekut.

4b.  Dia cantik, namun sombong.

4d.  Dia menyanyi manakala adiknya menari.

4e.  Dia peramah, sebaliknya suaminya pendiam.

Kelompok ayat majmuk 4 menunjukkan maklumat yang bertentangan. Contoh kata hubungnya ialah tetapi, namun, manakala dan sebaliknya.

 

5a.  Dia pemurah, bahkan penyayang.

5b.  Dia tiada kerja, tambahan pula tiada tempat tinggal.

5c.  Dia berat mulut, justeru berat tangan.

6a.  Tempat itu bukan sahaja jauh, malahan tiada kemudahan asas.

6b.  Dia bukan sahaja pemarah, bahkan pendendam.

6c.  Jalan itu bukan sahaja sempit, tetapi berliku-liku juga.

Kelompok ayat majmuk 5 dan 6 menunjukkan maklumat yang ditegaskan. Contoh kata hubung tunggal dan majmuknya ialah bahkan, tambahan pula dan justeru. Contoh kata hubung berpasangannya ialah bukan saja … malahan, bukan sahaja … bahkan dan bukan sahaja … tetapi juga.

 

7a.  Dia mungkin ke Melaka atau ke Pulau Pinang.

7b.  Adakah dia akan ke Melaka atau ke Pulau Pinang?

7c.  Pilihannya sama ada baju ini atau baju itu.

Kelompok ayat majmuk 7 menunjukkan pilihan. Contoh kata hubung tunggalnya ialah atau. Contoh kata hubung berpasangannya ialah adakah … atau dan sama ada … atau.

 

8a.  Dia guru, iaitu dia pendidik kepada generasi muda.

8b.  Dia polis, yakni dia anggota keselamatan negara.

Kelompok ayat majmuk 8 menunjukkan penjelasan maklumat. Contoh kata hubung tunggalnya ialah iaitu dan yakni.

 

9a.  Semakin dia diberi muka, semakin dia nakal.

9b.  Makin dia diberi muka, makin dia nakal.

Kelompok ayat majmuk 9 menunjukkan ciri permakinan. Contoh kata hubung berpasangannya ialah semakin … semakin dan makin … makin.

 

  1.  Lebih baik kita berusaha daripada kita bermalas-malas.

Ayat majmuk 10 menunjukkan perbandingan antara dua perkara. Kata hubung berpasangannya ialah lebih baik … daripada, atau daripada … lebih baik.

 

  1.  Jangankan dia bergaul dengan kita, bertegur sapa pundia tidak mahu.

Ayat majmuk 11 menunjukkan penafian dua perkara sekali gus. Kata hubung berpasangannya ialah jangankan … pun.

Ada antara unsur dalam ayat majmuk boleh diubah kedudukannya tanpa mengubah struktur atau maksud ayat, dan ada yang tidak boleh dibuat demikian. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Ali dan Ahmad suka berenang.

12b.  Ahmad dan Ali suka berenang.

 

13a.  Dia memandu kereta sambil mendengar muzik.

13b.  Sambil mendengar muzik, dia memandu kereta.

 

14a.  Lebih baik kita berusaha daripada kita bermalas-malas.

14b.  Daripada kita bermalas-malas, lebih baik kita berusaha.

14c.  *Lebih baik kita bermalas-malas daripada kita berusaha.

14d.  *Daripada kita berusaha, lebih baik kita bermalas-malas.

 

15a.  Dia suka makan aiskrim tetapi adiknya suka makan agar-agar.

15b.  *Tetapi adiknya suka makan agar-agar, dia suka makan aiskrim.

 

Bagi kelompok ayat 12, kedudukan kata nama Ali dan Ahmad dapat saling ditukar ganti (lihat ayat 12b). Dalam kelompok ayat 13, kedudukan kata hubung sambil dengan klausa gabungan (dia) mendengar muzik boleh dipindahkan ke awal ayat (lihat ayat 13b). Dalam kelompok ayat 14, kedudukan klausa daripada kita bermalas-malas boleh dialihkan ke awal ayat (lihat ayat 14b) tetapi klausa kita bermalas-malas dan kita berusaha tidak boleh saling berpindah tempat (lihat ayat 14c dan 14d) kerana maksud ayatnya kurang logik. Dalam kelompok ayat 15, kata hubung tetapi dan klausa adiknya suka makan agar-agar tidak boleh dipindahkan ke awal ayat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.