16 Ogos 2023, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aktiviti pendakian semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pendaki, malah meningkatkan rangkaian sosial bagi individu yang mempunyai hobi yang sama, sekali gus menyediakan medium interaksi dengan dunia luar. Interaksi ini boleh berlaku dalam pelbagai peringkat umur kerana aktiviti pendakian ini terbuka pada semua peringkat umur.

Dalam kelompok pendaki ini, ada slanga yang biasa digunakan. Penulisan ini memaparkan sebahagian slanga yang biasa digunakan dalam kalangan pendaki yang melibatkan peranan dan tugas, laluan, ketahanan, tingkah laku, kecederaan dan peralatan. Slanga ini ada yang menggunakan kata dalam bahasa Melayu dan ada juga yang menggunakan kata dalam bahasa Inggeris.

Setiap slanga ini memerlukan perhatian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengemukakan istilah yang tepat bagi menggambarkan setiap perkara yang terdapat dalam aktiviti pendakian ini. Sekiranya terdapat slanga yang akan dipaparkan ini sesuai diangkat sebagai istilah yang rasmi atau ada padanan istilah yang lebih tepat, DBP seharusnya menguar-uarkannya kepada masyarakat.

Dari segi peranan dan tugas, terdapat kekeliruan dan ketidakpastian dalam penggunaan istilah peranan kelompok yang memimpin aktiviti pendakian. Dalam aktiviti ini, terdapat peranan pengelola atau lebih dikenali sebagai “gogo”.

Pengelola ini berperanan untuk mengetuai seluruh aktiviti ini bermula dari sebelum pendakian sehingga selesai aktiviti pendakian dan pendaki selamat tiba di tempat masing-masing. Pengelola ini akan menyediakan permit, kewangan, kenderaan, menu, mencari line up (peserta) dan menyelesaikan masalah line up.

Golongan yang mahir tentang sesuatu tempat yang akan menunjukan arah trek pula dikenali sebagai “guide/maling/leader”, manakala pemandu yang akan menemani pendaki dalam pendakian dikenali sebagai “kru”. Golongan yang bertugas untuk memberikan laporan atau memberikan maklumat penting kepada pendaki sebelum mendaki dikenali sebagai “ranger”.

Oleh sebab tahap kelajuan setiap pendaki berbeza-beza, gelarannya juga berbeza-beza. Pendaki yang berada di hadapan dan meninggalkan guide dengan sebab tertentu dikenali sebagai  “shooter”. Kelompok ini golongan yang paling hebat mendaki atau dikenali sebagai “padu”. Sebaliknya, golongan yang tiada atau kurang ilmu dan pengalaman pendakian pula dikenali sebagai “nubis”.

Ketika pendakian, kadangkala pendaki memerlukan orang lain untuk membantunya mengangkat barang. Orang yang membantu pendaki ini dikenali sebagai “porter/tanker”. Bagi tempoh pendakian yang panjang, ada orang yang bertanggajawab untuk memastikan menu dimasak pada waktunya untuk semua pendaki dan kru. Orang itu dikenali sebagai cef. Jika pendaki ingin memasak sendiri, pendaki tersebut perlu membawa nesting (peralatan memasak).

Kelompok terakhir dalam sesebuah pendakian ialah sweeper. Kelompok ini ialah orang yang bertugas untuk menjaga pendaki lain agar tidak terpisah daripada rombongan. Biasanya, sweeper berada yang paling belakang dalam rombongan.

Dari segi laluan, sebelum memulakan pendakian, semua pendaki perlu berkumpul di starting point (tempat berkumpul) untuk mendengar taklimat awal. Pada waktu itu, pendaki akan mengetahui, sama ada laluan yang akan didaki merupakan laluan santai (trek biasa/rata), laluan pacak (trek curam yang berterusan/laluan tidak mudah) atau laluan lunyai (trek tidak mudah dilalui).

