Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMenjelang pilihan raya, kebanyakan calon dan parti yang bertanding akan berkempen dan mengeluarkan manifesto masing-masing dan situasi ini akan bertambah rancak selepas hari penamaan calon. Namun begitu, yang menjadi isunya ialah kebanyakan parti meminggirkan nasib orang kelainan upaya (OKU) yang bermasalah pendengaran sedangkan manusia sebenarnya lebih mudah berkomunikasi menggunakan pertuturan berbanding dengan penulisan terutamanya dalam komunikasi seharian.
Golongan OKU di Malaysia terutamanya golongan yang bermasalah pendengaran menggunakan isyarat bagi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) sebagai cara berkomunikasi. Dalam usaha menyantuni golongan ini, sewajarnya parti politik khususnya dan masyarakat Malaysia amnya, sedikit banyak mempelajari BIM dan KTBM sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka.
Bahasa isyarat merupakan suatu bentuk komunikasi yang unik kerana mempunyai ciri yang tersendiri baik dari segi bahasa, bangsa, budaya, agama, lokasi dan geografi. Setiap negara di dunia mempunyai bahasa isyarat yang berbeza-beza antara satu negara dengan negara yang lain.
Contohnya, Bahasa Isyarat British (BSL), Bahasa Isyarat New Zealand (NZSL) dan Bahasa Isyarat Amerika (ASL). Menurut Ronnie Wilbur dalam kajiannya yang bertajuk “Changing How We Think about Sign Language, Gesture and Agreement”, bahasa isyarat boleh digunakan oleh komuniti yang mempunyai masalah dalam bertutur, komuniti yang tidak boleh mempelajari bahasa melalui pertuturan dan komuniti yang tidak boleh mendengar.
Hal ini demikian kerana bahasa isyarat mampu memudahkan dan melancarkan komunikasi golongan kurang upaya pendengaran (GKUP) selain memberikan peluang kepada mereka untuk meluahkan rasa, pendapat dan idea.
Steven Loughran dalam kajiannya yang bertajuk “Cultural Identity, Deafness and Sign Language: A Postcolonial Approach” pula menyatakan bahawa keunikan bahasa isyarat dapat dilihat apabila timbul bentuk atau simbol tangan yang memberikan makna terhadap sesuatu keadaan. Bahkan, bahasa badan dan ekspresi muka menjadi daya tarikan dan intonasi dalam penggunaan setiap bahasa isyarat.
Di Malaysia, komuniti GKUP didedahkan dengan kod BIM dan kod KTBM. BIM merupakan bahasa rasmi GKUP dan termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008. Umumnya, BIM lebih terarah kepada percakapan harian manakala KTBM pula lebih banyak digunakan dalam situasi rasmi.
Menurut Mohamed Sazali Shaari dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Budaya Orang Kurang Upaya Pendengaran”, BIM digunakan dalam komunikasi GKUP seharian dan merupakan lambang identiti komuniti ini di Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya serta tidak terpengaruh daripada unsur luar yang lain. Statistik pendaftaran OKU pendengaran di Malaysia pula ialah sebanyak 40 743 orang yang melibatkan golongan dewasa dan kanak-kanak hingga 31 Disember 2021.
GKUP melahirkan kekecewaan mereka kerana tiadanya jurubahasa isyarat (JBI) yang mampu menjadi penghubung komunikasi bagi mereka mengetahui dan mendapatkan maklumat terkini perkembangan senario politik negara terutamanya sepanjang berlangsungnya pilihan raya.
Hal ini demikian kerana parti politik dan calon yang bertanding dalam pilihan raya dilihat masih tidak begitu menekankan kepentingan menyediakan akses maklumat yang menyeluruh kepada golongan tersebut sebagai pengundi.
Menurut Pemangku Pengarah Eksekutif Bersih, Ngeow Chow Ying, situasi itu menyebabkan ramai dalam kalangan mereka tidak begitu berminat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Hal ini kerana mereka tiada maklumat mencukupi terutamanya dari aspek manifesto dan maklumat calon sedangkan mereka juga sebahagian daripada pemilih yang menentukan arah tuju kepimpinan negara dan mereka juga ingin merasai keterujaan fenomena tersebut.
Walau bagaimanapun, setelah isu ini hangat diperkatakan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, kerajaan dilihat semakin cakna dengan keperluan bahasa isyarat oleh GKUP sebagai pemilih. Pada bulan Oktober 2021, Kementerian Komunikasi dan Digital telah menyarankan supaya semua stesen televisyen yang ada di dalam negara menggunakan khidmat JBI kerana pada masa tersebut JBI hanya diamalkan oleh stesen tertentu khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja.
Stesen penyiaran swasta seperti Astro AWANI mula menggunakan khidmat JBI pada bulan April tahun lepas dalam usaha menyantuni GKUP di negara ini. Khidmat jurubahasa ini digunakan dalam dua segmen utama berita, iaitu AWANI:745 dan Sinar AWANI bagi memberikan penekanan kepada penyampaian maklumat yang lebih meluas dan telus kepada golongan tersebut. Semoga stesen penyiaran lain termasuklah parti politik dan calon yang bertanding tidak menafikan hak GKUP sebagai pemilih untuk mengetahui perkembangan terkini maklumat pilihan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebenarnya semakin cakna dengan keperluan OKU semasa berlangsungnya hari pengundian tetapi akses kepada maklumat masih tidak begitu diberi perhatian khusus sehingga mereka berasa terpinggir. Walhal proses undi ini bukan hanya pada hari mengundi semata-mata tetapi bermula sejak hari penamaan calon bagi membolehkan mereka mengetahui calon yang bertanding dan manifesto yang dibawa oleh para calon.
Setelah mendapatkan maklumat yang diperlukan, barulah golongan GKUP dapat membuat pilihan yang lebih baik bagi memilih wakil rakyat yang bakal membawa suara mereka dalam Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi, parti dan para calon yang bertanding perlu mempertimbangkan JBI dalam usaha mendekati dan meraih undi pemilih daripada GKUP ini.
Menurut Alena Nadia dalam tulisannya yang bertajuk “Bagaimana Jurubahasa Isyarat Merapatkan Jurang Dua Dunia” yang diterbitkan portal Malaysia Kini, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah menggunakan khidmat dua orang JBI, iaitu Lucy Lim dan Jonah Ong dalam kempennya semasa PRU-15 lalu.
Bahasa isyarat sebenarnya bahasa yang sangat unik dan penting untuk dipelajari oleh setiap golongan masyarakat walaupun bahasa ini menjadi medium pertuturan utama GKUP. Hal ini kerana bahasa isyarat bukan sahaja memudahkan komunikasi GKUP pada waktu kecemasan tetapi kemahiran berbahasa isyarat juga mampu memperluas keberkesanan komunikasi golongan tersebut.
Untuk menghadapi pilihan raya, sewajarnya parti dan calon yang bertanding turut memandang kepentingan golongan ini kerana mereka juga berhak menerima maklumat sebagai pemilih dan bukannya hanya sekadar menyediakan kemudahan pada hari pengundian semata-mata.
Usaha dan inisiatif mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dalam usaha mempromosikan dan menggalakkan penggunaan bahasa isyarat diharapkan dapat membuka mata orang awam untuk mempelajari bahasa tersebut.