Pelbagai pilihan digunakan oleh pendaki. Kadangkala, pendaki memilih situasi loop, iaitu membuat jalan lain. Contohnya, membuat bulatan untuk kembali ke tempat yang sama. Kadangkala, pendaki melakukan repeat(naik ke tempat yang sama) atau reverse (laluan terbalik kerana tidak mengikut laluan biasa/laluan peta). Yang penting, akhirnya semua pendaki akan mencapai tujuan yang sama, iaitu tiba di summit attack (puncak).

Dari segi ketahanan, setiap pendaki mempunyai ketahanan yang berbeza-beza. Sepanjang pendakian, setiap pendaki mempunyai pace (kelajauan) yang berbeza-beza bergantung pada stamina (daya tahan atau keupayaan untuk mendaki) masing-masing.

Tambahan lagi, sekiranya laluan yang dipilih itu laluan yang sukar, seseorang pendaki perlu panjat (mendaki) menggunakan teknikal (menggunakan dua-dua tangan dan kaki). Bagi seseorang yang fit (mempunyai kecerdasan mendaki), perkara ini bukanlah suatu masalah.

Sebaliknya, jika kurang fit, pendaki akan mengalami pewai/pancit/pangkok (penat) di pertengahan pendakian. Oleh itu, pendaki perlu bijak memilih, sama ada ingin hiking/trekking (mendaki bermalam dan panjang), day pack (satu hari sahaja) atau overtime (mendaki apabila jam sudah menunjukkan pukul 7.00 malam).

Dari segi tingkah laku, setiap pendaki mempunyai kepuasan tersendiri ketika mendaki, tetapi kebanyakannya berasa gian (ketagih) sekiranya sudah lama tidak melakukan aktiviti itu. Pendakian bermula apabila pendaki “angkat sauh” (memulakan pendakian).

Ketika pendakian, pendaki akan “layan” (menikmati kehijauan alam) kerana pemandangannya yang lawa (indah). Pada masa yang sama, pendaki boleh healing (penyembuhan, melayan perasaan) atau sidai (melepak). Selain itu, pendaki perlu berhati-hati supaya tidak berada dalam situasi “tengok burung” (tersalah jalan/simpang) atau hipo (hipotermia).

Dari aspek kecederaan yang boleh berlaku, pendaki perlu berhati-hati pada setiap masa dan tidak terlalu push (paksa) diri sendiri untuk mengikut pace pendaki lain. Akibat kecuaian sendiri atau mendaki terlalu lama atau tidak membuat stretching (regangan sebelum mendaki) pula, pendaki mungkin boleh mengalami cramp (kekejangan pada angggota badan).

Kesilapan menggunakan teknik mendaki juga akan memberikan kesan kepada pendaki pada tempoh masa yang panjang, seperti “makan lutut” (lutut jadi sakit), “tangkap biawak” (jatuh tergelincir) atau capless (tergelincir).

Dari aspek peralatan, pendaki perlu mempertimbangkan bajet, kualiti dan keselesaan barang dalam pendakian. Antara peralatan yang diperlukan termasuklah pole trekking (tongkat hiking),  head lamp (lampu yang diletakkan di kepala), hammock (buaian), windbreaker (baju hujan), carrier (beg berukuran antara 30 liter–100 liter) dan beberapa peralatan lain yang bersesuaian bergantung pada jenis trek.

Kesimpulannya, aktiviti pendakian bukan sahaja bermanfaat dari aspek fizikal seseorang pendaki, malah membuka ruang untuk terciptanya pelbagai slanga yang kadangkala hanya difahami oleh kelompok pendaki sahaja. DBP pula harus lebih proaktif untuk memantau setiap slanga yang terbentuk ini. Mana-mana slanga yang sesuai diangkat sebagai istilah rasmi dalam aktiviti pendakian ini haruslah diterima. Jika ada padanan istilah yang lebih baik dan tepat, maka DBP perlulah mencadangkan istilah tersebut kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.